Pemilihan lagu Kesetiaan nyanyian asal Allahyarhamah Siti Sarah pada malam ini oleh peserta Big Stage 2022, Aisha Retno telah mendatangkan rasa sebak; bukan hanya dalam kalangan penonton dan penyanyi remaja itu saja tetapi juga oleh juri tetapnya.
Minggu ketiga kali ini menyajikan tema Playlist 2000’s di mana peserta boleh memilih mana-mana lagu dari era 2000 hingga 2011 untuk dinyanyikan.
Pemilihan lagu Kesetiaan ini boleh dianggap berani memandangkan penciptanya, Ajai duduk di kerusi juri tetap. Bukan mudah untuk menyanyikan lagu yang begitu dekat dengan hati juri secara live namun nampaknya, Aisha telah berjaya membawakan Kesetiaan mengikut caranya sendiri.
Perasaan sedih jelas dirasai seluruh dewan apabila masing-masing tidak dapat menyembunyikan rasa sebak sewaktu persembahan Aisha malam ini dan semasa sesi penjurian dilakukan. Malah nyanyian Aisha juga sedikit terganggu akibat emosi yang menyelubungi dirinya.
Kata Ajai apabila diminta untuk menjelaskan perasaannya sewaktu itu, beliau berkata pemergian Allahyarhamah masih terlalu baru dan amat dirasainya.
“Lagu tersebut memang kuat vibe-nya. Sesiapa saja yang membawakannya perlu mengikut cara tersendiri. Saya rasa sebak itu sebab kami rapat dengan arwah.
“Aisha ada imrovised namun tidak terlalu keterlaluan, dia mengikut kemampuannya. Ada beberapa bahagian yang saya rasakan sedap dan saya boleh terima,” katanya.
Bagi Datuk Seri Siti Nurhaliza pula yang dilihat mengesat air mata sewaktu Aisha mencecah bahagian korus Kesetiaan, beliau mengakui pantas teringatkan arwah lalu menangis.
“Kita tidak boleh nafikan arwah ialah seorang penyanyi yang konsisten, berkerja keras dan merendah diri. Apabila mendengar lagu itu, saya terus ‘dengar’ suara dia. Itu yang buatkan saya sebak.
“Lagipun, kami berdua mengandung sekita waktu sama semasa pandemik. Saya pun bersalin dalam musim pandemik tetapi Allah lebih sayangkan dia,” jelas Siti.
ARTIKEL BERKAITAN : Undian Rendah Peminat ‘Gagalkan’ Kemaraan Lia Aziz, Tersingkir Minggu 3 Big Stage – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber Foto : Ihsan Astro