Mahu hidup bebas dan pegang duit banyak. Ini antara pengalaman dikongsi oleh seorang remaja yang kini ditahan di sebuah pusat pemulihan dadah di timur tanah air.
Baginya, nilai RM30,000 yang diperoleh sehari sebenarnya belum cukup untuk berseronok kerana duit “haram” itu akan pergi begitu sahaja.
Pengakuan Syazira dalam satu temu bual di pusat tahanan ini mungkin boleh dijadikan pengajaran buat remaja yang mahu bebas tetapi terjebak dengan kegiatan haram kerana mengejar keseronokan dunia.
Tubuhnya kecil namun fikirannya “besar”. Kala rakan seusia masih merencana kehidupan berbeza dengan Syazira Irdina Mohd Johari (bukan nama sebenar), 19 tahun. Tanyalah, apa tidak pernah dilakukan remaja ini. Mencuba dadah, menjadi tokan bahkan pernah dia menjual gadis-gadis demi untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan dadahnya.
Berbicara bersamanya, kagum kerana pengalaman hidup dilaluinya. Begitu luas biar usianya masih muda. Ditebak dengan persoalan kisah kehidupannya, kata anak sulung dari tujuh beradik ini, saban tahun dia dan keluarga akan bercuti ke Semenanjung Malaysia serta tempat-tempat lain.
“Emak bekerja di sebuah jabatan kerajaan dan ayah pula memiliki dua buah restoran. Sejak remaja saya bebas berbuat apa saja. Hinggalah ayah menjual perniagaannya namun saya lihat dia semakin banyak wang,’ katanya memulakan cerita.
Benar, wang boleh membeli jiwa dan manusia dan kerana mengejar wang juga sebuah kehidupan berkeluarga musnah.
Sering dipersalah
Tambah gadis remaja ini lagi, selepas emaknya berkahwin lain, dia sering menjadi punca kepada semua pergaduhan antara ibu dan bapa tirinya.
“Setiap kali bergaduh, nama saya pasti disebut. Kata mak sayalah punca dia bergaduh dengan suami barunya yang mungkin sudah tidak tahan dengan sikap saya. Sebab itulah saya lepas bebas dan lebih senang duduk menyewa rumah dengan kawan-kawan berbanding duduk dengan mereka.
“Ayah pula ketika itu, ada di sekitar ibu kota. Jadi saya sangat senang untuk berkomunikasi dengan ayah saja biarpun tahu dia seorang tokan besar kerana ayah sendiri tak segan silu menunjukkan apa dilakukannya,” katanya.
Sebelum terjebak sebagai pengedar, kata Shariza, dia mencuba sendiri sebelum bergelar pusher. Ada saya beli dari orang dan ada saya ambil dari ayah tanpa ayah risau atau takut saya ditangkap kerana banyak kaki yang mengetahui saya anaknya, jadi kerisauan itu langsung tidak ada,”katanya sambil menambah, setiap stok diperolehnya, dia dan kawan-kawannya akan pecah-pecahkan menjadi kecil dan jual kepada yang berminat.
“Sebagai contoh, kalau beli barang RM 1500, kalau dah dikecil-kecilkan, boleh dapat jualan lebih RM5000 ke atas. Sudah ada untung banyak,” katanya mengakui RM30,000 hasil jualan dadah sehari adalah biasa baginya tetapi duit itu tidak pernah lekat.
“Duit haram mungkin begitu. Sentiasa panas. Kami juga enjoy, kadang satu kelab malam kami booking. Minum tetapi saya tidak pernah mabuk-mabuk kerana saya takut terperangkap dengan polis.
“Perempuan dan dadah isu biasa tetapi semua orang seronok. Biasa dompet saya jadi tempat untuk mereka ambil sesuka hati,’ katanya.
Barangkali Allah masih menyayangi insan comel ini kerana dalam setiap kegiatannya di mana setiap kali polis menahannya, tiada barangan diperoleh sebaliknya hanya positif dadah jenis syabu sahaja.
“Mungkin Allah ingin memberi saya satu lagi peluang selepas beberapa kali tertangkap. Insya- Allah, selepas keluar dari sini saya akan datang ke Kuala Lumpur dan memulakan hidup baru,” katanya pernah ditahan di penjara wanita Kepayan tahun lalu atas kesalahan sama.
Bersyukur diberi peluang kedua
Ditanya tentang rasa takut dengan kegiatannya selama ini, kata Shazira hal itu tidak pernah timbul namun mereka sering berpindah randah dari satu rumah ke satu daearah demi keselamatan.
Berbeza dengan penagih lain, sebagai tokan pula, diaarif dadah jenis sintetik ini original atau tiruan.
“Kalau di tempat saya, 0.5 gm harganya RM50 ke RM80. Kalau ori harga boleh cecah RM250. Rasanya memang berbeza. Biasa saya dapat daripada pengedar lain dan bila saya sebut nama ayah, semua antara mereka mengenali ayah,” katanya memaklumkan bukan saja ayah tetapi pakciknya antara yang menjalani sekatan daerah kerana terlibat dalam kesalahan mengedar dadah.
Akui ramai kawan-kawan merapati kerana wang baginya terlalu mudah diperoleh, kata Shazira selepas ini dia mahu membuang jauh-jauh kenangan pahit yang pernah dilaluinya sebelum ini.
“Kata orang, pengalaman saya lalui ini tidak padan dengan usia saya sekarang. Sudah banyak kali juga saya ditangkap tetapi banyak kali juga pihak polis tidak menemui apa-apa dadah sama ada saya baru menjualnya atau sudah diberi kepada kawan-kawan.
“Mungkin Allah ingin memberi saya satu lagi peluang yang harus saya ambil dengan serius tentang masa depan saya sendiri. Doakan saya menjadi lebih baik. Sebelum ini pernah kena tahan, keluar masuk lokap tetapi saya tak pernah serik. Tapi untuk sekian kali, saya terfikir hari ini mungkin terlepas, esok lusa tidak mungkin. Jadi doakan saya jadi lebih baik untuk selamanya,” katanya yang akan dibebaskan tahun ini.