
Pemenang tempat ketiga Hero Remaja 1999, Ashraf Sinclair dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 4 pagi tadi menerusi portal berita Indonesia Kompas.com.
Berita ini disahkan sendiri oleh pengurus Bunga Cintra Lestari (BCL) melalui aplikasi Whatsapp. Ashraf menghembuskan nafas terakhir pagi tadi kerana serangan jantung.
Allahyarham merupakan suami kepada pelakon dan penyanyi popular BCL dan mempunyai seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair daripada hasil perkahwinan mereka.
Takziah Remaja ucapkan kepada keluarga dan semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
Kenapa Tak Pakai Tangki Oksigen Masa Operasi Selam, Ini Jawapan Ketua Pengarah Bomba

Kematian enam anggota bomba dari Unit Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor serentak dalam satu operasi menyelamat seorang pelajar lemas di lombong Putra Perdana, Puchong dua hari lalu membuat Malaysia berduka. Dikhabarkan semua balai bomba seluruh Malaysia sudah mendapat keizinan dari Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia untuk menurunkan separuh tiang sebagai tanda berkabung selama tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad.
Semalam, jenazah lima anggota bomba iaitu Mohd Fatah Hashim, Izatul Akma Wan Ibrahim, Adnan Othman, Muhammad Hifdzul Malik bin Saari dan Mazlan Omarbaki sudah selamat dikebumikan di kampung halaman masing-masing.
Mohd Fatah dikebumikan di Kampung Baru Beserah, Kuantan, Izatul Akma di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, Kelantan, Mazlan di Taman Ria, Tawau, Adnan di Lukut Port Dickson dan Muhammad Hifdzul dibawa balik ke Kampung Kubang Terap, Pasir Mas, Kelantan.



Sumber Bomba memaklumkan, pagi ini, jenazah seorang lagi anggota bomba yang berasal dari Kampung Tian, Matu, Mukah iaitu Yahya bin Ali yang masih bujang (ketika berita ini ditulis) masih dalam perjalanan menuju ke kampung halamannya.
Ini kerana penerbangan membawa jenazahnya hanya ada pagi ini iaitu jam 8.30 pagi tadi. Difahamkan, selepas tiba di lapangan terbang, van yang membawa jenazahnya perlu menempuh perjalanan darat sejauh dua jam lagi sebelum perlu dibawa menaiki feri kerana lokasinya agak pendalaman.
Berita kematian serentak ini merupakan satu tragedi sejak penubuhan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Di sebalik ramai yang hiba, ada juga pelbagai versi timbul termasuk ada yang bertanya mengapa semasa operasi menyelamat ini kesemua anggota tidak memakai tangki oksigen?.

Bagi menjelaskan isu ini, Ketua Pengarah Bomba Malaysia, Mohammad Hamdan bin Haji Wahid berkata, berdasarkan siasatan awal bomba kesemua anggota ini sudah mematuhi sop yang digunakan pakai.
“Mereka tidak memakai tangki oksigen seperti selam skuba kerana ketika kejadian, anggota baru hendak melakukan teknik surface (tinjauan dari permukaan sahaja). Kedalaman air dianggarkan paras dada sahaja.
“Tak timbul cakap-cakap kenapa tak pakai topeng oksigen kerana kesemua baru hendak melakukan teknik selam di permukaan. Tapi saya difahamkan, seorang dari anggota tergelincir ketika memijak batu dan tertarik rakan yang lain. Usaha menyelamat cuba dilakukan tetapi gagal kerana anggota sudah terbelit antara satu sama lain kerana terdapat pusaran air di bawah empangan tersebut.
“Sebab itulah timbul video yang viral ini melihat sebahagian anggota bomba terkapai-kapai di dalam air,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu Mohammad Hamdan turut menjelaskan isu menyelam di waktu malam kerana menurutnya anggota kebiasaannya akan mengikut peraturan ditetapkan.
“Kita tak pernah tetapkan waktu malam sebagai tidak boleh menyelamatkan. Jika kita merasakan perlu dilakukan, kita akan lakukan. Tapi dengan kejadian sebegini, kita akan menambahbaik peraturan demi keselamatan anggota bertugas.
Jadi pada para netizen yang bertanya kenapa tak pakai tangki oksigen, mungkin dah fahamkan kenapa hal ini berlaku. Doalah yang baik-baik dan cakap yang baik-baik kerana berdasarkan hadis, orang yang lemas adalah mati syahid. Semoga Allah mengampuni dosa dan menempatkan mereka di kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Lagi 10,000 Keping Tiket Final Piala Suzuki AFF 2018 Bakal Dijual Esok Secara Online

