Penyampai berita saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Anas Muhammad Farihin, 25 menyifatkan tugas membaca berita kematian rakannya sendiri, Nur Farah Kartini Andullah, 25 pada tengah malam tadi merupakan antara momen paling mencabar sepanjang bertugas di bilik berita.
Anas yang ditugaskan pada slot Berita Tengah Malam mengakui terkejut dan dalam keadaan tidak percaya setelah mengetahui perkembangan kes Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak Rabu, minggu lalu itu.
Sewaktu mendapat tahu inti pati berita yang akan disampaikan kira-kira pada jam 9 malam, perasaan bercampur baur di antara percaya sama ada ia benar atau tidak membelengu jiwanya sehinggalah pihak polis mengeluarkan kenyataan bagi mengesahkan kematian mangsa.
Selaku antara orang pertama yang mengetahui berita tersebut, Anas kesal untuk mendapat tahu kehilangan mangsa berakhir dengan insiden memilukan ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Arwah Nur Farah Kartini Pelajar Pintar, GPA 4.0, UPSI Turut Ucap Takziah – REMAJA
Catatnya dalam hantaran di Instagram, “Ini kali pertama aku menyampaikan berita di mana tahap profesionalku betul-betul tercabar.
“Waktu ini, emosi perlu dijaga. Ekspresi perlu dikawal, sebak di dada perlu ditahan.”
Anas yang juga sama-sama melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris bersama mangsa menyifatkan Farah atau ‘Faa’ sebagai insan yang baik, santun budi pekerti dan wajahnya sering berseri dengan senyuman. Malah, mangsa juga katanya cukup berdedikasi dalam menyempurnakan tugasa yang diberikan.
Tambah Anas, dia dan rakan-rakan seperjuangan dari UPSI turut sempat membuat bacaan tahlil secara dalam talian ketika mendapat tahu bertia kehilangan mangsa.
Terdahulu, mayat Nur Farah Kartini dilaporkan ditemui jam 6 petang semalam di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Hari ini, seorang suspek berstatus anggota polis lelaki berusia 26 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat mangsa.
Sumber: (1)