
Prestasi gemilang pemain muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman, kini telah meningkat secara signifikan dengan nilai pasaran yang mencapai RM2.82 juta (550,000 euro), berbanding RM638,000 pada tahun sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dapat Jolokan ‘Messi Malaysia’, Fakta Arif Aiman Hanapi Yang Ramai Tak Tahu
Penilaian ini dikemaskini dan diterbitkan di laman sesawang transfermarkt.com. Kini, Arif Aiman diiktiraf sebagai pemain tempatan termahal dalam persaingan Liga Malaysia.
Menurut penilaian tersebut, nilai Arif lebih tinggi daripada penyerang import JDT, Bergson Da Silva, yang kini bernilai 450,000 euro (RM2.30 juta), dan juga penjaring terbanyak Liga Super, Ayron Del Valle, dengan nilai 400,000 euro (RM2 juta).
Dalam skuad JDT, Arif Aiman menduduki tempat keempat dalam senarai pemain termahal, setelah Jordi Amat, Takahiro Kunimoto, dan Fernando Forestieri, seperti yang dipaparkan di laman transfermarkt.
Peningkatan nilai pasaran Arif ini dalam tempoh dua tahun boleh diperhatikan melalui prestasinya yang cemerlang dalam Liga Super, Liga Juara AFC (ACL), dan penyertaannya bersama skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Prestasi cemerlang Arif Aiman turut menarik perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), yang mengenalpasti Arif Aiman sebagai pemain utama untuk Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.
Selain itu, nilai pasaran Arif Aiman dijangka dapat meningkat hingga melebihi RM7.5 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.
Bawa Karung Guni Sebagai Beg Masuk Asrama, Kisah Pelajar Cemerlang Rafida Zaiddin Sentuh Hati Menteri Pendidikan

Baru-baru ini, tular kisah seorang pelajar cemerlang yang menggunakan guni untuk mengisi barangan yang dijadikan sebagai beg untuk dibawa ke asrama sewaktu pendaftaran ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook rasminya pada Ahad memaklumkan, beliau sudah pun menghubungi remaja berkenaan, Rafida Zaiddin dan menguruskan serta-merta semua urusan beban kewangan serta keperluan diperlukan pelajar itu untuk meneruskan pengajian.
“Rafida, anak yang cerdik. Berasal dari bumi bertuah, Sandakan. Keputusan peperiksaan beliau di Matrikulasi Labuan sangat membanggakan. Sedang mengikuti pengajian perakaunan di UMS. Bagaimana isu Rafida ini sangat dekat di hati saya? Kerana pada hari yang sama saya turut menghantar anak sulung saya ke universiti”

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Cikgu Rahman dan rakan saya, Dr Abdullah Bade, pensyarah UMS yang telah melaporkan keadaan anakanda Rafida Zaiddin,” katanya.
Fadhlina dalam perkongsian yang sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Rafida kerana telah memberi kesedaran bahawa perjuangan pendidikan manusiawi adalah kekuatan Malaysia.
“Fly high, stand tall Rafida. InshaAllah Rafida tidak perlu risau apa-apa tentang pengajiannya. Semuanya telah diuruskan dengan baik sehingga habis pengajian. Semoga Allah memberkati pengajian anakanda Rafida,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kementerian turut komited memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga sepanjang tempoh pengajian dan sedia membantu kerana prinsip ‘tiada pelajar yang harus terpinggir’.
Beliau juga sudah meminta Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah mengenal pasti pelajar kurang berkemampuan di institusi pendidikan berkenaan untuk diberikan bantuan sewajarnya.
Katanya, pihaknya mengambil maklum mengenai cabaran yang dihadapi oleh sebahagian daripada pelajar baharu atau yang sedang berdaftar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara dan kes adik Rafida adalah salah satu kisah yang benar-benar menyentuh hatinya.
Tambahnya, “Hal ini menunjukkan kecekalan dan kuatnya semangat adik Rafida untuk menyambung pengajian walaupun dalam keadaan serba kekurangan.”
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Saya #RemajaMalaysia : Peluang Sampaikan Berita Kepada Seluruh Malaysia Satu Penghargaan Buat Hawa Rizwana – Isu Digital Ogos 2022

