Seorang atlet catur muda menjadi ‘mangsa’ terbaru kepada corak pemakaian wanita yang ketat di Iran setelah tindakannya untuk menanggalkan hijab sewaktu mewakili negara tersebut di sebuah kejohanan mendapat kecaman hebat.
Sara Khadem, 25 atau nama penuhnya Sarasadat Khademalsharieh telah menyertai kejohanan FIDE World Rapid & Blitz Chess Championships yang dilangsungkan di Almaty, Kazakhstan pada minggu llau.
Sebaik sahaja bertanding di sana tanpa mengenakan hijab, sumber terdekat yang enggan mendedahkan identitinya berkata Sara telah menerima beberapa panggilan telefon dari Iran.
Ada di antara pemanggil tersebut yang memberi amaran agar tidak pulang ke tanah air selepas kejohanan berakhir selepas tindakannya itu khabarnya telah menyentuh sensitiviti masyarakat di sana. Malah, media di Iran juga melaporkan bahawa keluarga Sara di sana turut menerima ancaman.
Demi memastikan keselamatan Sara terjamin, penganjur kejohanan dengan kerjasama pihak polis di Kazakhstan telah menempatkan empat orang ‘bodyguard’ di luar bilik hotel Sara.
*
Akibat daripada isu ini, Sara telah mengambil keputusan untuk ‘terbang’ ke Sepanyol dan tiba di sana pada hari ini. Ia selari dengan laporan akhbar Le Figaro dan El Pais pada minggu lalu yang mendakwa Sara akan berpindah ke Sepanyol selepas ini.
Bagaimanapun, tidak diketahui pula sama ada anaknya dan suaminya, Ardeshir Ahmadi yang merupakan pengacara program dalam talian dan pengarah filem di Iran mengekorinya ke Sepanyol buat masa ini.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Elizabeth Harmon’ Malaysia! Gadis 17 Tahun Bersaing Di Pertandingan Catur Czech Republic – REMAJA
Sebagai info, corak pemakaian wanita di Iran telah sekian lama menjadi topik perbahasan bukan saja di negara mereka malahan oleh masyarakat dunia.
Ketegangan isu ini mencapai kemuncaknya pada pertengahan September 2022 apabila wanita Iran berusia 22 tahun, Mahsa Amini meninggal dunia sewaktu dalam jagaan polis yang menangkapnya kerana ‘tidak berpakaian senonoh’.
Terdahulu, REMAJA pernah berkongsi mengenai tindakan dua wanita Iran yang membakar kain hijab pada sambutan Hari Wanita Sedunia sebagai tanda protes kepada peraturan yang dibilang mereka tidak masuk akal ini.
ARTIKEL BERKAITAN: [FOTO] Bila Wanita Bukan Islam Menyokong World Hijab Day Sedangkan Wanita Iran Membakar Hijab Tanda Protes – REMAJA
Foto: Instagram @saraa_khadem
Sumber: REUTERS
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.