Pengenalan
The Iconic Hero Remaja
ESMA DANIEL
Hero Remaja 1990/1991
Hero Remaja sulung dalam sejarah penganjuran, Esma Daniel kini bergelar seorang pelakon tersohor dan pengarah di Malaysia. Rakan seperjuangan Azhar Sulaiman (naib juara) dan Badrul Muhayat (pemenang tempat ketiga) ini masih menghargai peminat yang setia memberikan sokongan dan mengikuti perkembangan kariernya hingga ke hari ini. “Apabila kita ikhlas bekerja, orang lain pun akan menghargai hasil kerja kita untuk tempoh waktu yang lama. Tahniah kepada Majalah Remaja yang berjaya mengekalkan jenama Hero Remaja sebagai platform terbaik untuk mencari bakat.”
AZHAR SULAIMAN
Naib Juara Hero Remaja 1990/1991
Arkitek, pelakon, pengacara dan pegawai khas di sebuah syarikat ini bukanlah seorang figura biasa. Sejak kecil, beliau diajar untuk selalu berdikari dan tidak boleh duduk diam. Pesan bapanya, jangan hanya bergantung kepada bidang seni. Sebaliknya, jadilah insan yang bijak menjadikan industri seni sebagai batu loncatan untuk berjaya. “Sebagai selebriti era digital, finalis Hero Remaja perlu bijak menggunakan peluang menimba ilmu sambil mengembangkan bakat. Apabila sudah berjaya, mereka harus pandai menjaga diri, perlakuan dan jangan pernah sombong. Tidak mustahil karier seseorang itu boleh bertahan melebihi 3 dekad seperti kami.”
NORMAN HAKIM
Top 3 Hero Remaja 1993/1994
Pemilik nama Mohamed Nurhakim Zaido ini merupakan finalis yang berasal dari Kuantan, Pahang dan kekal sebagai di antara Hero Remaja yang aktif dalam industri seni sehingga hari ini. Terkenal dengan watak Inspektor Haris dalam siri Gerak Khas, Norman tetap dengan pendirian bahawa gelaran selebriti adalah satu tanggungjawab yang perlu dipegang oleh para finalis untuk menyampaikan sesuatu yang berkualiti kepada generasi yang lebih muda. Hero Remaja baginya bukan sekadar batu loncatan untuk mengembangkan bakat tetapi juga sebagai peluang untuk memberi semula kepada masyarakat.
WAN SHAHLIM
Juara Hero Remaja 1997
23 tahun telah berlalu, namun profesionalisme, gelak tawa dan wajah kacak Wan Shahlim Wan Abdul Wahab masih kekal. Beliau yang baru-baru ini muncul menerusi drama Red Velvet masih aktif dalam dunia iklan komersil. Selebihnya, beliau banyak menggiatkan diri di belakang tabir dalam bidang produksi. “Rezeki daripada penyertaan dalam Hero Remaja itu cukup luas, lain orang lain arahnya. Yang penting, finalis perlu menjaga diri, jaga agama dan jaga nama baik keluarga.” Seiring dengan kemenangan Wan Shahlim sebagai juara, rakan seperjuangannya Allahyarham Ashraf Sinclair turut tersenarai dan menduduki tangga ketiga.
KUSYAIRI AHMAD
Juara Hero Remaja 1999
Penglibatan juara keempat dalam sejarah penganjuran Hero Remaja ini hadir tanpa dirancang apabila Datuk Aznil Haji Nawai memintanya untuk mengirimkan foto penyertaan. Kusyairi Ahmad mengimbau semula malam kemenangannya itu apabila dirinya hanya disambut oleh tiga orang penyokong saja berbanding rakan finalis lain yang menerima sokongan padu sepanjang musim. Rezeki ternyata berpihak kepadanya. Beliau bersyukur apabila momen tersebut telah memberikannya peluang menempa pengaruh dalam bidang lakonan menerusi sitkom Mat Despatch dan drama Kutub Utara Kutub Selatan yang menjadi kegilaan penonton pada masa itu.
AZLAN NORDIN
Naib Juara Hero Remaja 1999
Sekitar lewat era 90-an, Norazlan Nordin ialah di antara wajah model lelaki paling kerap menghiasi halaman majalah tempatan. Jejaka berkumis nipis ini masih berkhidmat dalam bidang pengurusan hartanah bersama sebuah bank walaupun minat dalam bidang peragaan tidak pernah luntur. “Walaupun format Hero Remaja sedikit sebanyak sudah berubah, populariti yang diperolehi oleh finalis dulu dan sekarang masih sama. Peminat akan setia dengan finalis untuk bertahun-tahun lamanya. Nasihat saya, jauhkan diri daripada perkara yang boleh menjejaskan nama dan kredibiliti anda dalam dunia digital ini. Kontroversi mungkin boleh menjadikan anda popular tapi hanya untuk seketika waktu saja.”
