Penyakit ‘Ain Itu Memang Wujud, Punca Dan Cara Merawatnya Dalam Islam

Share

Sebelum ini tular di media sosial apabila seorang usahawan dan influencer terkenal Hafiz Mahamad mendedahkan yang isterinya mengalami gangguan mahkluk halus di IG live tempoh hari.

Kronologi kejadian tersebut telah dikongsikan semula oleh warganet dan mendapat perhatian ramai. Video isteri kepada Hafiz iaitu Syafiqah Aina yang berada dalam keadaan separa sedar dan seakan bertindak diluar kawalan juga tular. Oleh itu mereka cuba mengaitkan kejadian yang menimpa mereka sebagai penyakit ‘Ain.

 

Korang pernah dengar tak tentang penyakit ‘Ain ini?

Penyakit ‘Ain merupakan salah satu penyakit yang tidak asing bagi umat islam. Penyakit ini merupakan gangguan yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai oleh perasaan iri dan hasad dengki.

Menurut Imam Muda Hassan, Penyakit ‘Ain juga disebabkan oleh rasa takjub terhadap apa yang dipandang walaupun tanpa sekelumit pun rasa iri hati, tidak kiralah sama ada daripada orang soleh ataupun orang dicintai orang ramai. Memetik pandangan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitab Fathul Bari:

‘Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.

Disebabkan hal itu, kita sebagai umat islam perlulah mengucap kalimah Masya-Allah jika melihat kanak-kanak comel atau orang yang cantik serta perkara-perkara yang menakjubkan.

Tanda-tanda terkena penyakit ‘Ain

Menurut lamanweb kashoorga, berikut merupakan perkongsian dari Pusat Rawatan Islam Darul Nusrah tentang antara tanda-tanda anda terkena penyakit ‘Ain.

  • Rasa sakit kepala ketika Diruqyah
  • Wajah Pucat
  • Berpeluh dan banyak membuang air kencing
  • Emosi tidak stabil perasaan marah dan takut tanpa sebab
  • Sukar tidur pada waktu malam
  • Berasa lemah dan lemas.
  • Jari-jari gementar dan bergerak secara sendiri

Cara rawatan penyakit ‘Ain

Menurut perkongsian lamanweb Mufti Wilayah Persekutuan, ada beberapa cara yang boleh dilakukan sekiranya seseorang terkena penyakit ‘ain, berubatlah dengan rawatan secara syar’ie, iaitu:

  • Dibacakan ruqyah atau doa.

Daripada Buraidah bin Al-Husyaib R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ رُقْيَةَ إِلاَّ مِنْ عَيْنٍ أَوْ حُمَة

Maksudnya“Tidak ada ruqyah (yang lebih bermanfaat), kecuali untuk penyakit ‘ain, atau penyakit yang diakibatkan sengatan binatang berbisa..”

Riwayat al-Bukhari (5705) dan Muslim (220)

  • Dimandikan dengan air.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata: Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata: “Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip (keindahannya) dengan kulit wanita yang dipingit.” Tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu dikatakan: “Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.” Baginda SAW bersabda: “Siapa yang kamu curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.” Baginda SAW bersabda:

عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ ، إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ

Maksudnya“Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.”

Kemudian Baginda SAW meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwudhu’. Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya. Nabi SAW memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air wudhuknya) kepada Sahl. Sufyan menyebut, Ma’mar berkata, daripada al-Zuhri: “Baginda SAW memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.”

Riwayat Ibn Majah (2828), al-Nasa’ie (10036)

Terdapat juga beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi mencegah dan merawat penyakit ‘Ain ini iaitu melalui rawatan islam. Menurut artikel Pancarannur, berikut merupakan amalan khusus bagi mencegah penyakit ‘Ain dan mengubatinya:

Bacakan Surah Al-Fatihah sebanyak 3 kali
Bacakan Ayatul Kursi sebanyak 3 kali
Bacaan zikir seperti ayat berikut sebanyak 100 kali
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

Bacakan ayat berikut sebanyak 9 kali

وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ

Amalan doa di atas juga boleh diamalkan sehari sekali sebagai ikhtiar pencegahan daripada penyakit ‘Ain orang lain pada diri kita. Namun, jika kita pula terkena penyakit itu, bacakanlah ayat-ayat di atas pada air dan berikan minum serta dibuat mandian kepada pesakit tersebut. Insha-Allah, kita mampu dihindar daripada penyakit tersebut.

Doa-doa bagi menjauhkan diri daripada penyebab penyakit ‘Ain

Kita sebagai umat islam digalakkan untuk sentiasa berdoa agar kita dijauhkan dari perkara-perkara yang buruk dan negatif. Berdasarkan artikel Liputan6, berikut merupakan doa-doa yang mampu menjauhkan diri kita daripada sifat hasad dengki.

  • Doa dijauhkan dari sifat iri dan dengki
    Rabbanaghfirlanaa wa liikhwaninnalladziina sabaquunaa bilimaani wa laa taj’alfii quluubinaa ghilaa lilladziina amanuu rabbannaa innaka raufurrookhiimun

Maksudnya: Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan dosa-dosa saudara kami yang telah mendahului kami dengan membawa iman, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Allah, sungguh Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.

  • Doa dijauhkan dari sifat buruk sangka
    Allahumma ati takwaha wa zakkiha anta khoiru man zakkaha anta waliyyuha wa maulaha. Allahumma inni a’uzubika min ‘ilmin la yanfa’u wa min qolbin la yakhsya’u wa min nafsin la tasyba’u wa min da’watin la yustabu laha

Maksudnya: Ya Allah, kurniakan ketakwaan pada jiwaku. Sucikanlah ia, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya, Engkau-lah yang menjaga serta melindunginya. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak manfaat, hati yang tidak khusyuk, dan doa yang tidak dikabulkan.

  • Doa dijauhkan dari rasa marah
    Allaahummaghfirlii dzanbii, wa adzhib ghaizha qalbii, wa ajirnii minas syaithaani

Maksudnya: Ya Allah, ampunilah dosaku, redamlah murka hatiku, dan lindungilah diriku dari pengaruh iblis.

Jadi kesimpulannya, tidak semua perlu dipertontonkan pada umum. Bersederhanalah dalam setiap benda, tidak semua orang gembira melihat kegembiraan kita. Semoga Allah melindungi kita dan seluruh ahli keluarga kita.

Kredit: Sinar Harian I Liputan6 I kashoorga I Pancarannur I Muftiwp

Published by
Nana