Jika sebelum ini, kira-kira 10 pemain bola sepak dari Malaysia pernah berpeluang untuk menyertai akademi bola sepak antarabangsa.
Antaranya termasuklah Aqil Arazi Aziz di AS Cannes, Perancis; Allee Putra Azril (Akademi Malaga City FC di Sepanyol) dan Omar Raiyan Kama Azlan (kelab Red Star Belgrade di Serbia).
Peluang sedemikian tentunya telah memberikan lebih imbuhan pengalaman kepada pemain-pemain bola sepak remaja tempatan yang mempunyai potensi untuk melakar kejayaan lantas membantu skuad Harimau Malaysia di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.
Kini, tiba pula giliran pemain bola sepak 17 tahun dari Terengganu, Muhammad Soleh Ahmad Shukri yang telah berangkat ke Sepanyol, malam tadi.
Kehadiran Soleh ke sana adalah bagi menyertai Akademi Malaga City FC selama setahun bermula Januari 2023.
Bagi sebulan pertama di sana, ayahnya Datuk Dr Ahmad Shukri Md Salleh yang juga merupakan Pakar Perunding Perubatan di KPJ Damansara akan menemani Soleh untuk memberi sokongan kepada anak bongsu daripada empat adik beradik itu.
Soleh ketika ditemui rakan pemberita baru-baru ini mengakui perasaan gembira lebih mengaburi perasaan cemas apabila menerima tawaran menyertai akademi berprestih itu.
Tawaran tersebut tiba pada bulan lalu dan kini tiba masanya untuk terus mengejar impian dalam sukan bola sepak yang sudah diminati sejak usia 7 tahun.
“Saya sangat gembira untuk ke Akademi Malaga bagi memperbaiki pengetahuan berkenaan bidang bola sepak walaupun agak sedih kerana ini merupakan pengalaman kali pertama saya berpisah dengan keluarga.
“Saya berjanji akan menguasai teknik permainan bola sepak sepanjang berada di Sepanyol. Saya yakin saya mampu membuat ahli keluarga bangga dengan pencapaian saya nanti. Saya juga berharap mampu berkongsi ilmu bola sepak bersama yang lain apabila sudah habis menyertai akademi itu nanti, katanya.
Terdahulu, Muhammad Soleh mulai serius untuk berkecimpung dalam sukan bola sepak negara sejak tiga tahun lalu dengan menjadi pemain sayap kanan bagi kelab FC 1Goal.
Di acara tersebut juga, Muhammad Soleh telah menerima sumbangan barangan kesihatan bernilai RM2,000 daripada Hospital Pakar KPJ Damansara.
Tidak mustahil, pemain remaja ini akan menjadi pelapis sukan bola sepak negara sebaris skuad Harimau Malaya sekarang, kan!
FOTO: Instagram @solehshukri7
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
b