Industri seni hiburan tanah air hari ini berduka setelah mendapat tahu pemergiaan pelantun lagu Terlalu Istimewa, Adibah Noor binti Mohamed Omar pada jam 7.45 petang tadi.
Berita tersebut disampaikan rakan seperjuangan, Datin Emylia Rosnaida yang juga merupakan isteri kepada Datuk AC Mizal menerusi satu hantaran di Facebook.
“Allahuakbar, terkejut dapat berita ni ..sahabat kita yang versatile Adibah Noor baru sahaja meninggal dunia. Salam Takziah dari kami sekeluarga.
“Ya, betul arwah baru sahaja meninggal dunia di hospital sebentar tadi,” ujarnya.
Adibah, 52 mengembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles. Menurut sumber, arwah telah lama menghidap kanser ovari dan ia telah mencapai tahap empat. Namun, beliau memilih untuk merahsiakannya daripada pengetahuan umum.
Adibah sememangnya dikenali ramai sebagai seorang selebriti tempatan yang, bak kata Datin Emylia, cukup versatil. Hampir kesemua bidang seni pernah diterokainya; dari dunia lakonan, nyanyian, pengacaraan, di konti radio dan sebagainya.
Di antara filem-filem lakonannya yang berbekas di hati termasuklah Sepet, Gubra, Mukhsin, Talentime, Magika, Hoore! Hoore!, Fundamentally Happy dan banyak lagi.
Kemampuan serta bakat beliau memang tidak boleh dipertikaikan. Sehingga ke akhir hayat, Adibah tetap aktif bergerak dalam industri dek minat mendalam; seperti menerusi penyertaannya dalam program Gegar Vaganza 2021.
Adibah juga pernah bergelar seorang guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Petaling Jaya sebelum ‘terjun’ ke industri hiburan sebagai seorang anak seni sejati.
ARTIKEL BERKAITAN : Hapuskan Ujian MUET Atau Tidak, Adibah Noor Beri Pendapat Bernas Ini.. – REMAJA
Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Adibah Noor dan doakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama orang yang beriman.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.