Insiden kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights Puchong pada hari ini tidak dianggap sekadar isu tempatan semata-mata tetapi merupakan satu isu keselamatan awam yang harus disiasat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Semenyih, YB Nushi Mahfodz menerusi hantaran di akaun rasmi Facebook sebentar tadi berkata, adalah amat mengejutkan apabila penduduk memaklumkan kerja pengorekan menggunakan jentera berat telah bermula di kawasan berisiko tinggi di sana seawal 1 Syawal.
Ini berikutan tular tangkap layar mesej WhatsApp yang didakwa merupakan perbualan sesama penduduk Putra Heights Puchong. Tinjauan terhadap paparan mesej itu mendapati wujud amaran awal mengenai pencerobohan rizab Petronas sebelum kejadian pada Selasa.
Penyampai mesej itu turut memaklumkan tentang pembinaan bangunan di lokasi itu yang dibimbangi akan mencetuskan letupan besar.
Biarpun kesahihan tangkap layar mesej itu belum dapat dipastikan – sekiranya benar – Nushi Mahfodz berkata ia adalah satu bentuk kecuaian yang harus disiasat.
“Di lokasi sebegini, setiap kerja pengorekan wajib disertakan dengan Job Safety Analysis (JSA) yang lengkap – meliputi pemetaan paip, penilaian risiko, serta kehadiran penyelia bertauliah.
“Jika tiada JSA atau pematuhan terhadap protokol keselamatan, itu bukan sekadar kecuaian kecil – itu adalah pelanggaran serius terhadap tatacara kerja selamat dan boleh dianggap jenayah terhadap keselamatan awam.
“Sekiranya benar berlaku pencerobohan ke atas rizab Petronas, ini bukan isu teknikal semata-mata. Ini adalah kelalaian yang mencabuli keselamatan rakyat dan mendedahkan kelemahan sistem kawal selia di peringkat pelaksanaan,” catat Nushi.
Tambah beliau, sekiranya dakwaan itu benar, kontraktor yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pembinaan tersebut wajar disiasat secara telus bahkan tindakan undang-undang perlu dikenakan tanpa kompromi.
Tragedi ini baginya juga perlu dijadikan satu titik perubahan dan bukan sekadar satu lagi berita yang akan dilupakan.
Terdahulu, media melaporkan seramai 112 mangsa membabitkan 49 buah kediaman telah terkesan kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas Petronas sepanjang kira-kira 500 meter.
SUMBER: Facebook Nushi Mahfodz
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.