Kita selalu mendengar frasa, ”Jangan jaga tepi kain orang” terutamanya jika ia melibatkan perihal jiran di sekeliling rumah.
Namun dalam kes terbaru yang melibatkan kematian Allahyarham adik Zubaidi Amir Qusyairi, Jumaat lalu, mungkin situasinya sedikit berbeza dan menunjukkan betapa pentingnya peranan jiran.
Dalam temubual yang dilakukan oleh rakan media di Sinar Harian
, beberapa orang jiran yang menetap di lokasi kejiranan tersebut menyuarakan rasa sedih mereka terhadap kejadian itu.Ambulans yang disangka muncul disebabkan ada pesakit yang disahkan positif COVID-19 rupa-rupanya membawa seorang mayat anak jiran untuk urusan bedah siasat.
Sumber Foto: Sinar Harian.
Menurut jiran mangsa, mereka sering melihat adik Amir termenung di kawasan luar rumah. Manakala ibu kandungnya pula jarang sekali bergaul dengan jiran yang lain.
Hanya kelibat ibunya yang keluar masuk rumah sewaktu pergi bertugas sebagai pegawal keselamatan saja yang diperhatikan mereka.
“Bila lihat tong biru dan mayat kanak-kanak itu diusung keluar dari rumah mereka, saya sebak dan pilu,” kata salah seorang yang ingin dikenali sebagai Kak Aish, semalam.
Seorang lagi jiran melaporkan dia kerap mendengar tangisan dari kanak-kanak dari rumah jirannya itu sebelum ini. Namun dia tidak mengesyaki apa-apa dan menganggap itu hanyalah tabiat biasa seorang kanak-kanak kecil.
*
Jelas, peranan sebagai seorang jiran itu penting apabila ada situasi yang menimbulkan syak wasangka seperti ini.
Bukanlah bermaksud kita ingin menjaga tepi kain jiran atau bersifat ‘busy body’. Namun, adalah menjadi tanggungjawab kita apabila hidup berjiran untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira usia. Atau sekurang-kurangnya prihatin terhadap keadaan yang mendatankan kemusykilan bagi mengelakkan masalah menjadi lebih besar.
Jika dahulu, mengambil campur hal ehwal orang lain dianggap negatif. Namun dalam dunia sekarang, sekiranya ia disertakan dengan niat untuk membantu dan menenteramkan masyarakat di sekeliling tenteram, ia dilihat perlu.
Selain itu, penulis menyedari kepentingan orang ramai terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak agar sedar akan fungsi aduan Talian Kasih.
Mungkin sekali mangsa tidak berani untuk membuat aduan. Malah boleh jadi juga telefon mangsa telah dirampas pelaku berniat jahat. Oleh itu, sekiranya kita mendapati ada sesuatu yang menghairankan berlaku ke atas jiran di sebelah, teruslah buat aduan ke Talian Kasih di nombor 15999 atau kirimkan mesej ke WhatsApp 019-261 5999.
*
Terdahulu, laman media sosial tempatan telah digemparkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak berusia 7 tahun di Taman Krubong Jaya Melaka; hanya tiga bulan setelah anak kecil itu diserahkan oleh ibu angkatnya kepada ibu kandung serta ayah tirinya, Oktober tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN : “Kalau Tahu Jadi Macam Ini, Saya Tak Akan Serahkan” – Ibu Angkat Kanak-Kanak Maut Sesal – REMAJA
BACA LAGI : Fazura Antara Selebriti Terkesan Kematian Adik Amir