Pempengaruh media sosial, Khairul Aming baru-baru ini meraih perhatian sekali lagi apabila pengasas pasaraya Mydin, Datuk Ameer Ali memberi kebenaran untuk mengambil seberapa banyak barangan yang diperlukan bagi memudahkan urusannya membantu mangsa banjir.
Menerusi sebuah video yang tular di media sosial dimuat naik oleh akaun @localrkyt menunjukkan perbualan antara Khairul Aming dan Datuk Ameer menerusi siaran langsung di TikTok.
Menurut Datuk Ameer, beliau percaya Khairul Aming seorang individu yang jujur dan membenarkan pempengaruh berusia 32 tahun itu untuk membayar kesemua barangan tersebut selepas banjir.
“Awak pergi ambil barang seberapa banyak yang awak nak, tak perlu hantar orang atau kad kredit apa semua. Awak mesej saja berapa credit limit awak nak, contohnya RM20,000 atau RM50,000” katanya kepada Khairul Aming.
“Lepas habis banjir nanti awak bayarlah, tak apa. Kita percaya Khairul Aming,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyumbangkan barangan dari pasarayanya berjumlah RM5,000 kepada mangsa banjir menerusi inisiatif Mydin Prihatin.
Selain itu, Datuk Ameer juga turut memudahkan urusan Khairul Aming dengan memberikan maklumat pengurus besar di Mydin berdekatan dengan pempengaruh itu.
Susulan itu, Khairul Aming mengucapkan terima kasih kepada Ameer dan pengasas Mydin itu membalasnya dengan ucapan terima kasih juga atas usaha murni pempengaruh itu.
Hal itu telah meraih perhatian masyarakat dan rata-rata pengguna internet memuji tindakan pengasas Mydin itu kerana memudahkan urusan Khairul Aming dan pasukannya.
Terdahulu, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman memaklumkan sebaik tiba di Kelantan pada Sabtu, beliau berjaya mengumpulkan bantuan untuk 2,000 mangsa banjir di Pasir Mas hanya dalam masa dua (2) jam.
Khairul Aming turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak membuka tabung derma untuk membantu mangsa banjir kerana pempengaruh Pinn Yang sudah memberikan sumbangan besar kepada usahanya.
Sekadar info, berdasarkan laporan Astro Awani jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencatat penurunan kepada 110,213 orang setakat jam 6.00 petang semalam berbanding 128,952 orang pada 12.00 tengah hari.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.