Ramai yang frust bila tiket final Final Piala Suzuki AFF Selasa ini sudah habis tak sampai beberapa minit selepas dijual secara online.
Perlawanan antara Malaysia bertemu Vietnam ditetapkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Disember, Selasa ini.
Rata-rata netizen mendakwa tiket sudah habis seawall jam 9.05 pagi tadi.
Walaubagaimana pun, pihak Football Association of Malaysia (Official) telah menambah jumlah tiket online dari 20,000 kepada 30,000.
20,000 keping tiket telah habis dijual dalam masa yang sangat singka. Disebabkan itu, FAM mengambil peluang untuk menambah lagi 10,000 keping tiket yang akan dibuka penjualannya secara online 9.00 pagi esok (Sabtu, 8 Disember 2018) sehingga habis kuota yang ditetapkan itu.
Seterusnya, baki 40,000 keping tiket lagi akan dijual secara fizikal bermula Ahad ini (9 Disember 2018. Info lanjut akan dimaklumkan nanti.
Okay chill gaiss, korang masih berpeluang untuk dapatkan tiket final bola nanti k?
Kaunselor Dedah 6 “TAKTIK HALUS” Pedofilia Sebelum Rogol, Liwat Remaja & Kanak-Kanak

Kebelakangan ini isu anak-anak kecil dan remaja menjadi mangsa rogol dan liwat orang yang rapat iaitu ahli keluarga, jiran, guru agak panas dibicarakan. Beberapa hari ini juga seorang guru Bahasa Inggeris “diburu” kerana mencabul dan melakukan kesalahan seksual ke atas anak murid ketika di sekolah.
Temuramah REMAJA bersama Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita & Kanak-Kanak dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Supt Siti Kamsiah Hassan tahun lalu menunjukkan 89 peratus kes rogol melibatkan kanak-kanak dilakukan oleh pelaku yang mengenali mangsa dan mangsa mengenali pelaku dengan agak rapat.
Bapa menduduki tangga teratas kes rogol remaja dan kanak-kanak dengan 25.5 peratus, diikuti bapa tiri 25.2 %, 17.4% pakcik, abang 12.3 % dan abang abang ipar 5.4%. Manakala bagi kes liwat dan seks luar tabie pula menunjukkan 5.6% kes dilakukan oleh jiran, 6.8 % guru dan 9.0 % dilakukan oleh majikan dan rakan sekerja.
Sememangnya kes salah laku rogol dan liwat semakin berleluasa di mana mangsanya adalah kanak-kanak dan remaja yang menjadi mangsa manusia pedofilia ini.
Elakkan dari menjadi mangsa manusia berhati binatang ini. Bagi mengelakkan menjadi mangsa, tolong hadam enam taktik halus yang biasa digunakan oleh pedofilia sebelum melakukan perbuatan terkutuk kepada mangsa seperti didedahkan oleh seorang kaunselor Mohd Hafiz Syafiq yang juga kaunselor panel LPPKN Kedah.


