Pengguna media sosial mula mengajak orang ramai melancarkan gerakan boikot ke atas jenama fesyen terkenal, Zara setelah Ketua Pereka bahagian wanitanya, Vanessa Perilman didakwa mengeluarkan kenyataan anti-Palestin sambil mempertahankan tindakan zalim Israel.
Segalanya bermula apabila seorang model lelaki kelahiran Palestin, Qaher Harhash berkongsi mengenai ketidakadilan yang perlu dilalui oleh rakyat di negaranya berikutan pencerobohan tentera Israel.
Berdasarkan hantaran di Instagram Story milik Qaher, Vanessa telah memberi respon dengan sentimen ‘mesej kebencian’ yang sama sekali tidak masuk akal, bersifat anti-Palestin dan langsung tidak mencerminkan profesionalisme dirinya sebagai seorang wanita berkarier yang memegang posisi tinggi dalam syarikat fesyen ‘high street’ itu.
“Jadi, poin kamu adalah kamu cuba menunjukkan kepada dunia bahawa Israel adalah sebuah negara kejam yang melakukan perkara terkutuk kepada rakyat Palestin? OMG saya ingin muntah. Ini adalah sangat tidak adil dan merupakan satu bentuk penipuan,” catat Vanessa – dan ia sempat ditangkap layar oleh Qaher untuk kemudian dikongsikan kepada pengikutnya.
“Mungkin sekiranya rakyat kamu berpendidikan, mereka tidak perlu meletupkan hospital dan sekolah yang telah dibiayai Israel di Gaza,” tambah Vanessa. Tidak cukup dengan itu, Vanessa meneruskan komennya itu dengan menyelar rakyat Palestin sebagai pencetus keganasan di negara itu dan menyatakan, “rakyat Israel tidak mengajar anak mereka membaling batu.”
Well, nampaknya Vanessa tidak tahu kesan yang akan dihadapi akibat perbuatan tidak sensitifnya. Vanessa kembali berhubung secara mesej dengan Qaher dan menyatakan dirinya telah menerima ugutan bunuh sambil masih mempertahankan kenyataannya sebelum ini. Vanessa enggan mengaku dirinya bersifat jahil dalam isu yang melanda Palestin-Israel.
Qaher meneruskan perbualan dengan Vanessa secara private dengan menerangkan mengapa kenyataan wanita tersebut menerima kecaman ramai dan Vanessa juga didapati telah memohon maaf.
ARTIKEL BERKAITAN : Bella Hadid Berisiko Hilang Kontrak Kerana Lantang Pertahankan Palestin? – REMAJA
Teks perbualan mereka itu telah dikongsikan di bahagian Instagram Story Qaher; yang menyebabkan warganet berang dan mengarahkan agar orang ramai memboikot Zara kerana mempunyai pekerja seperti Vanessa.
Qaher juga telah memuat masuk segala hantaran perbualannya dengan Vanessa dalam bentuk stories highlight di Instagram agar orang ramai boleh terus membacanya.
Biarpun Vanessa telah memohon maaf (dan memadamkan akaun Instagram-nya dan akaun media sosial lain), warganet masih merasakan bahawa Vanessa hanya memohon maaf kerana dia gentar dengan ugutan yang diterima – bukannya kerana dia benar-benar mengesali kata-katanya.
Buat masa ini, pihak Zara belum tampil dengan kenyataan rasmi berhubung hal ini. Bagaimanapun, menerusi hantaran Qaher di Instagram Story, REMAJA mendapati Zara telahpun berhubung dengan model Palestin itu. Malang sekali apabila Zara dikatakan ingin Qaher memuat naik kenyataan maaf Vanessa dengan harapan segalanya akan ‘kembali normal’.
Qaher menempelak percubaan Zara itu. Sebaliknya, dia merasakan Zara perlu ‘step up’ dan mempertahankan integriti selaku salah satu pemain industri fesyen utama dunia.
“Jika Zara ingin membuat kenyataan bersama saya, kenyataan itu perlu menyatakan bahawa mereka juga sedar dengan apa yang sedang berlaku di khemah perlarian rakyat China di Xinjiang, apa yang berlaku kepada orang asli dan isu Islamophobia.
“Apabila mana-mana pereka fesyen bercakap perkara berbaur anti-Israel, mereka terus dipecat,” katanya yang mempersoalkan mengapa tindakan sama tidak diambil ke atas pereka fesyen seperti Vanessa yang bercakap perkara anti-Palestin.
Respon Zara ini seakan tidak mahu dibelengu isu dan hanya akan melancarkan ‘siasatan dalaman’. Zara juga bertindak menutup kes ini setelah mendapat tahu Qaher dan Vanessa telah berhubung secara peribadi di ruangan DM Instagram; lalu menyangka mereka berdua telah memulihkan keadaan.
Tindak-tanduk Zara ini menambah rasa amarah warganet yang merasakan jenama itu tidak memandang isu kenyataan perkauman dan kebencian oleh pekerjanya sebagai satu isu besar. Ia sekaligus menyakinkan warganet untuk melancarkan gerakan #BoycottZara.
*
Biarpun isu ini telah menjadi sebesar ini, Qaher berharap agar orang ramai tidak membuta-tuli mengecam dan menghantar mesej ugutan kepada Vanessa Perilman mahupun kepada Zara.
Sebaliknya dia berharap agar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan atau kata-kata Islamophobia dan perkauman seperti ini menerangkan dengan lanjut mengapa isu tersebut penting serta mengapa ia perlu diatasi.
*
Terdahulu pada awal bulan ini, jenama ‘high end’ Louis Vuitton berdepan isu panas apabila didakwa mengeksploitasi budaya pemakaian Keffiyeh Palestin sebagai skaf berharga USD705.
ARTIKEL BERKAITAN : Louis Vuitton Dikecam, Jual Skaf Inspirasi Keffiyeh Palestin – REMAJA