Pereka fesyen terkenal Jepun, Issey Miyake dilaporkan meninggal dunia pada usia 84 tahun akibat kanser hati. Berita kematiannya itu diumumkan kepada media pada Selasa (9 Ogos 2022).
Mendiang terkenal dengan inovasi fesyen yang menggunakan yang menggunakan teknologi dan mula mencipta nama di peringkat antarabangsa sekitar tahun 1970-an. Malah, Miyake juga bertanggungjawab menghasilkan baju turtleneck hitam buat pengasas Apple, Steve Jobs.
Selepas menamatkan pelajaran dalam jurusan reka bentuk grafik di universiti seni Tokyo, mendiang mempelajari rekaan pakaian di Paris dan kemudiannya bekerja dengan pereka fesyen terkenal Guy Laroche serta Hubert de Givenchy sebelum ke New York.
Pada tahun 1970, Miyake kembali ke Tokyo dan mengasaskan Miyake Design Studio. Sepanjang hayatnya, mendiang Miyake terkenal dengan koleksi Pleats Please yang menampilkan gaya pakaian berlisu. Hasil rekaannya yang cukup unik dan berinovasi pernah dipamerkan di muzium dan galeri serata dunia.
Kehilangannya pasti dirasai oleh industri fesyen dunia dan takziah kami ucapkan buat seluruh keluarga mendiang.
Sumber: (1)
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.