ZED ZAIDI
Juara Hero Remaja 2001
Daripada status sebagai seorang pegawai perbankan, kehidupan pemilik nama Rozaidi Abdul Jamil berubah setelah bergelar juara Hero Remaja 2001 pada usia 21 tahun. Drama reboot Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam telah membawa nama Zed Zaidi ke pengetahuan penonton seluruh Malaysia dan Singapura sehingga mencetuskan fenomena. Kini sibuk dengan tugas mengendalikan kebajikan selebriti Malaysia selaku Presiden SENIMAN, beliau berpesan agar finalis ‘mencuri masa’ melakukan kerja kebajikan. “Penglibatan ini bukan hanya demi berbakti, ia juga akan membantu anda mengenali nasib anak seni lain yang boleh dijadikan pedoman.”
ZAWEN ANWAR
Juara Hero Remaja 2004
Zawen Anwar masih mengingati rekod yang dipegangnya selaku juara pertama pencarian Hero Remaja dengan imej badan tegap. Jejaka berusia 39 tahun ini memecahkan stereotaip seorang juara Hero Remaja yang sebelum itu hadir dalam pakej fizikal yang seakan sama. Dia mengakui tidak menyertai dunia lakonan yang dirasakannya kurang menepati cita-citanya. Sebaliknya, beliau kini aktif dalam bidang pemasaran dan menjadi pelatih kecergasan sukan tinju serta kickboxing. “Nilai seseorang terletak pada cara dia membawa diri, jadi usah hanya glamor yang dicari.”
KAMAL ADLI
Juara Hero Remaja 2007/2008
Lebih sedekad selepas kemenangannya, Kamal Adli masih kekal komited untuk beraksi di layar kaca dan perak dengan kemunculan projek lakonan popular pada setiap tahun. Kemenangan Kamal Adli umpama satu cetusan evolusi era pencarian Hero Remaja apabila musim ketujuh itu diikuti rapat oleh generasi baharu yang bercita-cita tinggi ingin menyertai industri seni. Kamal juga masih mempunyai kontak kukuh dengan keluarga Majalah Remaja setelah bergelar pengacara bagi Dewi Remaja 2014/2015 dan acara finale Dewi Remaja 2019.
FIZO OMAR
Naib Juara Hero Remaja 2007/2008
Jejaka kelahiran Kelantan ini masih menjaga baik hubungannya dengan pencarian Hero Remaja dan sahabat baiknya, Kamal Adli. Fizo Omar yang dahulunya pernah bercita-cita untuk terlibat dalam arena bola sepak tidak membazirkan peluang menyerap ilmu yang diperlukannya sebagai seorang selebriti menerusi Hero Remaja 2007/2008. “Semangat itu masih ada dengan saya sehingga sekarang, dalam apa jua yang saya lakukan. Lakukan sesuatu disebabkan minat, bukannya kerana desakan atau paksaan. Sebagai seorang Hero Remaja, kamu harus bijak menggunakan pengaruh yang ada ke jalan inspirasi.”
FATTAH AMIN
Juara Hero Remaja 2011/2012
Jejaka tinggi lampai ini terlebih dahulu bergelar model yang menghiasi halaman Majalah Remaja. Siapa sangka, percubaan Fattah Amin yang merupakan pelajar jurusan pengurusan filem membuahkan hasil apabila menempatkan diri sebagai juara di hadapan rakan selebriti, Syafiq Kyle dan Saharul Ridzwan. “Saya faham mengapa semua finalis inginkan gelaran juara, Hero Remaja adalah peluang sekali seumur hidup. 8 tahun selepas tamat pencarian, saya masih memegang semangat untuk tidak berputus asa dan tidak pernah gentar untuk mencuba.”
ALIF MUHAIMIN
Juara Hero Remaja 2017
Memasuki era media sosial yang semakin berkembang, Alif Muhaimin pantas menyesuaikan diri. ‘Permainan’ media sosial memudahkan seseorang untuk naik dan mampu menjatuhkan seseorang tanpa sedar sekiranya tidak berhati-hati. Walaupun zaman telah berubah, satu perkara yang kekal baginya adalah usaha. “Saya melihat senior saya seperti Esma Daniel, Norman Hakim dan Fattah Amin mampu bertahan lama dalam industri kerana tidak penat meletakkan usaha untuk terus menjadikan diri mereka relevan. Saya menganggap diri ini masih baru dan percaya Hero Remaja adalah permulaan untuk perlahan-lahan mencipta nama dan pengalaman.”
NADHIR NASAR
Juara Hero Remaja 2020
Gelaran juara kesepuluh pencarian Hero Remaja tentunya ingin disambar oleh ramai remaja di luar sana. Tekanan memikul gelaran tersebut jujurnya diakui oleh Nadhir Nasar. Bagaimanapun, dia percaya sembilan orang juara terdahulu mempunyai keistimewaan masing-masing dan begitu juga dengan pakej dirinya. Enggan sekadar bergelar seorang pelakon, Nadhir turut ingin mematerikan semangat bergelar pengarah dan usahawan berjaya satu masa nanti. “Setiap kali seorang juara diangkat, ada makna di sebalik pemilihannya. Kemenangan ini saya anggap sebagai menjejakkan kaki ke dalam industri, dan anda juga boleh menjadi individu seterusnya.”