Kira-kira dua minggu yang lalu, Remaja turut menyingkap ksiah tragis kematian adi Nur Afini Ruslan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman. Tragegi yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi pada 13 Februari yang lalu, Nur Afini disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik selepas bilah mesin potong rumput terbang mengenai kepalanya.
Remaja turut bergegas ke Gemas, Negeri Sembilan bagi mendapatkan sendiri reaksi daripada ahli kelugarnya. Artikel tersebut mendapat perhatian yang sangat tinggi di kalangan pembaca Remaja menunjukkan ramai yang prihatin dengan kejadian ini. Kisah tersebut bolehlah kamu baca di sini.
Dalam perkembangan terbaru, pemandu traktor mesin potong rumput tersebut yang berusia 26 tahun bakal dihadapkan di mahkamah atas tiga pertuduhan insiden berkenaan.
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Tampin, Superintenden Hamazah Ab. Razak berkata, pemandu traktor tersebut yang berusia 26 tahun berasal dari Tanjung Keling, Melaka. Dia berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan dengan kecuaian menyebabkan kematian mangsa.
Manakala dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 337KK dengan perbuatan cuai menyebabkan kecederaan.
“Selain itu, kita turut telah menerima analisa DNA daripada Jabatan Kimia pada bilah pisau yang ditemui yang mempunyai DNA mangsa.
“Tarikh pertuduhan bakal dirujuk kepada Ketua Unit Pendakwaan pada minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.
Selain kehilangan nyawa pelajar tersebut, dua lagi pelajar lelaki mengalami kecederaan iaitu Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, cedera di bahagian kepada dan Abdullah Hazlan, cedera pada bahagian telinga kanan.
Remaja berharap kesemua keluarga mangsa dapat terus bersabar dan banyakkan berdoa kepada mangsa. Diharapkan kejadian seperti ini tidak lagi berlaku kerana pada hemah kami, ia TIDAK SEPATUTNYA BERLAKU.
Semoga di masa akan datang sebarang kerja berkaitan dengan jentera berat mengikuti SOP sebetulnya. Dan diharapkan juga pengawasan terhadap kontraktor yang mendapat tanggungjawab melakukan apa jua penambah baikan di sekolah dipantau setiap masa.
Masih Koma Dalam ICU, Sandra Dianne Tidak Akan Disingkirkan Malam Ini
Setelah REMAJA melaporkan mengenai kemalangan jalan raya yang menimpa salah seorang peserta program realiti Big Stage 2020 iaitu Sandra Dianne semalam, hari ini pihak produksi mengesahkan tidak akan menampilkan Sandra pada konsert minggu ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Bahagian Depan Kereta Sandra Dianne Remuk Teruk
Untuk pengetahuan, Sandra terbabit dalam sebuah kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) kira-kira petang semalam. Setelah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Putrajaya, Sandra masih belum sedarkan diri.
Bercakap kepada pihak media, pengurus saluran Astro Ria, Emarina Kamal berkata mereka masih menantikan mahlumat terbaru daripada doktor. Namun setelah melihat keadaan diri Sandra yang masih koma hingga sekarang, pihak produksi bersepakat untuk mengecualikan penyertaan Sandra pada minggu ini.
“Tiada penyingkiran terhadap Sandra akan dibuat walaupun dia tidak membuat persembahan malam ini. Pihak kami bersimpati dengan insiden yang menimpa Sandra dan berharap dia segera sembuh,” katanya.
Berdasarkan pengumuman yang dilakukan pada konsert ketiga minggu lalu, Sandra sepatutnya menyanyikan lagu Nuri nyanyian asal Ella pada malam ini. Pilihan lagu tersebut dilakukan berdasarkan lagu keluaran tahun kelahiran peserta Big Stage 2020
REMAJA mengambil kesempatan ini untuk mendoakan kesejahteraan Sandra Dianne dan semoga kembali sihat seperti sedia kala.
Penyanyi Doktor, Usahawan SME Dominasi Big Stage Musim 3 – Siapa Favourite Awal?
Ragu-Ragu Hukum Inai ‘Mesra Wuduk’ Yang Tengah Viral. Ini Jawapan Mufti
Kini, penggunaan inai di jari kita tidak lagi tertakluk buat si pengantin sahaja. Ramai yang mula menggantikan penggunaan pengilat kuku atau pewarna kuku dengan inai dengan lambakan produk baharu berasaskan bahan organik yang boleh dibawa solat.
