Perantau Malaysia Kongsi Positif Vibe Di Jerman! Kereta Mercedes Jadi Teksi & Tak Sibuk Besarkan Rumah

Share

Kita sering dimomokkan nak nampak bergaya kena naik kereta Mercedes. Nak nampak lebih hebat, bawa la Porsche. Bila bawa kenderaan mewah begitu, ‘saham’ makin naik terutama di kalangan orang berada.

Namun sebenarnya bukan semua orang kaya nak menunjuk harta kekayaannya sebaliknya lebih suka bersikap low profile.

Perkongsian dari seorang perantau di Jerman iaitu Khairolizam Mohaidi yang menetap di Hochheim Hessen, Germany berkongsi mengenai positif vibe masyarakat di Jerman yang menurutnya begitu berbangga dengan produk mereka. Malah konsep kita jaga kita sudah lama diamalkan oleh masyarakat di sini. Bacalah perkongsianya banyak betul positif vibe. Paling penting tak ada pun bawang rangers bagi masyarakat di sini.

Di sini aku nak share pandangan dan pengalaman tentang perbezaan budaya/culture di antara Jerman dan Malaysia, ditegaskan bukan tujuan atau niat aku nak bandingkan mana negara baik, mana yang tak baik. Ini berdasarkan pemerhatian aku selama beberapa tahun tinggal di Jerman.

Sejak kami mula merantau ke luar negara atau oversea sejak 10 tahun lepas, memang pandangan orang di Malaysia terhadap kami lain sungguh. Tinggi semacam seperti kita ni tinggal di atas indera kayangan.

Mereka mengibaratkan kami ni seperti di dalam kehidupan yang serba serbi mewah, wang yang berkepok-kepok, berenang di dalam lautan emas, hisap rokok curut, petik jari berebut orang nak nyalakan curut atau naik kapal layar mewah dan sebagainya.

Tidak seperti yang korang imiginasikan pun. Aku share pengamatan lihat orang yang merantau ke luar negara. Mudah-mudahan membuka mata dan minda korang seluas-luasnya.

1. Orang ‘ada-ada’ di Jerman ni, memang tidak ada sikap riak, hidung tinggi, sombong, berlagak atau besar kepala yang tipikal. Biarpun dia mempunyai rangkaian bisnes yang berjaya di dalam dan di luar negara.

Tak macam cerita drama swasta di TV kita tengok jam 7 malam. Bisnes kononnya mesti operate kat Suria KLCC, naik kereta mesti BMW 5 series, pakaian mesti jenama Louis Vuitton, naik flight business class, rumah seperti istana, ‘palace’ atau mahligai. Stereotype!

2. Kebanyakan orang Jerman yang aku jumpa di Jerman ni, memang nampak biasa sahaja. Baik kaya atau miskin. Mereka duduk di apartment atau rumah sederhana, pakai kereta sama sahaja buatan Jerman.

Mereka berbangga dengan hasil buatan anak tempatan seperti Mercedes, BMW, Volkswagen, Audi, Opel dan Porsche. Kereta-kereta ini yang di istilahkan kereta mewah oleh orang Malaysia cuma di jadikan teksi sahaja di Jerman.

Kalau korang teringin sangat nak merasa naik latest Mercedes E Class, BMW 5 Series, Audi Q8, Volkswagen Touareg ke, datanglah naik teksi di Jerman. Siap ada driver lagi! Kalau di Malaysia korang nak merasa, sampai ‘kucing bertanduk’lah alamatnya korang melopong.

Malahan orang ‘ada-ada’ di Jerman ni takat dengan kereta second hand sahaja, walau harga kereta di sini cukup murah. Kereta import dari Jepun dan Amerika ada tetapi boleh dikira atas jalan.

3. Rumah orang Jerman tidak pun renovate 10 kaki ke depan, belakang mahupun sisi. Tiada pagar automatik picit butang. Ramai juga yang selesa menyewa rumah dari membeli. Anak-anak yang mencecah masuk umur dewasa di perhambat dari rumah agar berdiri atas kaki sendiri. Merasakan kepayahan mencari wang dengan titik peluh sendiri.

4. Di Jerman, tiada sebarang tekanan sosial, materialistik mahupun kebendaan duniawi seperti di Malaysia. Tiada orang mahu tengok besar mana rumah korang, kereta apa kau pandu, handphone jenama apa kau pakai.

Tiada siapa peduli siapa kau. Tiada siapa mahu jadi ‘bawang rangers’ macam kat Malaysia. Tiada siapa mahu busybody jaga tepi kain orang. Apa yang korang buat semuanya hal peribadi korang. Privasi adalah hak korang. Privasinya sehinggakan no handphone peribadi tak semudah beri kat orang. Mudah aku cerita ‘Ada aku kisah hal ko?’

4. Bagi yang gaji besar, tetapi belanja setakat perlu ikut keperluan. Diorang masih lagi shopping di Aldi dan Lidl (discount supermarket yang popular di Jerman), di Primark (butik pakaian yang murah di Jerman) serta masih mencari good deal barang terbaik di eBay, Amazon, Paypal dan sebagainya.

5. Bagi kami sekeluarga pulak, setiap tahun bila tiba dua hari raya, tak ada siapa kisah pakai baju Melayu atau baju kurung 5 tahun sudah, mesti/wajib menukar langsir baru, mesti tukar/show off kereta model terkini sebab nak tayang pada sedara-mara dan sahabat handai.

Janganlah anggap mereka yang di luar negara seronok atau serba-serbi mewah. Mereka struggling juga nak mencari sesuap nasi. Ini termasuklah kami sekeluarga. Rezeki yang Allah Ta’ala kurniakan lain juga bentuk ukurannya.

Tapi kami suka cara hidup begini. Hidup yang amat bahagia. Tidak serabut dengan apa orang ngumpat sana-sini. Bila orang mengata, kadang hidup kita pula jadi serba-serbi tidak kena. Kiri tak boleh, kanan pun tak boleh.

Lebih baik dok luar negara. Aman dan bahagia dalam segala-galanya. Hati puas, tenang dan menyenangkan.

#MelayuJerman #BudayaJerman #StayHomeSavesLives

Published by
Almaswa Haji Che Ros