“Pengikut Saya Tidak Berperangai Pelik,”- Masih Trauma Insiden Diekori Lelaki Warga Asing, Mek Yun Tak Salahkan Populariti

Share

Pempengaruh media sosial, Wee Yun Nee atau lebih dikenali sebagai Mek Yun mengingatkan orang ramai terutamanya wanita untuk tidak berjalan seorang diri di tempat yang sunyi.

Menurut Mek Yun, selepas kejadian diekori seorang lelaki dipercayai warga asing sewaktu berjalan bersama ibunya di sebuah pusat beli-belah, dia kini akan lebih berhati-hati dengan keadaan sekeliling apabila berada di luar.

“Silap saya juga sebab tak terus buat laporan polis dan tak sempat nak panggil pengawal keselamatan di tempat tersebut. Individu berkenaan sempat lari.

“Namun, saya bersyukur sebab tiada apa yang berlaku kepada saya dan ibu pada ketika itu. Saya pun dah tak pasti ke mana individu itu menghilang.

“Buat para wanita yang berhadapan situasi yang sama seperti saya, jangan panik. Sebolehnya, jangan berjalan atau pergi ke kawasan parkir seorang diri.

“Apa yang penting, cari bantuan seperti masuk ke kedai yang paling dekat atau panggil pengawal,” katanya kepada Remaja.

Dalam pada itu, pempengaruh berbangsa Cina asal Kuala Lumpur ini juga mengakui kejadian tersebut sedikit sebanyak menimbulkan perasaan trauma di dalam hidupnya.

“Sudah tentu. Situasi tersebut telah menimbulkan perasaan yang sangat menakutkan.

“Walaupun orang lain mungkin menganggap hal ini remeh tapi hanya kita yang melaluinya sahaja yang faham bagaimana perasaannya bila berhadapan dengan situasi diekori itu.

“Saya tidaklah fobia teruk sangat dan masih lagi boleh keluar seperti biasa. Namun, saya akan lebih berhati-hati dengan keadaan sekeliling.

“Keluarga memang sangat risau. Ketika itu saya hanya berdua dengan ibu. Ayah pun dah bagitahu, selepas ini kalau nak ke mana-mana, dia akan ikut sekali,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mek Yun turut menafikan insiden berlaku disebab privasinya yang kini terdedah selepas bergelar pempengaruh.

“Saya tak rasa yang lelaki tersebut merupakan pengikut saya. Setakat ini, saya bersyukur kerana para pengikut saya tidak berperangai pelik-pelik.

“Kesemua mereka sangat baik dan menyokong. Malah, saya pun tak pernah terima mesej yang pelik-pelik di DM dan komen.

“Dari segi privasi pula, saya tak pernah rasa terganggu. Kalau, peminat nak bergambar pun tiada masalah kerana ia membuatkan saya lebih dekat dengan mereka,” kongsinya lagi.

Mek Yun yang fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Tik Tok Awards Malaysia 2023 baru-baru ini.

Sementara itu, Mek Yun meluahkan rasa teruja dengan penganjuran Tik Tok Awards Malaysia yang bakal berlangsung buat julung kalinya pada 27 Ogos ini.

Meskipun tidak tercalon, sebagai content creator, Mek Yun tetap memberikan sokongan dan bangga dengan pencapaian yang diraih oleh rakan-rakan seperjuangan di platform berkenaan.

Katanya lagi, dia milih pempengaruh, Khairul Aming sebagai calon pemenang bagi kategori, Creator Of The Year.

Published by
Aizam Abd Manaf