Isi Kandungan
ToggleTugas sebagai seorang penyampai berita dan pengacara lebih daripada sekadar penghias layar kaca. Roda kehidupan mungkin sudah berganjak ke dunia digital namun beban kredibiliti dan integriti yang digenggam oleh wajah-wajah penyampai generasi baharu masih teguh dipertahankan sehingga kini. Itulah sebab si cantik manis dan bijak ini mampu tersenyum lebar apabila rezeki bergelar seorang penyampai berita jatuh juga di tangannya. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2022, Hawa Rizwana.
arahan seni FZ AIMMAN teks RUZIANA ZAINAL penyelaras REMAJA jurufoto REMY OTHMAN penerbit video MAYA DEEN & SHERFIQA SHARIDAN penyunting video AMIRUL FITRI susunan grafik AZNIZA AZIZ solekan AYANG KAMELL persalinan NEW BALANCE
Semakin hari semakin laris. Begitulah tanggapan pertama apabila bersua muka dengan pemilik nama penuh Hawa Rizwana Ahmad Redzuan di set penggambaran kami
Gaya pertuturan, penyampaian dan lentur suaranya ketika bersiaran mengendalikan segmen Buletin Utama, Wanita Hari Ini dan Hello Doktor menerusi saluran TV3 mudah untuk dikenalpasti sebaik telinga menangkap suaranya.
Penegasan dalam setiap butiran informasi melakarkan sebuah pesona buat personaliti televisyen muda ini. Sesibuk mana pun, Hawa Rizwana yang kami kenali masih sama seperti dahulu. Seboleh mungkin, dia ingin menyelitkan ke dalam jadualnya aktiviti-aktiviti yang mampu memberi titik tambah kepada dirinya. Ini termasuklah untuk menerima pelawaan REMAJA dengan hati terbuka sebagai wajah kempen Saya #RemajaMalaysia buat tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Saya #RemajaMalaysia : Titian 6 Tahun KHAI BAHAR Penuh Makna – REMAJA
Cabaran Menjadi Penyampai Berita
Bercerita mengenai tugas hakikinya dalam dunia penyiaran tempatan, satu perkara yang dititik beratkan oleh Hawa adalah misi menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat kepada masyarakat.
“Nawaitu tu sangat penting. Saya tidak menafikan wujudnya cabaran tersendiri apabila menjadi wajah tontonan jutaan rakyat Malaysia. Bukan sahaja berita yang kita sampaikan itu dihadam oleh mereka, malah cara membawa diri, pertuturan sampailah ke lirik mata pun satu-persatu dianalisa.
“Saya rasakan mereka sedar sahaja personaliti mana-mana penyampai berita di hadapan kamera dan di luar set itu ada lainnya. Namun sebagai penyampai berita, saya juga sedar saya membawa jenama slot berita atau program yang saya wakili dan kredibiliti program-program kendalian saya itu harus dijaga.
“Jika kita tidak menjaga keperibadian, bagaimana kita mampu membuatkan orang percaya dengan berita yang disampaikan.
“Seperkara lagi, saya juga sentiasa perlu memastikan penyampaian berita dilakukan secara matang dan memenuhi jangkaan penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, baik daripada usia remaja hinggalah ke peringkat dewasa.
“Untuk mendapatkan kepercayaan mereka adalah satu bentuk cabaran bagi saya,” ujarnya Hawa sewaktu mendapat sentuhan riasan Ayang Kamell pada hari tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN : Saya #RemajaMalaysia : Kedudukan 40 Terbaik Miss World 2021 Dikenang Dr. Lavanya Sivaji – REMAJA
Minda Terbuka Luas
Setelah terlibat dalam beratus-ratus episod di slot berita dan program temubual, tentunya ada di antara kandungan yang berbekas di minda dan jiwa Hawa. Kongsinya, pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah sewaktu perlu membuat liputan mengenai sebuah persatuan down sindrom tempatan. Peluang mengenali para ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini membuka luas minda Hawa mengenai sentimen perpaduan di Malaysia.
“Walaupun berlainan agama dan bangsa, mereka kenal antara satu sama lain, saling membantu kerana dan tidak kekok berinteraksi. Siapa sangka, kekurangan yang ada pada anak masing-masing menjadi kelebihan dalam pergaulan sesama kita. Tugasan tersebut membolehkan saya jelas melihat wujudnya perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia merupakan salah satu pengalaman paling berharga.”
Seronoknya apabila berkhidmat di sebuah stesen televisyen tempatan buat Hawa melebihi nilai glamor yang datang dengannya. Ya, tidak dinafikan wajah Hawa menjadi tatapan jutaan mata dan kehidupan pantas berubah apabila perlahan-lahan mendaki puncak populariti. Begitupun, sekali lagi Hawa berpaling kepada intipati kandungan program yang dikendalikannya apabila kami bertanyakan tentang kelebihan menjadi seorang figura awam.
“Banyak perkara yang boleh saya pelajari setiap hari. Pengikut saya pasti tahu mengenai penglibatan saya dalam landasan pendidikan di mana saya meneruskan pengajian di peringkat sarjana. Namun apabila difikirkan semula, selama ini; saya bukan saja belajar dalam kepompong kelas semata tetapi saya turut belajar sewaktu bertugas serta membuat liputan.
“Contoh paling mudah, kita ambil lagu raya lah. Sewaktu menyambut Aidilfitri dan Tahun Baru Cina; mudah untuk kita mengenal pasti lagu perayaan masing-masing. Tetapi bila tiba perayaan Deepavali, majoriti tidak begitu familiar dengan lagu perayaannya. Menerusi tugasan saya di tempat kerjalah, saya mengutip ilmu baru seperti ini. Saya berpeluang mendalami perkara yang tidak selalu diperkatakan dan kongsikan semula ilmu itu dengan pengikut saya menerusi media sosial,” katanya.
Misi Hawa hanya satu, untuk menyampaikan perkara bermanfaat buat tontonan rakyat Malaysia.
“Hawa sangat berharap agar pemain dunia media dan penyiaran di Malaysia sentiasa berkongsi sesuatu yang memberi inspirasi dan bermanfaat kepada semua. Kedengaran agak klise, tetapi saya masih mempercayai hikmah sekiranya kita ada niat untuk sebarkan kebaikan kepada orang lain walau sekecil manapun,” tambah si cantik berbintang Virgo ini.
Cinta Tersemi Dalam Seni Tarian
Siapa sangka, minat Hawa Rizwana bukan sekadar terletak pada penyampaian berita sahaja tetapi juga dalam dunia seni tari terutamanya tarian tradisional Malaysia.
“Sewaktu di UiTM, saya pernah mewakili universiti untuk pertandingan kesenian peringkat Selangor dan kami berpeluang ke Hungary. Minat inilah yang membuatkan Hawa mengenali kepelbagaian tarian yang kita ada dan gembira membawa nama Malaysia ke luar negara.
“Hawa memang suka mempelajari seni tarian. Sempatlah juga belajar tarian Kabaddi, tarian Kipas Cina dan macam-macam lagi. Itulah yang membuatkan Malaysia unik dan menyeronokkan.
“Bagi Hawa, sebagai generasi baharu; seharusnya kita berfikiran terbuka untuk mempelajari budaya berlainan. Barulah mudah timbul rasa hormat apabila kita faham mengapa ia penting bagi mereka. Secara tidak langsung, dari situlah kita memupuk keharmonian.
“Tidak dinafikan bila hidup dalam era digital, segalanya ingin diperlekehkan atau dipersoalkan. Paling mudah adalah apabila kita memberi ucapan perayaan sehinggakan ada pihak yang beranggapan kita menyokong dan menyambut perayaan agama berbeza. Hakikatnya, kita hanya ingin menghormati budaya sahabat kita yang berlainan kaum dan agama.
“Kadangkala bila dimomokkan berita-berita negatif seperti ini terutamanya di media sosial; pemikiran kita terus berubah negatif juga. Oleh itu, dalamilah dahulu keunikan budaya rakan-rakan kita sebelum terus menjatuhkan persepsi pra-matang,” simpulnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Harumkan Nama Malaysia, Jofliam Duduki Top 4 Pertandingan Memasak Piza Di Itali!