Keselamatan Anak-anak Kini Tergugat. Pakar Dedahkan 6 Peringkat Modus Operandi Pemangsa yang Bernafsu Binatang Ini. Ibu Bapa Wajib Baca.
Peringkat 1: Menentukan Mangsa.
Pemangsa akan mensasarkan kepada mangsa terutamanya anak-anak dan remaja yang sedang mengalami masalah emosi, perhubungan, pengasingan, rendah keyakinan diri dan remaja yang kurang pengawasan kedua ibu bapa adalah mangsa yang paling disukai. Pemangsa akan menggunakan alam siber iaitu media sosial sebagai medan mencari dan menentukan mangsanya.
Peringkat 2: Mendapatkan Kepercayaan Mangsa.
Pemangsa akan mendapatkan kepercayaan si mangsa dengan mengumpulkan maklumat tentang latar belakangnya, mengenal pasti keperluannya dan bagaimana mengisinya. Apabila pemangsa ini sudah menemui kelemahan dan keperluan mangsa ini tadi maka dengan mudah pemangsa akan mula menunjukkan perhatian dan kononnya bertanggungjawab bagi memenuhi keperluan si mangsa.
Hanya dengan perhatian yang diberikan lebih daripada biasa dan terlalu peribadi serta dengan menimbulkan kecurigaan terhadap kedua ibu bapa, si mangsa sudah boleh terpedaya. Pemangsa akan jadi bersemangat dan lebih berdisiplin dengan cara menjadi jarum yang mencucuk mangsa pada masanya tanpa mendedahkan identiti dirinya yang sebenar.
Peringkat 3: Mengisi Keperluan Mangsa.
Seterusnya pemangsa akan lebih bersungguh memenuhi keperluan si mangsa dan mengambil perhatian untuk menjadi orang yang paling penting dalam kehidupan si mangsa, malah sehinggakan mungkin menjadi lebih ideal daripada kedua ibu bapanya sendiri. Pemangsa telah berjaya memberikan hadiahnya yang sangat berharga dengan mengisi keperluan mangsa iaitu perhatian tambahan dan kasih sayang.

Peringkat 4: Mengasingkan Mangsa.
Pemangsa akan menggunakan hubungan istimewa yang telah dibina dengan mangsa untuk mewujudkan situasi di mana mereka bersendirian. Pengasingan ini terus mengukuhkan lagi hubungan istimewa. Pengasuhan, tunjuk ajar, bimbingan dan perjalanan aktiviti khas antara mereka semuanya dilakukan dalam peringkat pengasingan ini. Hubungan istimewa boleh diperkuatkan lagi apabila pemangsa menanam kepercayaan kepada mangsa itu bahawa dia disayangi atau dihargai dengan cara yang orang lain, bahkan ibu bapa tidak dapat berikan.
Peringkat 5: Mengadakan Perhubungan Seksual.
Pada peringkat kebergantungan dan kepercayaan emosional yang telah mencukupi, pemangsa sudah semakin berani memasukkan unsur-unsur seksual dalam perhubungannya. Perkara ini berlaku melalui bercakap, perkongsian gambar dan video, malah sehingga mangsa diminta telanjang. Pada ketika ini pemangsa akan mula mengeksploitasi rasa ingin tahu semula jadi kanak-kanak dan remaja dengan menggunakan perasaan rangsangan ingin tahu tertumpu kepada aspek perkembangan seksualiti dan fizikal.
Pemangsa akan memanipulasi apa yang menarik minat kanak-kanak dan remaja ini serta memperluaskan hubungan mereka dengan cara ini. (Dalam kes adik tingkatan satu yang dirogol itu dia kononya diajarkan bagaimana cara nak membesarkan payu dara) Pemangsa akhirnya mengajak mangsa untuk berjumpa bagi memuaskan nafsunya.
Peringkat 6: Mengekalkan kawalan.
Sebaik sahaja penderaan seks atau rogol berlaku, pemangsa biasanya akan menggunakan cara sama ada memujuk mangsa untuk mengekalkan penglibatan dalam perhubungan, berdiam diri, atau mengugut untuk menyebarkan rakaman gambar atau video mangsa.
Kanak-kanak dan remaja yang sudah sampai ke peringkat ini sedang berada dalam perhubungan yang terikat atau tersepit. Pada masa ini mereka sedang menghadapi ancaman ugutan yang mana boleh memberikan kesan psikologikal kepada diri mereka sehingga hilang pertimbangan dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan yang lebih rasional.
Para ibu bapa perlu lebih menjaga dan melindungi anak-anak daripada ancaman pemangsa dalam dunia siber kini dengan memberikan tumpuan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya kepada mereka.
#Kaunselor_Shafiq
Kaunselor Panel LPPKN Kedah