Malah, banyak pula jenama inai tempatan yang tak kurang popularnya yang menggunakan tagline ‘mesra wuduk dan telap air’ . Hal ini turut menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN : Neelofa Bukan Saja-Saja Pakai, Ini 5 Kelebihan Inai Pada Jari & Badan
Persoalan netizen yang sudah memakai inai-inai tersebut adalah sejauh mana pengesahan dakwaan yang mengatakan inai-inai jenama terkenal ini sah mesra solat dan pembuktian ianya telus air serta boleh dibawa ibadah.
Jom kita baca penjelasan mengenai isu panas ini oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang.
[SOALAN]
Assalamualaikum wbt pihak SS Datuk Mufti dan pasukan kerja, maaf mengganggu.
Sebelum ini saya pernah menanyakan soalan yang sama, cuma maklumatnya kurang lengkap. InsyaAllah kali ini saya sudah mendapat maklumat yang lebih terperinci daripada pihak founder.
-Situasi-
Pada malam raya, saya telah memakai inai celup, yang kini viral dan menjadi pilihan wanita kerana sifatnya yang mudah dan segera. Waktu saya memakai inai celup tersebut, saya dalam keadaan haid. Saya juga memahami konsep inai celup yang cepat merah, dan cepat luntur juga warnanya, lebih-lebih lagi bila kita kerap bermain dengan air dan sabun.
Kemudian, selepas 2-3 hari, saya perasan bahawa apabila jari saya kena air dan sabun, warna inai luntur, tapi dalam bentuk lapisan warna. Ya, saya yakin inai ini membentuk coating layer pada jari saya, sekaligus menghalang air sampai ke kulit saya. Namun, coating layer ini hanya terbentuk pada kawasan jari sahaja. Di kawasan kuku, warnanya nampak sekata dan tidak tertanggal seperti yang berlaku di kulit jari. Ini menambahkan kemusykilan saya, adakah inai celup ini kalis air atau tidak?
[JAWAPAN MUFTI]
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Hiasan kecantikan yang merupakan fitrah wanita itu asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak akan tetapi ia mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak secara jelas berkaitan dengan hukum berhias bagi wanita.
1. HUKUM MEMAKAI INAI
Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, jilid 3, hlm. 89-90]
Dalam sebuah hadith, diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
أَوْمَتِ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَبَضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَدَهُ فَقَالَ: مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ. قَالَتْ بَلِ امْرَأَةٌ. قَالَ: لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ. يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ.
Maksudnya: Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?” Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda SAW berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”.
(Riwayat Abu Daud, 4166)
(Namun, perbincangan lanjut tentang hukum wanita dan lelaki memakai inai boleh rujuk 👇
http://mufti.perak.gov.my/rakyat/koleksi-umum/artikel-khas/517-pemakaian-inai?start=1
Wanita di zaman Nabi SAW berurusan di sebalik tabir sehingga ada keperluan untuk membezakan. Juga kebanyakannya berada di rumah kecuali ada keperluan, dan memakai hijab yang tidak menampakkan perhiasan) – tambahan saya UAH.
2. HUKUM INAI YANG DIRAGUI
Adakah pemakaian inai boleh menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi wajib?
Inai atau nama saintifiknya ‘Lawsonia Inermis’ berasal daripada perkataan Arab iaitu “Henna” yang bermaksud ubat. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Baru, inai ialah sejenis tumbuhan (pokok kecil yang daunnya digunakan sebagai bahan pemerah kuku dan jari serta rambut). Namun begitu, dewasa ini kebanyakan pengeluar produk inai menggunakan bahan campuran dalam menghasilkan produk inai dan di datangkan dalam pelbagai jenis misalnya inai picit, inai celup dan lain-lain. Sebahagian pengeluar produk inai mengiktiraf bahawa produk mereka merupakan produk yang halal.
Walau bagaimanapun, harus difahami bahawa status kehalalan sesuatu produk itu bergantung kepada ramuan yang terkandung di dalamnya. Ia mestilah bersumberkan bahan-bahan halal, bebas kimia, bebas lemak khinzir dan bebas daripada bahan-bahan lain yang tidak halal menurut neraca hukum syarak. Adapun untuk menentukan pemakaian inai ini boleh dibawa solat atau dihukumkan sah ibadahnya, ia perlu dirujuk kepada jenis inai yang digunakan, sama ada ia bersifat kalis atau telap kepada air.
Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ berkata: “Apabila adanya di atas sebahagian anggota lilin atau tepung atau inai dan seumpama dengannya yang mana ia menghalang ke anggota, maka tidak sah taharahnya, sama ada banyak atau sedikit. Jika berbaki di atas tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya akan tetapi ia tidak melekat (iaitu air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan), maka sah taharahnya. [Lihat: al-Majmu’ jilid 1, hlm. 467]
Menurut Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam fatwanya berkaitan hukum menghilangkan cat di kuku ketika berwuduk, beliau ditanya: “Adakah wajib bagi saya menghilangkan cat kuku ketika berwuduk? Maka Syeikh menjawab: “Ya! Sesungguhnya engkau telah pun mengatakan ia adalah cat yang menghalang air daripada sampai ke kulit maka wajib engkau menghilangkan ketika mengangkat hadas kecil atau besar. [Lihat: Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah, hlm. 198]
Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkaitan produk inai celup, iaitu pada menentukan kekalisan atau ketelapan air. Dalam hal ini hendaklah terlebih dahulu dilakukan ujian ke atas produk tersebut. Namun begitu, adalah disarankan jika sekiranya masih lagi wujud keraguan pada status kekalisan air pada produk tersebut adalah lebih baik dirujuk secara langsung kepada pihak Halal JAKIM.
Walau bagaimanapun, bersandarkan kepada perbincangan dan hujahan di atas, dapat disimpulkan; sekiranya di yakini bahawa setelah pemakaian produk inai yang dimaksudkan dan ia masih meninggalkan kesan berserta zatnya (selaput) pada mana-mana anggota wuduk dan mandi wajib khususnya kuku, maka dapatlah difahami bahawa sifat produk tersebut adalah kalis air. Iaitu ia menyebabkan air tidak dapat menyentuh atau menghalangi air daripada sampai kepada anggota yang wajib dibasuh. Justeru, tidak sah taharahnya sama ada wuduk atau mandi wajib.
3. STATUS IBADAH YANG DILAKUKAN SETELAH MEMAKAI INAI KALIS AIR
Umat Islam perlu memahami terlebih dahulu bahawa suci daripada hadas kecil dan besar merupakan syarat sah solat. Wuduk dan mandi wajib yang tidak sempurna akan menyebabkan solat tidak sah.
Antara buktinya Allah SWT telah mensyariatkan hukum bersuci seperti wuduk dan mandi wajib bagi mereka yang berhadas kecil dan besar untuk membolehkan seseorang itu melaksanakan sebahagian ibadah seperti solat dan membaca al-Quran. [Lihat: Syarah al-Yaqut al-Nafis hlm. 67]
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, kedua belah tangan kamu meliputi siku, sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.
Allah SWT juga berfirman:
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا
Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.
[Surah al-Maidah: 6]
Antara rukun-rukun wuduk yang wajib dipatuhi ialah membasuh kedua belah tangan meliputi siku. Termasuk perkara penting yang perlu diberi perhatian bagi mendapatkan basuhan yang sah dan sempurna ialah memastikan tiada sebarang objek atau bahan yang boleh menghalang air untuk sampai ke seluruh bahagian kulit tangan termasuk celah-celah jari dan kuku.
Justeru, bagaimana pula status ibadah yang dilakukan setelah memakai inai yang sifatnya kalis air?
Kami berpendapat bahawa, jika sememangnya inai tersebut sifatnya kalis air dan masih berbaki zatnya walaupun setelah dilakukan usaha yang sepatutnya untuk menghilangkannya, maka anggota itu pada asasnya dikira sebagai terhalang daripada sampai air. Oleh itu, tidak sah wuduk dan mandi wajib yang dilakukan pada ketika itu.
Sehubungan dengan itu juga, tidak sah segala ibadat yang ada kaitan dengan taharah seperti solat yang telah dilakukan sebelum ini. Ini adalah kerana antara syarat sah solat ialah bergantung kepada sahnya wuduk dan mandi wajib. Justeru pemakai yang terlibat, wajib untuk mengqada’ solat-solat yang telah didirikan selama inai tersebut masih berada di kuku si pemakai.
Hal ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amr R.A berkata:
رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ
Maksudnya: “Kami pulang bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk bersolat Asar. Lalu, mereka berwuduk secara tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah SAW bersabda: Celakalah buku lali mereka disebabkan oleh neraka! Oleh itu, berwuduklah kamu dengan sempurna.”
[Riwayat al-Bukhari 161 dan Muslim 241]
Hadis seterusnya:
أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى
Maksudnya: “Seorang lelaki berwuduk dan telah tertinggal basuhan pada kuku kakinya yang dilihat oleh Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda: Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna. Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna dan bersolat.”
