Besar betul pengaruh bintang kpop ini apabila ramai peminat yang terikut-ikut ingin memiliki wajah seperti mereka. Tidak dinafikan baik lelaki mahu pun perempuan, selebriti Korea mempunyai wajah serta kulit yang cantik. Maka, tidak hairanlah sekiranya ada yang sanggup berhabis puluhan ribu ringgit semata-mata ingin kelihatan seperti mereka.
Seperti yang dilakukan oleh seorang pemuda dari Vietnam ini, Tran Dang Phuoc Cuong mahu mengubah dirinya pada tahun 2009 bagi mengubah nasib keluarga selepas bapanya meninggal dunia dan ibunya bertarung nyawa di hospital akibat kemalangan.
Cuong kemudiannya menyambung pelajaran ke China dengan mengambil kursus bahasa Cina bagi meningkatkan peluang mencari pekerjaan. Dia mencari kerja sambilan sebagai penari di Shanghai tetapi telah ditolak gara-gara penampilannya yang tidak begitu segak.
Lelaki ini akhirnya bekerja sebagai pelayan restoran dan mula menyimpan wang untuk mengubah wajah dengan menjalani pembedahan plastik.
Pada tahun 2011, Cuong bergelut untuk pertama kalinya dalam menjalani pembedahan mengurangkan saiz hidung. Enam bulan kemudian, dia menjalani pembedahan untuk menukar bentuk dan memanjangkan hujung hidung.
Selama bertahun lamanya, pemuda ini membentuk semula bibirnya serta dagu dan menjalani pembedahan selama 12 jam untuk menurunkan tulang pipi, memotong tulang rahang, membentuk hidungnya semula dan akhirnya wajah Cuong berubah menjadi lain sehingga ada yang tidak mengenalinya lagi.
“Saya tidak akan melupakan sewaktu saya terbaring di atas meja bedah dengan cahaya lampu pembedahan di mata saya, bau antiseptik, anestetik, pembalut, dan muka saya bengkak dan tidak dapat dikenali. Ramai orang beranggapan bahawa melakukan pembedahan plastik boleh membuatkan mereka ‘ketagih’, tetapi, pada hakikatnya tiada siapa yang ketagih kesakitan,”jelasnya.
Namun, pemuda berusia 29 tahun ini tidak akan membiarkan kesakitan itu menghalang impiannya untuk mengubah penampilan. Dia tidaklah menyokong dan menyeru orang ramai untuk melakukan pembedahan plastik, namun dia menasihati untuk mempertimbangkannya bagi mereka yang ingin mengubah kehidupan dan keyakinan diri.
Tapi nampaknya hasil pembedahan yang dilakukan oleh Cuong ini benar-benar menjadi. Lihat sahaja perubahan pada wajah lelaki ini. Namun bagi yang beragama Islam, pembedahan plastik untuk mengubah penampilan diri adalah diharamkan okay.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)