Berita

“Pendapatan Cukup Makan Sebagai Penoreh Getah,” – Nurul Syazwani Kenang Jasa Ibu Saudara & Arwah Nenek Besarkan Dirinya

Share

Untuk berjaya bukanlah mudah, tidak kira seseorang itu memiliki latar yang kaya mahupun kurang berkemampuan usaha menjadi penanda aras untuk mencapai kejayaan.

Seperti yang berlaku kepada Nurul Syazwani Muhamed Zabidi, gadis berusia 24 tahun ini tidak menjadikan kehidupan yang susah sebagai alasan. Sebaliknya ia menjadi pemangkin untuk dirinya lebih berjaya.

“Saya tidak datang dari keluarga yang senang dan ibu saudara saya merupakan tempat saya berkongsi kasih sepenuhnya setelah nenek saya meninggal pada 2017.

“Pengorbanan fizikalnya, kewangan dan mental membesarkan saya hasil pendapatan cukup makan sebagai penoreh getah membuatkan saya tekad mengubah nasib keluarga dan membalas jasanya.

“Saya amat bersyukur apabila niat untuk tidak membebankannya termakbul apabila saya berjaya ke menara gading hasil tajaan Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB),” kongsinya.

BACA JUGA: Bijak & Berwawasan, Ini Tujuh Selebriti Malaysia Bergelar Doktor Falsafah

Membanggakan ibu saudara yang selama ini membesarkan dirinya, pada istiadat konvokesyen Universiti Putra Malaysia kali ke- 47 Nurul Syazwani telah dinobratkan sebagai penerima Hadiah Endowmen Sultan Idris Shah.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan ini dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Bukan calang-calang orang yang dipilih, gadis berkulit hitam manis ini memanjat kesyukuran.

“Syukur atas penganugerahan ini dan inilah hadiah terindah buat arwah nenek serta ibu saudara saya. Lebih indah lagi sekiranya nenek ada di sini untuk meraikan kegembiraan ini,” ujarnya.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen