Pengarah Nasional Filipina Akhirnya Komen Tentang Kegagalan Celeste Cortesi Di Miss Universe 2022

Share

Kegagalan Filipina untuk menempatkan diri dalam kalangan 16 wakil negara terbaik di pertandingan Miss Universe 2022 semalam masih menimbulkan persoalan.

Filipina sebelum ini telah berjaya menempatkan diri sekurang-kurangnya dalam kedudukan Top 20 selama 12 tahun berturut-turut.

Malah, negara ‘powerhouse’ dari Asia Tenggara itu juga mencipta kegemilangan apabila dua orang wakilnya dinobatkan sebagai Miss Universe iaitu pada tahun 2015 menerusi Pia Wurtzbach dan sekali lagi pada 2018 menerusi Catriona Gray.

Wakil Filipina di Miss Universe 2022, Celeste Cortesi boleh dianggap sebagai salah seorang wakil paling cantik pernah dihantar untuk mengharumkan nama negara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tepati Ramalan Dapat Peluang Kedua, Juara Miss Universe Philippines 2022 Cantik Luar-Dalam – REMAJA

Celeste Cortesi di pentas akhir Miss Universe 2022, semalam.

Persediaan organisasi buat Celeste juga merupakan di antara yang paling tersusun dan terawal dilakukan di antara 86 buah negara yang bertanding.

Justeru, di mana silapnya? Adakah Celeste ‘lambat panas’ seperti yang didakwa oleh kebanyakan pemerhati ratu cantik antarabangsa. Atau pelan advokasinya tidak seampuh sang juara, R’Bonney Gabriel dari Amerika Syarikat yang juga memiliki 50 peratus darah kacukan Filipina?

ARTIKEL BERKAITAN: Gelaran Miss Universe 2022 Disandang Oleh Amerika Syarikat Selepas Penantian 10 Tahun – REMAJA

Seharian semalam, baik Celeste Cortesi mahupun pihak organisasi Filipina tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tatkala peminat Filipina masih ‘panas’ dengan kegagalan tersebut.

Begitupun hari ini, Pengarah Nasionalnya, Shamcey Supsup tampil memberikan pandangannya terhadap keseluruhan persembahan Celeste menerusi temubual bersama pemberita di Filipina.

Shamcey Supsup (kanan) dan Miss Universe Philippines 2022, Celeste Cortesi.

“Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Celeste. Saya rasa dia telah melaksanakan tugasan dengan cukup baik di pusingan awal (preliminary).

“Jujurnya, saya juga terkejut dengan keputusan semalam.” – SHAMCEY sUPSUP, PENGARAH NASIONAL ORGANISASI MISS UNIVERSE PHILIPPINES

“Tapi seperti yang telah saya beritahu kepadanya, dia hanya boleh lakukan yang terbaik dan selebihnya terserah kepada organisasi.. bagaimana juri memberi markah dan apakah arah tuju Miss Universe.

“Saya pasti Celeste telah bekerja keras siang malam untuk cuba membawa pulang mahkota kelima untuk Filipina,” ulas Shamcey yang enggan menunding jari ke arah mana-mana pihak dek prestasi tercorot negara itu di Miss Universe sejak 2010.

Tambahnya, “Ya, saya telah bercakap kepadanya pada pagi hari selepas pertandingan dan pastikan bahawa dia tidak menyalahkan diri sendiri di atas keputusan ini.

“Kadangkala, takdir kemenangan tidak berpihak kepada kita. Paling utama, penyokong dari Filipina turut berbangga dan merasakan dia layak memperolehi kedudukan Top 16,” katanya.

Kongsi Shamcey lagi, dengan kehadiran edisi terbaru Miss Universe Philippines 2023 tidak lama lagi, pasukannya perlu melihat semula kualiti apakah yang perlu dimiliki oleh pemenang seterusnya agar ia selari dengan hala tuju organisasi di bawah pemilikan Anne Jakrajutatip.

 

Roda Berputar Dari Atas & Ke Bawah

Kekalahan kali ini juga bagi Shamsey mengajar organisasi yang diuruskan olehnya itu untuk merendah diri selalu.

Pada saat ini, kesemua peserta di pentas Miss Universe kini adalah sama rata dan sukar untuk meramalkan negara-negara ‘powerhouse’ seperti Filipina terus kekal di atas jika tidak berbekalkan kualiti yang dicari oleh organisasi baharu Miss Universe.

Selain Filipina, beberapa negara lain yang mempunyai pengaruh kuat di Miss Universe namun gagal mara termasuklah Thailand, Perancis, Indonesia, Vietnam dan Mexico.

BACA LAGI: Wakil Laos Jadi Kebanggaan Rantau Asia Tenggara, Satu-Satunya Terpilih Top 16 Miss Universe 2022 – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