Penceraian Meningkat, ‘Corona Divorce’ Trend Baru Pasangan Kahwin Di Jepun

Share

Tempoh berada di rumah mungkin adalah antara yang membahagiakan bagi sesetengah orang. Namun, ada juga yang ‘panas bontot’ apabila terkurung bersama pasangan dibawah satu bumbung.

Sama seperti di Malaysia, di Jepun juga mereka diarahkan tinggal di rumah sejak 16 April lalu bagi mengelak penularan pandemik maut itu Covid-19.

Untuk info, hal ini menyebabkan kadar perceraian di Jepun meningkat apabila pasangan suami isteri terpaksa tinggal di rumah di tengah wabak COVID-19 dengan sekitar 35 peratus perkahwinan berakhir dengan tuntutan perceraian.

Menerusi tanda pagar #coronarikon yang membawa maksud perceraian korona, ramai pengguna Twitter dalam kalangan isteri memberi respon berhubung keadaan perkahwinan mereka.

“Suami saya sentiasa melengahkan sesuatu perkara. Saya kecewa dan tidak dapat bersama seseorang yang bersikap sedemikian. Ini perceraian korona,” luah seorang wanita.

“Suara suami saya kuat. Bunyi dia batuk dan makan. Bunyi televisyen dihidupkan dengan kuat sepanjang hari. Dia berdengkur ketika berbaring di tengah ruang tamu”

“Saya sudah bertahan selama 10 hari. Berapa hari lagi? Adakah semangat saya mampu bertahan?”

Menurut Chie Goto, seorang peguam pakar dalam kes perceraian di Pejabat Undang-Undang Felice di Nishinomiya, punca pasangan menghadapi situasi konflik rumah tangga ini disebabkan para suami perlu bekerja dari rumah atau ada yang kehilangan pekerjaan dan anak-anak pula perlu menghadiri kelas dari rumah.

“Rumah kini telah menjadi tempat bekerja dan itulah penyebab utama masalah penceraian di sini.

“Ia berikutan pasangan berasa tertekan dengan perubahan mendadak disekeliling dan menjadi penyebab keretakan rumah tangga,” ujarnya.

Bagi menghalang penceraian korona terus berlaku, sebuah firma di Jepun menawarkan khidmat sewaan pangsapuri sepanjang tempoh perintah berkurung disasarkan kepada pasangan suami isteri yang mengalami konflik rumah tangga.

Syarikat Kasuko yang beroperasi di Tokyo itu menyediakan pangsapuri lengkap dengan perabot sebagai ‘tempat sementara’ untuk mendapatkan ketenangan.

Jurucakap Kasoku, Amano memberitahu AFP, syarikat itu menawarkan sewaan pangsapuri dengan harga 4,400 yen (RM177) sehari.

Setakat ini lebih 20 pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka selepas kempen pemasaran giat digerakkan mulai 3 April lalu.

Katanya, mereka turut menawarkan khidmat konsultasi perceraian oleh pegawai undang-undang selama 30 minit. Kebanyakan pengguna perkhidmatan tersebut adalah golongan isteri yang berdepan pergaduhan besar dengan suami.

Untuk rekod, Jepun telah mencatat lebih 6,000 kes positif COVID-19 dengan 98 kematian telah dicatatkan. Manakala lebih 700 orang telah dibenarkan untuk keluar dari hospital selepas sembuh daripada wabak yang telah membunuh lebih 100,000 orang di seluruh dunia.

Sumber : myMetro

Published by
Nana