Dua orang penari yang tercedera sewaktu persembahan konsert grup lelaki Hong Kong, MIRROR pada 28 Julai lalu telahpun dikenal pasti.
Mangsa, ‘Mo’ Lee Kai-yin, 27 tercedera setelah dihempap dengan skrin LED gergasi sewaktu persembahan dilangsungkan. Beberapa saat kemudian, skrin tersebut mengenai seorang lagi penari bernama Chang Tsz-fung, 29.
ARTIKEL BERKAITAN : Trauma Jadinya! Skrin Gergasi Timpa Penari Grup MIRROR Di Hadapan Ribuan Penonton – REMAJA
Lapor South China Morning Post, impak skrin yang terjatuh ke atas tubuh Lee telah menyebabkan dia berada dalam keadaan kritikal dan dikhuatiri berdepan kemungkinan lumpuh dari bahagian leher ke bawah.
Ini setelah tubuhnya terseliuh pada bahagian ketiga dan keempat vertebra serviks lalu menyebabkan penari itu tidak dapat menggerakkan anggota badannya.
Insiden itu turut mengakibatkan kecederaan pada bahagian kepala dan paru-paru Lee.
Setelah insiden, Lee dan Chang terus dibawa ke Queen Elizabeth’s Hospital di Hong Kong untuk menerima rawatan. Lee menjalani pembedahan vertebrae pada malam yang sama dan beberapa lagi prosedur lain untuk menstabilkan tulang belakang.
Lalu, Lee perlu terus ditahan di hospital untuk rawatan lanjut sementara Chang telah dibenarkan pulang ke kediamannya pada 29 Julai.
Menurut kaji selidik awal yang dijalankan oleh pihak berkuasa, mereka mempercayai wayar gantung milik skrin itu terputus lalu mengakibatkannya jatuh ke atas pentas.
Di media sosial, warganet berkata bahawa amaran telah diberikan oleh beberapa penonton yang menghadiri tiga malam persembahan sebelum hari insiden. Sewaktu menyaksikan MIRROR, mereka khuatir melihat set pentas yang kelihatan tidak begitu stabil.
Untuk pengetahuan, kumpulan Mirror yang dianggotai oleh 12 ahli dijadualkan untuk melangsungkan siri konsert di lokasi sama, Hong Kong Coliseum dari 25 Julai hingga 6 Ogos.
Begitupun, insiden ini telah memaksa pihak penganjur konsert untuk mengumumkan pembatalan baki malam persembahan Mirror dan harga tiket boleh ditebus semula oleh peminat mereka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.