Kalau sudah rezeki, apa yang diidamkan pasti akan berada dalam genggaman juga. Thach Thu Thao merupakan seorang peserta Miss Universe Vietnam 2022 namun dia hanya sekadar berada di kedudukan 71 peserta terbaik dan gagal lolos ke peringkat akhir yang hanya menampilkan 41 peserta sahaja.
Tidak berputus asa, gadis dengan ketinggian 178cm ini kemudiannya menyertai pertandingan Miss Ethnic Vietnam 2022 yang menawarkan pesertanya ‘tiket’ untuk mewakili Vietnam di pertandingan Miss Earth 2022. Pada malam finale yang diadakan pada 16 Julai lalu, dia mengakhiri perjuangannya dengan berada di kedudukan ketiga pertandingan.
Kalau sudah rezeki…
Sejak awal lagi pihak penganjur telah mengumumkan yang wakil Miss Earth Vietnam 2022 akan dipilih dalam kalangan pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga Miss Ethnic Vietnam 2022.
ARTIKEL BERKAITAN: Juara Vietnam Next Top Model Musim Ketujuh Kini Bergelar Miss Universe Vietnam 2022
Menerusi satu majlis pengumuman yang diadakan berasingan, pihak penganjur telah sebulat suara memilih Thach Thu Thao yang berada di posisi ketiga sebagai Miss Earth Vietnam 2022. Menjelaskan tentang sebab mengapa gadis berusia 21 tahun ini dipilih untuk mewakili Vietnam dan bukannya pemenang Miss Ethnic Vietnam 2022 untuk ke pertandingan antarabangsa. Pemegang lesen Miss Earth Vietnam, Truong Ngoc Anh dari Nova Entertainment memberi penerangan.
Menurutnya, “Thu Thao ialah seorang gadis yang mempunyai identiti tersendiri, sangat layak untuk bersaing dalam Miss Earth. Dia menari dengan cantik dalam pakaian tradisional Khmer. Keindahan identiti negara adalah sangat penting untuk dipertonton di pertandingan antarabangsa.”
Sedikit latar belakang tentang Thach Thu Thao, dia berketurunan etnik Khmer serta dilahirkan dan dibesarkan di Tra Vinh dalam sebuah keluarga yang bekerja sebagai petani. Walaupun hidupnya susah, dia dididik oleh keluarganya untuk belajar dengan baik. Beliau kini merupakan pelajar jurusan Bahasa Inggeris di Universiti South Can Tho.
Daripada seorang gadis luar bandar yang pemalu, si cantik ini menjadi lebih terbuka apabila memasuki alam universiti. Dek kecantikannya dia telah dinobatkan sebagai Universiti Miss Nam Can Tho sebelum mendaftar dalam beberapa siri peraduan ratu cantik yang lebih berprestij.
Dalam satu kenyataan rasmi, dia berkata, “Saya amat gembira. Gembira kerana impian saya telah menjadi nyata. Saya akan cuba 200% kemampuan saya untuk menunaikan amanah yang telah diberikan oleh Nova Entertainment. Saya akan cuba memenuhi tugas saya sebagai utusan budaya dalam memperkenalkan identiti budaya kebangsaan Vietnam kepada rakan-rakan yang datang dari segenap pelusuk dunia. Ini adalah kebanggaan terbesar dalam hidup saya.”
Pertandingan Miss Earth 2022 dijadualkan akan diadakan di Manila, Filipina penghujung tahun ini. Untuk pengetahuan pembaca, Vietnam pernah sekali menggondol gelaran juara Miss Earth pada tahun 2018 menerusi perwakilan Nguyen Phuong Khanh.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.