Persisiran pantai di Malaysia sudah sinonim dengan fenomena air pasand dan air surut mengikut waktu. Tatkala air surut, mulalah ternampak bahagian beting pasir yang sebaliknya akan ‘hilang’ dari pandangan sewaktu air pasang terutamanya pada waktu senja.
Jika pada tahun lalu, salah satu lokasi tular adalah Pantai Mek Mas, Kelantan yang tiba-tiba bertukar menjadi lokasi tumpuan pelancong yang ingin mengambil gambar sedang berdiri di bahagian ‘laut terbelah’. Dek kerana kenaikan jumlah pengunjung itu, pihak berkuasa akhirnya mengambil tindakan untuk menutup kawasan tersebut dengan pita amaran atas faktro keselamatan.
ARTIKEL BERKAITAN : Takut Kejadian Tidak Dingini Berlaku, ‘Laut Terbelah’ Pantai Mek Mas Ditutup – REMAJA
Kini, satu lagi lokasi sedang menjadi sebutan sejak musim cuti Tahun Baru Cina pada minggu ini bermula. Fenomena air surut yang berlaku di Pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor, Perak telah membolehkan pengunjung di sana berjalan di atas beting pasir untuk menyeberang ke Pulau Giam yang terletak berhampiran.
Menurut penduduk tempatan di sana, fenomena ini hanya akan berlaku pada bulan Februari pada setiap tahun dan mereka sudahpun terbiasa dengan pertambahan jumlah pengunjung dari dalam dan luar kawasan Pulau Pangkor.
Kebanyakan dari pengunjung di sini mendapat tahu mengenai fenomena tersebut menerusi paparan media sosial. Rata-rata mengambil peluang untuk berjalan kaki selama 10 hingga 15 minit sebelum mereka tiba di Pulau Giam. Sepanjang perjalanan tersebut, orang ramai akan gian mengambil foto masing-masing umpama berjalan di atas permukaan laut yang terbentang luas.
Lapor Harian Metro, kira-kira 500 orang pengunjung dan penduduk setempat bersilih-ganti berada di sana sepanjang hari bermula dari jam 9.30 pagi hingga 11.15 malam. Namun, penduduk tetap memberi amaran agar tidak mudah leka bergambar sewaktu melalui beting pasir tersebut kerana paras air laut tetap akan pasang terutamanya pada waktu senja.
Silap hari bulan, tak boleh patah balik pulak ke kawasan Pantai Teluk Nipah! Jadi bagi yang merancang untuk ke sini pada bulan Februari ini, sewajarnya korang peka dengan jadual waktu air surut.
REMAJA difahamkan bahawa agensi penyelamat dan usaha serta pihak Bomba turut ditempatkan di kawasan berdekatan untuk memantau orang ramai yang berada di situ.
Keberadaan mereka di sana sekurang-kurangnya boleh mengesyorkan sama ada selamat untuk mereka melintas di beting pasir ataupun terpaksa menaiki bot seperti yang terjadi kepada beberapa pengunjung sewaktu ingin berpatah balik bagi mengelakkan risiko; lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca ribut dan angin kencang yang selalu berlaku sekarang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.