[Riwayat Muslim 243]
4. INAI YANG DIRAGUI KESUCIANNYA JATUH SYUBHAH & PERLU DITINGGALKAN
Tuntasnya, kami menyarankan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu ini agar berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu produk yang ingin digunakan. Sekiranya produk tersebut diragui kesuciannya, menyebabkan syubhah dan khususnya membawa kepada terjejasnya hal ehwal ibadat, maka adalah lebih selamat untuk meninggalkannya. Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
Maksudnya: Dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir r.a beliau berkata, Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak di ketahui oleh kebanyakan orang. Maka, siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang di haramkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan haiwan ternakannya di sekitar (ladang) yang di larang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah SWT adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh: ketahuilah bahawa dia adalah hati”.
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Wallahu’aklam.
Sumber Rujukan :
http://ekemusykilan.penang.gov.my/bank_detail.php?id=743
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
[ TERKINI ] Tertuduh Kedua Kes Kadet UPNM Maut Mohon Maaf
Dari rasa marah dan kecewa, perasaan pemerhati dalam perbicaraan kes maut pegawai kadet UPNM pada hari ini bertukar hiba apabila tertuduh mengimbas kembali detik-detik terakhir dia menghabiskan masa bersama arwah sebelum meninggal dunia.
Tertuduh kedua yang dibawa ke kandang saksi ialah Muhammad Azamuddin Mad Sofi.
Dalam kenyataannya pada hari ini, dia mengingati semula momen dan kata-kata terakhir Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain sehingga menyebabkan ibu arwah, Hawa Osman mengesat air mata yang mengalir.
Kata Azamuddin, Zulfarhan meluahkan rasa rindunya pada kedua-dua ibu bapanya. Azamuddin pada waktu itu berada di dalam bilik hostel Zulfarhan pada 1 Jun 2017 ketika keadaan arwah semakin lemah.
“Arwah muntah-muntah dan cirit birit pada malam itu…saya membersihkan kesan muntahnya.”
“Zulfarhan meminta maaf kerana dia merasakan dirinya sebagai bebanan (kepadanya kerana perlu membersihkan kesan muntah)”
“Saya kata tak mengapalah memandangkan kami adalah kawan karib. Kemudian dia mengatakan dia merindui ibu bapanya.”
“Saya menyuruhnya memanggil dengan menggunakan telefon saya, tetapi dia menolak kerana enggan membimbangkan mereka.”
“Dia ingin meminta maaf kepada ibu bapanya dan saya menyuruhnya untuk menguatkan diri dan saya akan bersamanya tak kiralah apa jua keadaan..,”kata Azamuddin.
*
Tertuduh juga meminta maaf kepada ahli keluarga Zulfarhan dan tidak dapat menghentikan air matanya daripada mengalir.
Katanya, mereka menelefon ambulans sebelum para paramediks membawa Zulfarhan ke Hospital Serdang.
Terdahulu, tertuduh mengaku dialah yang menekan seterika berwap pada peha dan bahu Zulfarhan ketika sesi ‘menyiasat’ di antara mangsa dan pelaku.
Ini adalah antara dialog yang berlangsung di antara Azamudin dan kaunsil Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal.
Amer: Jika kamu adalah kawan karib, mengapa kamu lakukan perkara itu (menekan seterika berwap)?
Azamudin: Bila saya lakukannya, saya tidak sedar ia akan mengancam nyawanya. Saya lakukannya kerana ingin mengajarnya.
Amer: Kamu ingin katakan apa-apa kepada keluarga Zulfarhan?
Azamuddin: Saya ingin meminta maaf (kepada ahli keluarga) atas insiden ini.
Katanya lagi, kematian Zulfarhan tidak disengajakan dan dia tidak mempunyai niat untuk mengapa-apakan mangsa.
*
ARTIKEL BERKAITAN: “Kami Hantar Dia Hidup, Dapat Kembali Dah Sejuk..” – Adik Zulfarhan
Untuk pengetahuan, 6 orang tertuduh sedang berdepan dengan tuduhan membunuh Zulfarhan. Mereka terdiri daripada Muhammad Akmal, Azamuddin, Afif Najmudin, Muhammad Najib Mohd Razi dan Mohamad Shobirin.
Manakala Abodul Hakeem Mohd Ali dituduh bersubahat untuk perlakuan membunuh itu.
Mereka semua mengaku tidak bersalah untuk sengaja mengancam Zulfarhan dan ia dilakukan dengan niat untuk mencungkil pengakuan Zulfarhan atas pertuduhan mencuri sebuah komputer riba.
Perbicaran akan disambung esok.
Sumber: News Straits Times