Hanya tinggal 5 jam saja sebelum perlawanan akhir UEFO UERO 2020 berlangsung di antara pasukan Itali dan England.
Bertempat di Stadium Wembley, peminat bola sepak sedunia melihat percaturan ini umpama satu peluang yang ‘disuapkan’ kepada England.
Bukan saja skuad pimpinan Gareth Southgate mempunyai kelebihan bermain di halaman sendiri (di hadapan lebih 60,000 penonton!), England juga mendapat sokongan daripada individu nombor satu negara tersebut iaitu Ratu Elizabeth II sendiri.
Dengan harapan England mampu mengulangi semula saat mereka mengangkat trofi Piala Dunia pada tahun 1966 di lokasi lama Webley, baginda telah mengirimkan ucapan selamat maju jaya kepada pengurus pasukan, Southgate.
“55 tahun lalu, beta bertuah kerana dapat menyerahkan Piala Dunia kepada Bobby Moore (kapten England semasa England menewaskan Jerman Barat pada tahun 1966) dan nampak betapa bermaknanya kemaraan ke final dan kemenangan di kejohanan sebesar ini buat para pemain, pengurusan dan kakitangan sokongan.
“Beta ingin mengirimkan ucapan tahniah beta dan keluarga beta kepada kamu semua di atas kejayaan mara ke final Kejuaraan Eropah, dan beta ucapkan selamat maju jaya untuk perlawanan esok dengan harapan sejarah akan direkodkan; bukan hanya di atas kejayaan kalian tapi juga kerana semangat, komitmen dan maruah yang telah kamu tunjukkan,” catat memo yang ditandatangani dengan initial Elizabeh R. itu.
Biarpun baginda tidak dijadualkan untuk berada di Stadium Wembley nanti bagi menyaksikan perlawanan akhir tersebut, cucundanya iaitu Putera William akan mewakili keluarga diraja di sana.
Untuk pengetahuan, Duke of Cambridge merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Inggeris sejak 2006.
Buat skuad Three Lions, tentunya kehadiran Putera William akan membangkitkan semangat mereka. Apatah lagi, Putera William tidak terkecuali mencemar duli semasa perlawanan England-Jerman dan England-Denmark pada peringkat separuh akhir, tempoh hari.
Adakah England mampu menewaskan skuad Azzuri dan kembali dengan trofi kejohanan besar pertama mereka setelah hampir enam dekad ‘kempunan’?
Well, laluan England nyata bukan mudah. Itali telah menunjukkan prestasi hebat pada kejohanan kali ini dan telah merekodkan keputusan tanpa kalah dalam 33 buah perlawanan berturut-turut. Sama-sama kita nantikan.