Elipsis ialah tiga titik berurutan “(…)” yang digunakan dalam penulisan untuk menandakan pengguguran sesuatu bahagian dalam teks sama ada dalam bentuk kata, frasa, klausa, ayat atau petikan. Kegunaan elipsis bergantung pada keperluan dan maksud bahagian yang ditulis dengan tanda elipsis itu.
Dalam menggunakan tanda elipsis, tiga perkara penting yang perlu difahami ialah:
- Tanda elipsis terdiri daripada tiga titik sahaja. Jangan menulis tanda elipsis dengan lebih daripada tiga titik.
- Tanda elipsis seharusnya diapit oleh satu jarak di kiri dan satu jarak di kanannya. Contoh penggunaan tanda elipsis yang betul dengan apitan jarak adalah seperti yang berikut:
Encik Amran berasa gembira … anaknya mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia.
- Apabila tanda elipsis digunakan di hujung ayat, tanda elipsis tersebut seharusnya dijarakkan daripada tanda noktah yang menjadi penutup ayat. Contoh penggunaan tanda elipsis yang betul dalam konteks ini adalah seperti yang berikut:
Sehubungan dengan itu, semua pihak bersetuju untuk mencegah penularan wabak penyakit berjangkit di Malaysia … .
Dalam ayat di atas, selepas tanda elipsis, terdapat satu jarak sebelum tanda noktah digunakan. Beginilah caranya menulis elipsis di akhir ayat atau teks.
Dari segi penggunaan, tanda elipsis mempunyai beberapa fungsi. Antaranya termasuklah:
- Tanda elipsis digunakan untuk menggugurkan bahagian yang tidak diperlukan dalam teks. Bagi tujuan ini, tanda elipsis boleh wujud di pangkal teks, di tengah teks atau di akhir teks.
- Tanda elipsis digunakan untuk menunjukkan pengguguran maklumat yang terletak di bahagian akhir suatu siri frasa atau senarai yang ada sambungannya. Maklumat yang digantikan dengan tanda elipsis itu bermaksud “dan seterusnya” atau “dan lain-lain” sebagai sambungan kepada perkara yang dinyatakan dalam senarai tersebut. Sebagai contoh:
Nombor-nombor perdana ialah 2, 3, 5, 7, …
Semoga penerangan ringkas tentang penggunaan tanda elipsis dalam penulisan memberikan manfaat kepada pembaca.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Profesor. Madya. Dr. Ramalinggam Rajamanickam