Penyelidik Kardiovaskular Asal Malaysia Cemerlang Di UK, Jadi Peserta Kegemaran Rancangan Realiti Masakan

Share

Minat yang mendalam dalam dunia masakan menjadikan Syabira Yusoff antara peserta kegemaran dalam rancangan The Great British Bake Off musim ke-13. Anak jati Malaysia ini mengejutkan ramai dengan teknik yang dimilikinya.

Syabira bermastautin ke United Kingdom pada tahun 2013 bagi meyambung pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Genetik dan Biologi Genom di University of Leichester. Dia kemudiannya bertugas sebagai Penyelidik dalam bidang Kardiovaskular di King’s College London (KCL).

Dalam satu temu bual bersama unit komunikasi KCL, Syabira berkongsi yang sebelum itu dia merupakan seorang pelajar Sains Pertanian di salah sebuah universiti di Malaysia. Menceritakan bagaimana dia boleh menyertai pertandingan realiti popular itu, Syabira sebenarnya pernah terlepas peluang kerana tarikh permohonan untuk menjadi peserta sudah tamat.

“Dua tahun lalu, saya menonton Bake Off bersama teman lelaki saya. Mereka sedang membuat brownies, dan saya berkata kepada diri saya sendiri yang saya boleh buat brownies jadi saya pun boleh menyertai rancangan itu juga. Malangnya, pada tahun itu permohonan telah pun ditutup.

“Jadi saya mempunyai masa setahun untuk belajar membuat roti dan pai, kerana sudah tentu Bake Off lebih daripada sekadar kek. Sehingga setahun yang lalu, saya hanya pernah membuat kek. Tetapi saya seorang yang cepat belajar dan sangat berdedikasi,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Berjaya Selepas 12 Kali Gagal Temu Duga,” – Kisah Cekal Bekas Barista Starbucks Mengejar Impian Di Awan Biru

Syabira juga berkongsi yang dia mengetahui dirinya terpilih sebagai salah seorang beserta The Great British Bake Off saat dirinya berada di dalam makmal. Rakan sekerjanya tidak terkejut kerana mereka yakin bahawa wanita berkulit hitam manis itu pasti akan berjaya dek kerana masakannya yang enak.

Mengimbangi masa di antara kerjaya dan juga memasak, wanita yang cemerlang dalam bidang akademik ini menyatakan bahawa pengurusan masa sangat penting. Kongsinya, “Ini semua tentang pengurusan masa. Di tempat kerja saya memberi tumpuan kepada tugas saya dan perkara yang perlu saya selesaikan pada hari itu.

“Semua idea atau latihan untuk memasak saya akan dilakukan sebelum ke tempat kerja. Semasa saya bersiap untuk Bake Off, saya mereka cipta resipi pada jam 5 pagi, dan kemudian saat saya menaiki kereta api, saya akan melayari Instagram dan Pinterest untuk mendapatkan idea. Sebaik sahaja saya pulang, saya akan membakar. Ia meletihkan tetapi ia sangat menyeronokkan.”

Dalam episod terbaharu rancangan tersebut, Syabira telah dinobatkan sebagai ‘Star Baker’. Kejayaannya itu mendapat perhatian pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom dan mereka mengucapkan syabas kepadanya di laman Facebook.

“Tahniah kepada Syabira Yusoff kerana telah dinobatkan sebagai Star Baker dalam rancangan The Great British Bake Off malam tadi! Seronok melihat masakan kreatif anda, sentiasa penuh dengan cita rasa Malaysia,” tulis mereka memberikan semangat kepada Syabira.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen