Penerjun Pingat Perak Olimpik Rio, Cheong Jun Hoong Bersara Usia 31 Tahun

Share

 

Satu-persatu penerjun senior kebangsaan Malaysia ‘mengangkat kaki’ daripada dunia sukan dan mengumumkan persaraan.

Sekiranya beberapa hari lalu Leong Mun Yee, 37 bersara secara rasmi daripada sukan terjun, hari ini tiba giliran pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016, Cheong Jun Hoong pula untuk berbuat sedemikian.

Sumber Foto : Instagram Cheong Jun Hoong

Menerusi hantaran di Instagram pada tengah hari ini, Jun Hoong mengakui hatinya secara jujur masih berkobar ingin terus berjuang untuk Malaysia di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, khabarnya kontrak jun Hoong bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Renang Malaysia (MAS) dalam program latihan atlet sepenuh masa (2022) tidak diperbaharui. Justeru, atlet yang pernah bergelar juara dunia itu memilih untuk menamatkan perjalanan sebagai seorang atlet kebangsaan.

Jun Hoong digemari oleh rakan atlet yang bergelar juara dunia seperti Tom Daley dan Datuk Lee Chong Wei. Sumber Foto : Instagram Cheong Jun Hoong

ARTIKEL BERKAITAN : Cheong Jun Hoong Bertuah Terima Kardigan Yang Dikait Tom Daley – REMAJA

Satu lagi faktor utama yang membuatkan Jun Hoong memilih keputusan mendukacitakan ini adalah disebabkan faktor fizikalnya setelah menjalani pembedahan kedua di lutut pada bulan September 2021.

Jika korang masih ingat akan aksinya di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Ogos lalu, Jun Hoong sebenarnya sedang ‘struggle’ dengan keadaan fizikalnya yang tidak mengizinkan. Sebab itulah, beliau sukar untuk memberikan saingan kepada penerjun lain dan tidak dapat mara ke peringkat 12 penerjun terbaik.

ARTIKEL BERKAITAN : Terjunan Terakhir Selamatkan Pandelela, Datuk LCW Beri Semangat – REMAJA

“Success is not pride, failure is not discouragement. But I am honestly facing my own failure.”

Tambah Jun Hoong, biarpun kontraknya tidak disambung namun beliau masih bersyukur atas segala bantuan dan sokongan yang diterimanya selama ini.

“Saya merakamkan penghargaan kepada MSN, Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sokongan yang diberikan sepanjang kerjaya saya dalam sukan ini

“Tanpa mereka, saya tidak akan berada di tempat saya sekarang.

“Saya juga berterima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) atas sokongan yang diberikan termasuk sokongan perubatan membabitkan doktor, ahli fisioterapi pemulihan, psikologi dan semua kakitangan lain.

“Terima kasih semua atas sokongan, dorongan dan persahabatan sepanjang perjalanan saya dan untuk semua nasihat serta bimbingan yang diberikan pada setiap peringkat kerjaya saya. Saya selalu bersyukur.

“Oleh itu, saya dengan ini mengumumkan persaraan secara rasmi. Saya minta maaf,” catatnya.

Susulan pengumuman ini, Jun Hoong menerima kata-kata semangat daripada ramai personaliti sukan popular seperti penerjun David Boudia dari Amerika Syarikat, bekas penerjun tempatan Bryan Nickson, atlet boling Syaidatul Afifah dan ramai lagi.

Selamat maju jaya buat Cheong Jun Hoong dan TERIMA KASIH kerana membanggakan nama negara sepanjang pembabitannya sebagai penerjun kebangsaan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