Pengurus Jenazah Kongsi Pengalaman Pelik Urus Mayat Remaja Bunuh Diri

Share

Kita sering terbaca kisah seseorang membunuh diri dengan terjun dari bangunan tinggi akibat tekanan dialami. Namun tidak ramai yang tahu bagaimana sebenarnya keadaan seorang individu yang membunuh diri? Bagaimana keadaan jenazahnya? Adakah mudah diuruskan? Apa keganjilan terjadi dan adakah halangan  berlaku ketika pengkebumiannya?.

Seorang pengurus  mandi jenazah, Lasminah Dolsiraj, 59 yang sudah 20 tahun terlibat dalam kerja fardu kifayah sudi berkongsi cerita bagaimana dia pernah menguruskan jenazah seorang remaja perempuan yang membunuh diri, berusia 20-an yang terjun dari bangunan tinggi akibat depresi.

Katanya, kepala remaja berkenaan pecah tetapi sesudah di post mortem, biasanya kepala dapat dibentuk kembali biar pun tidak rata sama sekali. Jelas  wanita merendah diri ini, itu bukan masalah besar baginya tetapi ada banyak benda pelik berlaku sepanjang dia memandikan jenazah remaja berkenaan.

Kak Las sudah lebih 20 tahun terlibat dalam kerja memandikan jenazah

 

Menurut Lasminah atau mesra kak Las, sepanjang pengalamannya, dia mengakui menguruskan jenazah bunuh diri berbeza sama sekali ketika menguruskan jenazah seseorang  yang meninggal secara semulajadi.

Masa yang sama, katanya seorang tukang mandi jenazah perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pendinding diri kerana ada saja kejadian tidak disangka-sangka akan  berlaku.

“Biasanya bagi individu yang bunuh diri, ada saja halangan akan dilalui. Allah nak tunjukkan kepada  yang masih hidup, jangan memilih tindakan sebegini kerana kita tidak tahu nasib di akhirat kelak,” ceritanya.

Kata Kak Las, semasa proses memandikan, dia tidak dipertunjukkan apa-apa yang aneh tetapi dia ditanya oleh seorang ahli keluarga mangsa mengapa dia dipertontonkan mayat adiknya seolah dipasung dengan kakinya yang berlubang besar. Seolah-olah dibakar dengan api yang sangat marak. Seakan api neraka.

“Saya tidak nampak tetapi Allah mempertontonkan kepada ahli keluarganya. Dua kali dia bertanya  tetapi saya menyuruhnya beristighfar dan memohon kepada Allah agar dipermudahkan semua urusan semasa saya memandikan adiknya,” katanya memulakan cerita.

Cerita Kak Las, hanya kakaknya saja yang menemankan dia di bilik mandi jenazah sedangkan ahli keluarga lain hanya menunggu di luar. Ibu bapa remaja itu sendiri asyik pengsan kerana tidak menyangka anak mereka mengambil tindakan sedemikian.

Cerita kaki terpasung dan berlubang tidak habis begitu sahaja. Selepas selesai mandi dan kapan, kata Kak Las, dia yang menelefon imam memaklumkan kes ini akhirnya berasa pelik kerana tiada yang sudi menyembahyangkan jenazahnya. Seolah-olah dipulau.

“Bukan saja tiada imam tetapi tukang gali kubur pun marah-marah ketika menggali kuburnya. Sedangkan sifat seorang penggali kubur itu biasanya lemah lembut kerana mereka sudah lama menguruskan ribuan jenazah malah boleh dikatakan setiap hari.  Kata kakaknya kepada saya, pakcik gali kubur itu marah-marah dan hentak papan kuat-kuat. Seolah-olah satu perbuatan protes yang hendak ditunjukkan kepada orang yang masih hidup bahawa perbuatan bunuh diri itu tidak diterima oleh bumi dan juga manusia.

“Lebih pelik, tukang bawa van jenazah pun tidak ada ketika itu. Ada urusan di luar. Sudahlah tiada orang nak solatkannya, pemandu van pun seolah berat hati mengusung jenazahnya dibawa ke dalam masjid. Mereka hanya tunggu di luar, menanti seolah-olah ada orang lain yang akan menguruskannya. Bukan diri mereka.

“Pendek kata Allah memberikan kesukaran dalam pelbagai bentuk. Saya sendiri, elok-elok cuaca elok, tiba-tiba hujan lebat ditambah ribut petir seakan menghalang perjalanan kita menyegerakan jenazah.

Tiada yang sudi untuk menggali kubur untuk remaja berkenaan. Malah ketika dilakukan, perbuatan itu dilakukan dengan kasar, seolah-olah tidak menyenanginya

Mengambil kira semua perkara yang terjadi ini, dapat saya simpulkan memang benar mereka yang mengakhiri kehidupannya dengan cara tidak diredhai Allah, awal-awal lagi Allah menunjukkan bahawa berlaku penolakan kepada dirinya.

“Biarpun sifat Allah maha pengasih dan penyayang tetapi semua kejadian ini memberikan pengajaran kepada kita bahawa sentiasalah berdoa agar hidup dan mati biarlah di dalam iman dan Islam.

“Agak menyedihkan bila kita memilih pengakhiran hidup sebegini tetapi kisah begini juga harus diberi perhatian bahawa awal-awal lagi bumi seolah-olah menolak mereka yang membunuh diri adalah satu perbuatan sukar diterima,” katanya mengharapkan cerita ini memberi tauladan dan sempadan bagi seorang muslim.

Published by
Almaswa Haji Che Ros