Sebagai remaja yang berwawasan untuk menerajui tampuk kepimpinan pada masa depan, kuasailah tatabahasa dari peringkat asas untuk berbahasa dengan tepat dan santun.
Kata nama am ialah golongan kata yang paling asas untuk dikuasai. Kata nama ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti orang, haiwan, dan sesuatu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, tempat, dan benda. Jelasnya, kata nama am digunakan bagi menyebut sesuatu secara am atau umum.
Di bawah disertakan contoh setiap jenis kata nama am:
Manusia: ustaz, guru, polis, askar, tukang kayu
Binatang: tikus, kucing, lembu, kambing
Benda: kapal terbang, pisau, buku, komputer, jam
Konsep: kesejahteraan, keamanan, perpisahan, keindahan
Kata nama am boleh ditulis bergandingan penjodoh bilangan. Kata nama am juga ditulis bermula dengan huruf kecil kecuali pada permulaan ayat.
Berikut ialah beberapa binaan frasa nama yang menunjukkan kedudukan kata nama sebagai inti frasa nama dan perkataan-perkataan lain yang hadir sebelum dan selepasnya.
Frasa nama am | ||
Unsur sebelum | Kata nama | Unsur selepas |
sebuah | kapal terbang | antarabangsa |
semua | bas | pelancongan |
tiap-tiap | pendapat | bernas |
tiga orang | murid | sekolah rendah |
Pembaca mestilah menguasai konsep asas dalam tatabahasa terlebih dahulu supaya pembaca akan sentiasa beketerampilan dalam berbahasa.
Kesantunan menulis dengan betul akan menggalakkan orang lain menulis dengan cara yang betul. Keadaan ini akan membantu kita memartabatkan bahasa rasmi negara dan bahasa ibunda kita.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Puan Khannita binti Zakariah.