Kegigihan seorang bapa yang bekerja sebagai tukang kasut telah menginspirasi Nur Afika Idris, untuk berjaya dalam pelajaran dan meraih ijazah kelas pertama.
Nur Afika baru-baru ini menerima Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Wakaf dan Endowmen pada Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kali ke-24, selepas berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Pendidikan Vokasional (Multimedia Kreatif).
Menurut Nur Afika, bapa tercintanya, Idris Maulan yang bekerja keras membaiki kasut lusuh di kaki lima, menjadi teladan hidup yang memberi semangat kepadanya untuk terus belajar dengan gigih. Tanpa mengira cuaca panas atau hujan, bapanya tetap bekerja keras demi menyara keluarga.
ARTIKEL BERKAITAN: Kekurangan Diri Bukan Penghalang Kejayaan, Graduan PKU Ini Jadi Salah Seorang Penerima Hadiah Pingat Emas USM!
“Sebagai anak, saya sering terharu apabila mengenangkan pengorbanan dan usaha mereka.
“Kecekalan mereka menjadi inspirasi terbesar dalam hidup saya dan mendorong saya untuk berjaya,” kata Nur Afika.
Selain bapa, ibunya, Marmah Basir, juga turut membantu menyara keluarga dengan bekerja sebagai penjahit sambilan.
Meskipun bapanya tidak berpelajaran tinggi dan bekerja keras sebagai tukang kasut, beliau tetap memberi sokongan yang tidak pernah putus. Ini termasuklah membantu membayar yuran pengajian Nur Afika sebelum dia berjaya mendapatkan pinjaman PTPTN.
ARTIKEL BERKAITAN: Buat Kerja ‘Part Time’ Tidak Halang Graduan UTHM Ini Raih Anugerah Pelajaran Diraja
“Saya ingat lagi, walaupun ayah semakin uzur dan kadangkala kesihatannya membimbangkan, dia tetap kuat bekerja untuk membantu saya.
“Ibu pula selalu menasihati saya untuk fokus belajar,” tambahnya lagi.
Sebagai anak kelima daripada enam beradik, Nur Afika menganggap kejayaannya sebagai hasil pengorbanan kedua ibu bapa.
Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang kurang berkemampuan, dia bersyukur kerana ibu bapa sentiasa memberi dorongan dan membakar semangatnya untuk berusaha lebih keras.
“Saya berharap kehidupan kami akan berubah. Saya yakin pendidikan adalah kunci untuk mengubah nasib keluarga kami,” katanya penuh harapan, selepas menghadiri sidang pertama Istiadat Konvokesyen di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: UTHM News Portal