Bagi peminat genre aksi, kami ingin mencadangkan sebuah lagi filem yang berbaloi untuk ditonton di pawagam, bakal ditayangkan pada hari pertama Aidilfitri nanti.
Dibintangi oleh Bob Odenkirk, Connie Nielsen, Christopher Lloyd, RZA, Aleksey Serebryakov, filem arahan Ilya Naishuller, Nobody mengisahkan tentang seorang lelaki, Hutch Mansell yang sering dipandang rendah oleh orang disekelilingnya. Kehidupan hariannya berlalu seperti biasa, bangun pagi, pergi kerja, memasak, tidur dan kemudian keesokkan harinya tetap melakukan perkara yang sama.
Semuanya berubah apabila berlaku insiden kediaman keluarga Hutch dipecah masuk oleh perompak. Dia sebolehnya tidak mahu melawan kerana tidak ingin perkara buruk berlaku terhadap keluarganya. Namun, selepas kejadian pecah masuk rumah, Hutch sekali lagi diuji apabila dia menjadi saksi kepada perbuatan gangster yang dilakukan di dalam bas awam.
Demi menyelamatkan seorang gadis, Hutch ‘mengeluarkan’ emosinya dengan memukul sekumpulan gangster tersebut sehingga mereka dimasukkan ke hospital. Malangnya, salah seorang mangsa adalah adik kepada penjahat yang bernama Yulian.
Yulian ingin membalas dendam kepada Hutch dan sejak itulah kehidupannya berubah. Nah, tak bolehlah nak cerita panjang dekat sini kan. Korang kena tonton sendiri di pawagam baru puas hati.
Bermula dengan perlahan, tapi korang jangan give up dulu kerana selepas daripada perkembangan watak Hutch itu, penonton pasti tidak senang duduk melihat aksi yang dipaparkan dalam filem ini. Boleh dikatakan sudah agak lama kami tidak menonton filem aksi terbaik dan rasanya tidak keterlaluan sekiranya kami mengatakan Nobody adalah antara filem aksi terbaik bagi tahun ini.
Lakonan Bob Odenkirk memang tidak dapat disangkal lagi. Bermula dengan watak tenang seorang ayah yang penyanyang, Hutch akhirnya menjadi dirinya kembali apabila perlu berhadapan dengan musuh demi menyelamatkan keluarganya.
Menerima komen positif daripada penonton, rata-rata daripadanya juga meminta agar filem mempunyai sekuel.
Penuh dengan aksi tembak-menembak, sudah tentu filem ini hanya untuk tontonan 18 tahun ke atas. So guys, jangan lupa saksikan Nobody di pawagam bermula 13 Mei nanti.
https://www.youtube.com/watch?v=wZti8QKBWPo&t=97s