Personaliti media sosial, Jofliam baru-baru ini telah berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam sebuah pertandingan menyediakan juadah piza di Itali.
Ia setelah Jofliam yang juga merupakan suami kepada personaliti digital, Cik Epal meraih tempat keempat dalam pertandingan yang dilangsungkan di Tutto Pizza Expo sempena sebuah pameran antarabangsa yang didedikasikan untuk peminat pizza seluruh dunia di Napoli, Itali.

ARTIKEL BERKAITAN : Pelumba Negara Dipuji, Harumkan Nama Malaysia Di Sepanyol Dengan Raih Tempat Kedua
Memetik hantaran TikTok isterinya, @cikepal06 menyatakan terdapat 50 pasukan yang menyertai edisi keenam pertandingan tersebut dan salah satunya merupakan pasukan Jofliam; Jofliam Pizza Wagyu 150 yang mewakili Malaysia. Selain Joflian, ia turut dianggotai oleh dua individu tempatan di sana.
“Sangat susah orang Itali nak bawa bendera negara lain, tapi Salva sanggup demi Jofliam. Terima kasih Salva,” catat hantaran TikTok Cik Epal.
Memetik hantaran Instagram @jofliam pula, penyertaannya di Itali pada kali ini dilakukan atas niat, minat dan keinginannya peribadi. Lalu, segala kos untuk ke sana dan semasa berada di Napoli dibiayai olehnya sendiri secara sukarela.
“Untuk Salva, dia sanggup mewakili Malaysia. Ini adalah satu penghormatan untuk saya.
“Sangat susah untuk orang Itali nak mewakili bendera negara lain selain Itali sebab orang Itali tersangatlah bangga dengan Itali.
“Tapi kalau kerajaan Malaysia sudi membawa Salva dan pasukan saya untuk ke Malaysia, mengenali Malaysia, budaya Malaysia, orang Malaysia yang sangat budiman, keindahan Malaysia, pembangunan Malaysia, saya sangatlah berbesar hati,” ujar Jofliam.
Sebagai info, pada peringkat awal; Jofliam dan Cik Epal pernah memberi pizza wagyu kepada mangsa-mangsa banjir di Malaysia dan menyediakan piza sekadar hobi.
Hasilnya, mereka memperolehi pujian daripada netizen dan peminat mereka dek kerana sikap pemurah dan baik hati. Malah, piza yang diletakkan harga sebanyak RM150 oleh mereka juga tular di laman sosial TikTok.
Tahniah Jofliam dan Cik Epal!
Sumber: TikTok @cikepal06 Instagram @jofliam
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.