Berita

Pengasas Astro & Maxis, Tan Sri Ananda Krishnan Meninggal Dunia Pada Usia 86 Tahun

Share

Tokoh perniagaan terkemuka dan hartawan terkaya di Malaysia, Tan Sri Ananda Krishnan Tatparanandam baru-baru ini telah disahkan meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Khabar dukacita itu disahkan sendiri oleh syarikat pegangan pelaburannya, Usaha Tegas Sdn Bhd namun sebab kematian masih belum diumumkan.

“Dengan rasa dukacita, kami ingin mengumumkan berita mengenai pemergian Pengerusi kami (Usaha Tegas Sdn Bhd ), Ananda Krishnan Tatparanandam. Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada 28 November 2024”

Menurut kenyataan itu lagi, sumbangan mendiang dalam pembangunan negara dan dunia korporat sepanjang hayat amat besar.

“Sifat filantropinya juga memberi kesan serta kenangan yang kepada semua menjadikan beliau sebagai seorang tokoh yang disegani dan dihormati,” jelas kenyataan itu lagi yang turut meminta agar orang ramai menghormati privasi keluarga mendiang dalam tempoh berkabung pada ketika ini.

Berikut fakta mengenai Tan Sri Ananda Krishnan sepanjang hayat beliau:

  • Ananda atau nama penuhnya Tatparanandam Ananda Krishnan yang sering dirujuk sebagai ‘AK’ adalah antara individu terkaya di Malaysia dengan nilai bersih dianggarkan lebih AS$5 bilion.
  • Mendiang membina empayar yang pelbagai merangkumi telekomunikasi, media dan tenaga melalui syarikatnya, Usaha Tegas.
  • Perjalanannya dalam industri perniagaan bermula dengan usaha dalam perdagangan minyak, yang akhirnya berkembang menjadi pelaburan dalam teknologi dan media.
  • Antara pegangan kepentingannya termasuk dalam syarikat telekomunikasi Maxis, Astro Malaysia Holdings Bhd dan Bumi Armada Bhd. Mendiang juga melancarkan MEASAT, perintis industri satelit Malaysia.
  • Pada April lalu, Forbes menyenaraikan Ananda sebagai individu ketiga terkaya di Malaysia dengan nilai bersih AS$5.1 bilion, selepas Robert Kuok dan Quek Leng Chan.
  • Tokoh yang dilahirkan pada 1938 di Brickfields, Kuala Lumpur ini terkenal dengan sikap rendah dirinya.
  • Tan Sri Ananda merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari University of Melbourne.
  • Beliau juga pemegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Harvard Business School.
  • Mendiang komited dalam membantu kebajikan kemasyarakatan dengan melalui Yayasan Ananda Krishnan, mendiang memberi sumbangan besar kepada pendidikan, seni, sukan dan inisiatif kemanusiaan.
  • Beliau terkenal dengan sifat dermawan dengan memberikan biasiswa dan sokongan kepada individu yang memerlukan dan berdedikasi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Kami di Remaja mengucapkan salam takziah kepada keluarga.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE