There is no man hotter than somebody who is intellectual and eager to learn, always.
Mungkin itulah deskripsi tepat bila ingin mengungkapkan siapakah diri sebenar Reza Rahadian.
Biarpun pelakon kacak dari Indonesia ini sememangnya sudah popular dan tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri lakonan Nusantara, Reza berpendapat dirinya sentiasa ‘bernafsu’ untuk terus mengejar ilmu dalam kehidupan sebenarnya.
Justeru apabila nama Reza hangat diperkatakan beberapa minggu lalu setelah masyarakat Malaysia baru mendapat tahu dirinya telah bergelar seorang pensyarah di sebuah universiti di Indonesia, ramai yang terinspirasi oleh sosok pelakon yang bakal menemui penonton menerusi filem terbaru, Layla Majnun pada 11 Februari ini.
REMAJA berkesempatan untuk menemuramah Reza dalam satu sesi sidang media para pelakon Layla Majnun yang dikendalikan oleh platform penstriman, Netflix Malaysia dan bertanyakan mengenai tanggapannya terhadap kepentingan ilmu itu sendiri.
Dan apakah dia mendapat ilham dari pelajarnya sendiri semasa melakonkan watak Zamir, seorang pelajar Azerbaijan dalam filem tersebut?
“Saya sentiasa ingin ke kolej sejak masih kecil, tapi saya tidak berkesempatan melakukannya. Apabila saya mendapat peluang untuk mendalami watak Zamir sebagai seorang pelajar ini, saya terasa seperti inilah pengalaman yang belum lagi saya perolehi dalam hidup ini. Teringin sekali untuk saya ke kuliah.
“Jadi, saya gunakan peluang membintang Layla Majnun ini untuk mengembalikan impian saya bergelar seorang pelajar.
“Kalau nak diikutkan, karakter saya agak sama dengan Zamir di mana kami meminati sejarah di mana dalam filem ini, dia mendalami subjek tersebut.
“Tapi saya dan watak ini masih mempunyai perbezaan yang ketara. Dia adalah orang Azerbaijan, saya pula orang Indonesia. Selain itu, Zamir ini adalah insan yang begitu kental memperjuangkan cintanya sedangkan saya pula tidak seperti itu. (ketawa).”
Untuk pengetahuan, filem Layla Majnun merupakan pengalaman pertama Reza bergandingan dengan Acha Septriasa. Biarpun baru pertama kali berkerjasama, Reza merasa selesa sekali dengan produksi ini apabila mereka banyak membantunya mendalami watak sebagai Zamir.
“Pak Monty (pengarah Layla Majnun) membantu menyediakan seorang teman pelajar Azerbaijan yang mempelajari bahasa Indonesia. Ini agar saya mudah meniru dialek dan sebutan bahasa Azer yang mungkin saya salah.
“Dari situ dia melihat perwatakan dan cara interaksi mereka. Itu mungkin cabaran untuk saya apabila perlu membawakan watak lelaki Azerbaijan yang boleh berbahasa Indonesia.
“Selebihnya, saya serahkan kepada Pak Monty untuk menentukan sama ada apa yang saya berikan dalam babak-babak Layla Majnun itu mencapai keinginannya atau belum. Itulah yang membuatkan saya mudah bekerja dengan produksi ini,” jelasnya lagi.
“Ada satu babak di mana saya perlu berurusan dengan air yang hampir beku dalam musim sejuk. Tapi nasib baiklah kami ada pengarah, setiap kali saya sejuk saya akan memeluknya untuk hangatkan tubuh (ketawa). Apapun saya mempunyai banyak pengalaman manis sepanjang penggambaran Layla Majnun.”
Tak sabar rasanya untuk menonton Layla Majnun yang akan mula ditayangkkan di platform Netflix bermula 11 Februari ini.