Hiburan

Penghibur One Love Music Festival Luah Kekecewaan Acara Batal, Kasihan Peminat Sudah Tiba Di KL

Share

Pembatalan konsert One Love Music Festival yang sepatutnya berlangsung pada hari Sabtu lalu masih menjadi bualan netizen di media sosial.

Dek pembatalan yang dimaklumkan hanya sehari sebelum acara berlangsung, rata-rata para penghibur yang dijadualkan muncul untuk slot persembahan di konsert berkenaan telahpun tiba di Kuala Lumpur bagi sesi latihan dan acara sebenar.

BACA: Festival ‘One Love Music’ Dibatalkan Sehari Sebelum Berlangsung, Kos Penganjuran Tidak Tertanggung – Remaja

Menerusi hantaran di Instagram Story, para penghibur dari Indonesia dan Malaysia meluahkan kekecewaan mereka terhadap pembatalan pada saat-saat akhir itu.

53 Universe

Kumpulan yang semakin meningkat naik, 53 Universe (bersama Zynakal) difahamkan telahpun melakukan sesi soundcheck Jumaat lepas di atas pentas.

“Semua persediaan, lelah dan masa yang terkorban. Ini adalah mengecewakan. Yang paling sedih adalah kepada peminat yang sudah membeli tiket, yang sudah menempah hotel, sudah sampai Kuala Lumpur dari jauh. Ini adalah ujian sebenar, saya kasihankan korang semua. Harap korang dapat bersabar, okay?” ujar mereka.

53 Universe.

Insomniacks

Band trio, Insomniacks yang sudah berpengalaman menyertai festival muzik sebegini juga kecewa apabila peminat terlepas peluang untuk menonton persembahan duet mereka bersama Nabila Taqiyyah.

“Kami amat teruja untuk melakukan persembahan untuk anda tetapi hanya boleh berharap agar anda semua selamat dan okay. Terima kasih atas sokongan anda terhadap kami dan artis-artis Malaysia serta Indonesia lain yang terlibat,” kata Insomniacks.

Insomniacks.

Feby Putri

Penyanyi solo Indonesia, Feby Putri berkongsi dirinya sudahpun berada di Kuala Lumpur bersama entourage beliau yang cukup ramai. Selepas dimaklumkan mengenai pembatalan konsert One Love Music Festival, Feby sempat memuat naik pasukannya ‘tersidai’ di dalam bilik hotel sambil memikirkan situasi berkenaan.

“Terima kasih kepada teman-teman Malaysia. Maaf belum bisa bertemu. Semoga kita bertemu lagi.

“Kami dan team sudah sampai di Malaysia namun ada satu hal yang tidak dipenuhi oleh penganjur kepada kami dan akhirnya, penganjur memberikan kenyataan terakhir yang sudah dipersetujui bahawa acaranya batal,” catatnya.

Terdahulu, Feby telah menjayakan konsert keduanya di Malaysia berjudul Feby Putri Vol 2 Detik Minit Jam, Julai lalu.

Feby Putri.

Nadin Amizah

Manakala, peminat penyanyi ‘galau’ Indonesia, Nadin Amizah yang sudah lama menantikan kehadirannya di Malaysia turut berduka cita dengan pembatalan ini.

Nadin, 24 bagaimanapun bersikap positif terhadap situasi berkenaan dan enggan menyalahkan mana-mana pihak sepenuhnya.

“Setiap kali ada pembatalan acara sebegini sebenarnya kasihan kepada semua pihak.

“Kasihan penganjur acara kerana pasti banyak hal besar yang tidak dijangka yang tidak mampu diselesaikan.

“Kasihan penghibur acara dan pasukan masing-masing kerana kami juga ada yang belum dibayar dan jadinya membazir masa dan tenaga. Tapi yang palih kasihan dan menjadi mangsa korban tentunya penonton yang telah membeli tiket, tempat penginapan dan pengangkutan untuk datang ke acara,” katanya.

Nadin Amizah.

Nadhif Basalamah

Berbeza dengan penghibur One Love Music Festival lain, artis Indonesia Nadhif Basalamah mengambil pendekatan untuk memuat naik kenyataan rasminya di bahagian feed Instagram.

Dengan nada sedikit kecewa, penyanyi berusia 24 tahun itu menjelaskan bahawa sehingga ke hari Jumaat lalu, pihaknya belum menerima info terbaru mengenai tempat tinggal ataupun tiket penerbangan yang terlebih dahulu sepatutnya disediakan oleh pihak penganjur.

“Kami telah banyak memberikan kerjasama dan terus berkomunikasi dengan pihak penganjur untuk membolehkan penampilan kami menjadi kenyataan. Namun hingga saat ini, tidak ada solusi yang memungkinkan hal tersebut terjadi,” jelasnya.

Nadhif Basalamah.

Menerusi hantaran makluman mengenai pembatalan konsert ini di TikTok REMAJA, rata-rata peminat mengharapkan agar proses pemulangan dana tiket konsert dilakukan segera oleh pihak penganjur, Tuff KL.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama pembatalan acara konsert di Malaysia yang melibatkan artis antarabangsa terjadi. Julai lalu, industri hiburan dikejutkan dengan pembatalan acara Good Vibes Festival yang sepatutnya berlangsung di Genting Highlands bagi mengormati pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

BACA: Good Vibes Festival 2024 Dibatalkan Demi Hormati Pertabalan Yang di-Pertuan Agong – Remaja

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagramTikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