“Perempuan Layak Di Dapur Saja”, Pelan ‘Click Bait’ Burger King Tak Menjadi

Share

 

Niat jenama perniagaan makanan segera antarabangsa, Burger King UK mungkin adalah untuk mendapatkan perhatian pengikut akaun Twitter mereka terutamanya di kalangan perempuan.

Bagaimanapun, lain pula jadinya apabila bebenang ciapan yang dimuat naik oleh mereka itu dihambat dengan cercaan oleh warganet seluruh dunia kerana dilihat cuba untuk mempermainkan wanita menerusi ciapan berbaur ‘clickbait’.

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang jatuh pada 8 Mac 2021 semalam (atau hari ini mengikut zon masa negara Barat), Burger King telah mengambil keputusan untuk memuat naik ciapan berbunyi,

“Perempuan selayaknya berada di dapur saja”.

Amboi!

Itu saja ciapannya untuk satu tempoh waktu yang agak panjang sebelum mereka meneruskan ciapan tersebut dengan bebenangnya.

“Hanya 20 peratus cef di dunia ini adalah wanita. Kami mempunyai misi untuk mengubah peratusan jantina di restoran dengan memberi galakan kepada pekerja wanita…”

Justeru, Burger King berkata mereka bakal melancarkan program biasiswa untuk membantu pekerja wanita untuk mengejar cita-cita mereka dalam bidang kulinari.

 

Ramai Baca Ciapan Pertama Saja

Seperti dijangka, Burger King telah menerima kecaman daripada wanita yang terlalu marah dengan tindakan jenama tersebut walaupun niat mereka adalah demi mendapatkan perhatian warga Twitter saja.

Ramai yang pelik bagaimana pasukan pemasaran mereka merasakan bahawa idea tersebut adalah bijak.

Jelas, bukan hanya warganet dari Malaysia yang mudah untuk menjatuhkan hukuman kepada seseorang dengan hanya membaca tajuk artikel ataupun ciapan pertama saja. Warganet seluruh dunia juga berbuat sedemikian.

Lalu mereka hanya memberikan respon (amarah) selapas hanya membaca ciapan pertama.

Bagaimanapun, REMAJA sebenarnya tidak terkejut dengan kontroversi yang melanda Burger King ini kerana mereka terkenal dengan strategi pemasaran yang sedikit provokatif seperti ini.

Malah pada tahun 2020, mereka saling bersaing dengan McDonald’s untuk merebut anugerah pemasaran restoran terbaik.

Selepas penat untuk melayan kecaman yang diterima tanpa henti, Burger King UK AKHIRNYA memutuskan untuk memadam ciapan awal tersebut dengan permohonan maaf seperti berikut:

Haih, macam-macam ya! 

Published by
FZ