Percuma Kepada Yang Memerlukan, Petra Hulur Bantuan Bahan Makanan Asas

Share

Pandemik Covid-19 yang melanda negara menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan sekaligus membantutkan mata pencarian mereka. Dalam kemalapan ekonomi ini, semakin ramai yang memerlukan bantuan.

Cakna dengan keadaan sekeliling, usahawan fesyen di sebalik jenama Petra, Ammar Hazwan dan Anwar mengambil inisiatif memulakan Petra Food Bank sebagai program kerja amal mereka dengan menyediakan bahan makanan asas untuk golongan yang memerlukan.

Menurut mereka, “Idea untuk melakukan Petra Food Bank ini tercetus selepas kami melihat satu ciapan viral di Twitter tentang sebuah keluarga dari Seksyen 19, Shah Alam yang menyediakan barang keperluan asas kepada penduduk sekitar yang memerlukan. Perkara itu memberikan inspirasi, tambahan pula kami sedar terlampau ramai orang yang terkesan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan. Dengan bantuan ini kami berharap dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.”

Antara bantuan bahan makanan asas yang diberikan seperti sekampit beras, minyak masak, telur, ikan bilis, bawang merah, kicap dan biskut. Pemberian bahan makanan ini terbuka kepada semua yang memerlukan bermula dari pukul 11.00 pagi sehingga 6.00 petang pada 1 Februari 2021 bertempat di 20A, Jalan Plumbum P7/P, 40000, Seksyen 7, Shah Alam.

Mensasarkan satu bantuan kepada satu keluarga, pada masa akan datang mereka merancang untuk mempelbagaikan lagi bahan asas seperti lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan bayi serta tuala wanita.

Sumber gambar: Petra

Published by
Fiezreen