Pempengaruh media sosial terkenal dari Indonesia, Saal Haerid, mengungguli anugerah utama All Asia Influencers Award (ASIA) 2024, sekali gus melakar sejarah dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$10,000, trofi eksklusif, dan pakej percutian mewah ke Dubai.
Tempat kedua pula dirangkul Abyan Calief dari Indonesia yang membawa pula trofi, wang tunai AS5,000 dan percutian ke Dubai manakala pempengaruh Malaysia, Imranul Effendi membawa pulang trofi, wang tunai AS3,000 dan percutian ke Dubai.
ARTIKEL BERKAITAN: Kekurangan Diri Bukan Penghalang Kejayaan, Graduan PKU Ini Jadi Salah Seorang Penerima Hadiah Pingat Emas USM!
Kemenangan besar itu diumumkan dalam malam gala ASIA2024 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Hotel Flamingo di sini, malam tadi.
Acara tersebut dihoskan oleh personaliti popular, Dina Nadzir dan Asyraf Nasir, yang berjaya menceriakan suasana dengan celoteh dan pengacaraan mantap mereka.
Selain anugerah utama, Saal turut meraih kategori Kategori Ciptaan Kandungan Terbaik yang melayakkannya membawa pulang trofi dan wang tunai AS1,000.
Manakala bagi kategori Suntingan Terbaik dimenangi oleh Herony dari Filipina. Karya Ulasan Makanan Terbaik pula menjadi milik pempengaruh Indonesia, Abyan Calief, yang mendapat pengiktirafan atas kreativiti dan keunikan kandungannya.
Kategori Penyampai Cerita Terbaik menyaksikan kemenangan Berliana dari Indonesia, manakala anugerah Pilihan Orang Ramai yang menjadi antara kategori paling dinantikan jatuh kepada Ananda Natasha, juga dari Malaysia, hasil undian peminat dan pengikut.
ARTIKEL BERKAITAN: Graduan Ini ‘Hadiahkan’ Anugerah Pelajaran Diraja Buat Ibu Bapa, Tekad Mahu Ubah Nasib Keluarga. Tahniah!
Pengerusi ASIA2024, Datuk Abd Rahman Soltan berkata, ASIA2024 juga mencatat sejarah tersendiri apabila meraih 254juta tontonan kandungan di media sosial menggunakan tanda pagar AllStarInfluencerAward2024 sepanjang program berlangsung.
Abd Rahman menjelaskan bahawa ASIA2024 bertujuan mempromosikan tiga elemen utama pelancongan tempatan iaitu kebudayaan, lokasi menarik dan bersejarah, serta makanan melalui platform media sosial, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan negara.
“ASIA 2024 menampilkan konsep unik dengan mengetengahkan tema Visit Malaysia 2026, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, World Tourism Day Melaka dan Visit Melaka 2024,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Acara gilang gemilang itu dirasmikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr Yasmin Mahmood, dan turut diserikan dengan kehadiran lebih 60 pempengaruh media sosial dari Jepun, Taiwan, China, Vietnam, Indonesia, Thailand, Korea Selatan dan Filipina.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Menurut Abd Rahman lagi, konsep tahun ini juga memberi fokus kepada Melaka sebagai destinasi utama, di mana peserta berpeluang mempelajari kebudayaan perkahwinan Melayu di Melaka.
“Juri yang terlibat sangat arif dalam menentukan kaedah pemilihan pemenang terbaik, dan pihak pengurusan tidak campur tangan atau bersikap pilih kasih. Sejak awal lagi, kami tekankan bahawa pemarkahan dilakukan secara adil,” katanya.
Malam gala ASIA2024 turut diserikan dengan kehadiran lebih 60 pempengaruh media sosial dari sembilan negara, termasuk Malaysia, Vietnam, Indonesia, Thailand, Taiwan, China, Jepun, Korea Selatan dan Filipina.
Para hadirin dihiburkan dengan persembahan memukau daripada selebriti terkenal seperti Bella Astillah, Yonnyyboii, dan kumpulan 53 Studio.
Acara ini merupakan sebahagian daripada program empat hari yang dianjurkan oleh Aston Creative, dengan matlamat meraikan bakat dan kreativiti dalam penghasilan kandungan digital.
Sebanyak 13 kategori anugerah disampaikan, memberi pengiktirafan kepada individu dan kumpulan yang telah memberi impak besar dalam dunia media sosial di peringkat Asia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.