Ads
Ads

PENGENALAN

Dewi Remaja ialah sebuah pencarian istimewa buat gadis remaja di Malaysia yang telah dianjurkan oleh Majalah Remaja menerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd (kini menerusi Nu Ideaktiv Sdn Bhd) sejak tahun 1985.
 
Dewi Remaja menjadi platform kepada gadis-gadis tempatan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai bakat baharu terutamanya dalam industri seni, bidang kerjaya yang diminati, sebagai pempengaruh dunia digital dan massa serta menjadi imej contoh yang memberikan inspirasi positif kepada masyarakat secara amnya. Mereka ini dibekalkan dengan potensi yang boleh digilap, berbakat besar, berkarisma serta mempunyai ciri-ciri tepat sebagai seorang figura awam.
 

Memasuki usia edisi ke-12, Pencarian Dewi Remaja 2022 meraikan dan mengangkat kuasa, suara serta mewakili kejayaan gadis remaja seperti yang ditunjukkan oleh para pemenang Dewi Remaja sepanjang lebih tiga dekad yang lalu.

The Iconic Dewi Remaja

Tengku Anis Tengku Ismail
Dewi Remaja 1984/1986

“Saya dilamar oleh pengasasnya iaitu abang Richie Rachman. Memandangkan saya meminati dunia modelling pada masa itu, saya bersetuju dengan pelawaan beliau. Pengalaman dikejar peminat merupakan pengalaman yang tidak boleh saya tukar ganti … such beautiful memories!”

Aleeza Kassim
Dewi Remaja 1987/1988

“Semua finalis Dewi Remaja inginkan kemenangan! Jadi, guna sepenuhnya peluang ini. Jangan masuk kerana inginkan dunia glamor semata-mata. Beauty may get you the attention but personality will capture the heart. Kamu perlu menjadi seorang yang multitasking, berkeyakinan tinggi dan pandai membawa diri. Walaupun sudah berada setinggi mana pun, jangan berlagak diva dan sombong.”

Jasmeen Dhillon
Dewi Remaja 1990/1991

“Tingkah laku perlu seiring dengan kecantikan. Paling penting adalah IQ kerana itu yang akan membezakan seorang Dewi Remaja dengan finalis yang lain. Pengalaman paling menyeronokkan bagi saya adalah apabila kami didedahkan dengan aktiviti yang melatih diri finalis menjadi diri sendiri. Kini, saya banyak menumpukan perhatian kepada keluarga dan menguruskan perniagaan.”

Wan Khatijah Wan Othman
Dewi Remaja 1994/1995

“Sepupu saya yang menghantar foto penyertaan saya! Rezeki terpilih sebagai finalis memang saya tidak duga. If you want to be a part of our family, just be yourself. Jangan pernah hipokrit dan perlu pandai menjaga kecantikan luaran serta dalam. Itulah yang akan mencerminkan diri seorang Dewi Remaja. Sebagai orang baru, semua itu akan dinilai.”

Juliana Banos
Dewi Remaja 1997/1998

“Saya tidak nafikan, gelaran Dewi Remaja membuatkan saya terus dikenali sehingga hari ini walaupun tidak lagi aktif. Bagi peserta yang akan datang, jangan takut pada persaingan kerana kalah menang adalah adat bertanding. Ingat, Dewi Remaja bukan untuk mencari glamor saja. Dewi Remaja adalah peluang besar untuk mencorak masa depan kamu.”

Annahita Bakavoli
Dewi Remaja 2002/2003

“Dewi Remaja sangat unik kerana ia bukan saja menilai dari kecantikan luaran tetapi juga dalaman kamu. Untuk berjaya dalam industri ini, kamu perlu persiapkan diri dan ini adalah platform terbaik. Dewi Remaja telah membuktikan setiap finalis akan berjaya dalam bidang masing-masing. Ia telah membuka peluang untuk saya memulakan karier seni aktif dan terkini, di dalam bidang penerbitan.”

Scha Al-Yahya
Dewi Remaja 2005/2006

“Saingan saya cukup ramai pada edisi ketujuh dan saya sangat berbangga kerana lahir sebagai produk Dewi Remaja. It is a great way to start anyone’s career. Saya percaya alumni yang ada semuanya bagus dan tidak pernah gagal menyumbang sesuatu yang baru dan exciting kepada dunia seni. Cuma ingat, tidak mudah untuk terus menjadi anak seni berjaya. Kerja keras dan minda yang kuat perlu ada.”

Neelofa
Dewi Remaja 2009/2010

“Pada waktu itu, kami terlibat di dalam enam buah episod program realiti. Ia mengajar saya untuk selalu berusaha daripada zero kerana saya akan selalu pelajari ilmu baru setiap hari, sehinggalah sekarang. Alhamdulillah, mentor kami pada waktu itu adalah Aleeza Kassim dan saya cukup hormatinya. Pakej sebagai Dewi Remaja perlu mempunyai fokus, versatiliti dan tahu misi kamu menyertai pertandingan ini.”

Raysha Rizrose
Dewi Remaja 2014/2015

“Smart can be sexy too! Sebagai finalis Dewi Remaja, kamu perlu perkuatkan minda dan intelek, barulah segala ilmu yang diturunkan itu mudah kamu terima serta praktikkan. Sepanjang berada bersama Dewi Remaja, saya ajar diri untuk selalu menjadi yakin kerana ia akan menolong saya ketika berhadapan dengan task dan akhirnya, ketika menjawab soalan di pentas finale. Jangan gelojoh mengejar glamor, fokus dahulu kepada misi untuk berjaya.”

Shaza Bae
Dewi Remaja 2019

“Saya pelajari daya kesabaran menerusi pencarian Dewi Remaja. Sabar di sini bagi saya amat penting buat generasi sekarang yang  rata-rata saya lihat mengejar hasil secara tergesa-gesa. Setiap kejayaan perlu bertitik-tolak daripada kepayahan. Tanpa mengerti makna perjuangan dan usaha keras, sesebuah kejayaan yang kita kecapi tidak akan membutirkan nikmat berpanjangan.”

Dewi Popular