Pemenang Oscars Korea Diberi Soalan Merepek, Warganet Persoal Kebijaksanaan Wartawan Hollywood

Share

Hari ini menandakan fasa baru dalam dunia anugerah di Hollywood apabila acara anugerah kembali diadakan di sebuah lokasi tetap.

 

Sebelum ini, beberapa anugerah besar seperti Golden Globes dan Screen Guild Awards terpaksa dilakukan secara virtual di mana pemenang hanya akan menyampaikan ucapan menerusi skrin Zoom.

Mungkin sekali setelah situasi pandemik di sana semakin terkawal dan ditambah pula dengan sistem sekuriti yang ketat bagi mengelak merebaknya wabak, Hollywood yakin untuk menganjurkan Anugerah Academy atau Oscars di Union Station, Los Angelas.

Edisi Oscars ke-93 ini juga memberikan keceriaan buat penggiat seni berdarah Asia apabila tiga orang calon berketurunan Asia telah membawa pulang trofi keramat tersebut sambil 4 lagi berjaya dicalonkan bagi kategori masing-masing.

Antara yang membanggakan Asia pada hari ini ialah H.E.R (Lagu Original Terbaik untuk Fight For You), Chloe Zhao (Pengarah Terbaik untuk Nomadland) dan Youn Yuh-Jung (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk Minari).

ARTIKEL BERKAITAN : #GirlPower : Siapakah Chloé Zhao Yang Membuatkan CHINA Bangga Minggu Ini? – REMAJA

Turut tercalon ialah Riz Ahmed (calon Pelakon Lelaki Terbaik untuk Sound of Metal), Steven Yeun (calon Pelakon Lelaki Terbaik untuk Minari), Lee Isaac Chung (calon Pengarah Terbaik untuk Minari) dan Derek Tsang (calon Filem Antarabangsa Terbaik untuk Better Days).

Bercakap mengenai Youn Yuh-Jung, wanita berusia 73 tahun ini telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelakon pertama dari Korea Selatan yang membawa pulang anugerah Academy. (Tahun lalu, filem Parasite tidak memenangi dalam kategori pelakon).

Yuh-Jung bukanlah nama asing dalam acara anugerah apabila beliau seringkali menggondol satu-persatu anugerah berprestij di atas lakonannya yang mantap. Biarpun berlainan kewarganegaraan, penulis pasti kita semua juga boleh tumpang berbangga dengan kejayaannya ini.

Namun, yang kurang enak didengar adalah apabila Yuh-Jung seakan tidak diraikan sebagaimana pelakon veteran lain sebaik saja dia beredar dari pentas ke belakang pentas untuk sesi temubual bersama pihak media.

Dalam beberapa video yang kini tular di media sosial, Yuh-Jung lebih banyak disoal berkenaan interaksinya bersama Brad Pitt semasa menerima trofi tersebut daripadanya berbanding mengenai kejayaannya dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Agak menjelikkan sebenarnya apabila Yuh-Jung turut disoal tentang bau badan Brad semasa dia didampingi Brad ketika turun dari pentas.

“Apa yang kalian bualkan dan bagaimana bau dia (Brad Pitt)? Pelakon veteran itu sama sekali tidak gentar menjawab, “Saya tidak membaunya, saya bukannya anjing.”

Lebih banyak soalan berkenaan Brad Pitt diajukan selepas itu seperti sama ada Yuh-Jung teringin untuk berlakon bersamanya selepas ini atau tidak. Semua itu cuba dijawab beliau dengan tenang.

Bagaimanapun, Yuh-Jung jelas kecewa apabila peluang bersejarah itu tidak diambil oleh wartawan Hollywood untuk menanyakan soalan relevan.

Dalam sesi Yuh-Jung bersama wartawan dari Korea Selatan (setelah sesi di belakang pentas tadi tamat), dia juga keliru mengapa wartawan Hollywood seakan tidak dapat ‘move on’ daripada momen di antara dia dan Brad Pitt.

Rata-rata warganet juga mempersoalkan kebijaksanaan wartawan Hollywood dalam menemubual seorang lagenda yang baru saja mencipta sejarah dalam dunia perfileman.

Apapun, masih ada pihak media yang kekal profesional dan bertanyakan mengenai filem Minari.

BACA LAGIKarpet Merah Oscars 2021 : Antara Gaya Sopan & Pamerkan ‘Abs’ – REMAJA

Published by
FZ