Perbuatan JUNJUNG AL-QURAN Sebagai Bukti Sumpah TIADA Dalam Ajaran Islam

Share

Hari ini tular di media sosial mengenai perlakuan seorang remaja yang memijak Al-Quran dan perlakuannya itu  dikecam netizen yang menganggap  tindakan itu sebagai bodoh dan jahil agama.

Lebih membangkitkan kemarahan apabila perbuatan remaja berkenaan dari daerah Kusial, Tanah Merah itu dilihat memijak al-Quran bagi membuktikan dirinya tidak berzina dengan seorang lelaki bernama Irwan sebagai mana  kes yang ditularkan. Perbuatan empat orang remaja yang menerima kecaman netizen ini terbalas apabila empat orang sudah ditahan pihak polis.

Dalam laporan polis yang telah tular di media sosial itu, difahamkan remaja memijak al-Quran itu seorang remaja berusia 17 tahun tetapi sudah berhenti sekolah ketika tingkatan empat iaitu Siti Nor Liana Roslan.

4 remaja ditahan selepas tindakan memijak al-Quran viral di media sosial

Dalam kes tangkapan itu juga dikatakan teman wanita Irwan iaitu Shalnazira berusia 18 tahun, Syikin (perakam video) dan juga Mek Na yang mana kesemua mereka  sudah dalam tahanan pihak polis. Perbuatan remaja ini mula terbongkar apabila kakak kepada salah seorang suspek melihat video dan membuat laporan polis. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Jika jahil menjadi ukuran perbuatan tidak senonoh ini, benarkah sumpah menjunjung al-Quran itu wujud atau ada berlaku dalam ajaran Islam?

Pendakwah, Ustaz Mk Azman seorang muslim harus istigfar segera jika menyedari diri ada berbuat kesilapan

REMAJA mendapatkan penjelasan dari pendakwah terkenal, Ustaz MK Azman mengenai isu tular ini dan mendapatkan pandangan adakah ada dalam ajaran islam perbuatan menjunjung al-Quran bagi perbuatan bersumpah.

Menurut pendakwah ini, perbuatan bersumpah menjunjung al-Quran tiada dalam ajaran Islam.

“Yang ada ialah Qasam di mana individu yang bersumpah perlu menyebut Wallahi, Wabillahi dan Wataallahi dengan niat dan tidak perlu  memegang al-Quran ketika sumpah itu disebut.

“Adab menjunjung al-Quran yang pernah orang buat, pernah lakukan atau berfikir itu sebagai perbuatan betul ketika bersumpah hanyalah pemikiran-pemikiran silap,” katanya yang berkata perbuatan memijak al-Quran adalah satu perbuatan tidak baik kerana kalam Allah itu amat mulia dan menjadi kitab pegangan seluruh umat Islam.

Dalam pada itu, Ustaz Mk Azman berkata, selain menyebut Waallahi, Wabillahi dan Wattallahi sebagaimana diketahui ramai, sumpah juga boleh disebut dengan menyebut nama-nama Allah.

“Sebagai contohnya, Demi Ar Rahman, aku tak pernah buat perbuatan itu. Ini juga satu lafaz sumpah di mana nama-nama Allah disebut.  Sumpah juga boleh dilafaz menggunakan sifat-sifat Allah.

“Contoh perkataannya begini, Allah Yang Maha Mulia, Aku berlindung dengan Kemuliaanmu, kemudian baru sebut perbuatan yang kita mengaku itu,” katanya sambil menambah  sumpah turut disebut sebagai Lian.

“Sebagai contoh, suami mengaku bahawa anak dilahirkan isterinya bukan anaknya dan itu semua dikira sebagai satu akuan sumpah yang benar.

Apa perlu buat selepas bersumpah?

Jelas Ustaz Mk Azman, biasanya umat Islam disarankan bertaubat jika benar melakukan kesilapan.

“Islam itu amat mudah sebagaimana sifat Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.Jika kita buat silap, segeralah Istigfar. Untuk lebih baik, tambahkan dengan solat sunat taubat di mana kita sedar diri kita sudah terkhilaf dan tak akan mengulanginya lagi perbuatan tersebut.

Untuk bertaubat, selain istigfar, solat, individu itu harus tinggalkan perbuatan pernah dia lakukan dan terakhir membenci perbuatan tersebut.

Dalam pada itu, menjelaskan dalam satu keadaan seorang individu diugut atau dipaksa sebagai kes yang tular, jelas Ustaz Mk Azman, paksaan bererti kaki individu dipegang dan kemudian dipaksa pihak.

“Tapi kalau setakat kata-kata ugutan akan berbuat itu dan ini itu bukan dikira ugutan tetapi individu perlu berfikir dengan betul adakah perbuatan itu salah atau tidak,”katanya yang meminta remaja berhati-hati dengan setiap tingkah laku perbuatan mereka.

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros