Perincian Wajah Pocong Dalam Munafik 2 Adalah “Real” Di Alam Ghaib?, Orang Ada “6 Sense” Kongsi Pengalaman

Share

Nampaknya dalam tempoh beberapa hari tayangan, filem Munafik 2 terus mendapat sambutan penonton. Filem ini dilaporkan sudah mengutip RM5.65 juta setakat hari pertama tayangan dan jumlah kutipan tiketnya semakin meningkat. Sebelum ini Hantu Kak Limah mencatat rekod dalam kutipan filem Melayu apabila jumlah kutipannya mencecah RM35 juta dengan jumlah penonton seramai 2.7 juta orang.

Nampaknya minat dan mood orang menonton filem Melayu memberikan kesan baik kepada industri perfileman yang awal tahun ini bermula dengan suram. Perkongsian dari seorang doktor gigi ini di fb miliknya, SenyumanPerantau SP boleh membuatkan filem Munafik 2 ini ditonton lebih ramai orang.

Dakwah yang ingin disampaikan oleh pengarahnya, Shamsul Yusof ternyata berjaya dalam filem ini. Jom baca.

Ulasan Filem Seram: Munafik 2

Tiga perkataan aku gulungkan ringkas filem ini; seram menyesakkan nafas, padat nasihat dan elemen dakwah menarik.

Kelebihan Filem Munafik 2

  1. Elemen seram yang dibawakan Shamsul, aku suka. Tidak adil mengatakan Shamsul mencedok idea filem-filem lain, sebab fizikal dan raut wajah hantu adalah berlainan dan lebih “ketimuran”.

Solekan hantu juga agak mantap dan tidak terlalu nampak “fake” kecuali hantu budak kecil perempuan yang agak lucu (pendapat peribadi aku).

Satu lagi, aku suka perincian wajah pocong yang sangat mantap dan jelas. Kawan aku yang mempunyai keupayaan deria keenam memberi komen, “Pocong Shamsul nampak macam betul-betul dan…..”

Aku tak habiskan sebab aku dok sorang malam ni. Sekian. Haha.. Untuk elemen seram ditambah dengan waktu yang sesuai, latar bunyi yang sesuai, latar tempat melengkapkan lagi elemen seram filem ini. Tahniah!

  1. Mesej dan sarat unsur dakwah

Kepada sesiapa yang mengikuti filem seram arahan Shamsul, akan tahu transformasi filemnya. Khurafat nampak kepada lebih filem seram biasa tanpa mesej atau terlalu sedikit mesejnya. Manakala filem Munafik, Shamsul mula menyelitkan unsur dakwah halus tetapi agak ringan dan santai. Untuk Munafik 2, Shamsul Yusof lebih bijak dan pandai dalam menyalurkan dakwah dan unsur mesej yang perlu diketengahkan.

Mesej yang dibawakan Shamsul adalah secara maksima tapi tidak meleret dan membosankan. Penggunaan dalil Al-Quran dan maksud tafsirnya yang mendalam dapat dihayati dan boleh mengalir air mata jika dihayati sempurna.

Itu aku kata filem ini agak berat. Aku ringkaskan kepada filem ini, “Mengingatkan diri kita dengan tuhan, dan jangan alpa dengan tanggungjawab kita sebagai khalifah dan makhluk tuhan.”

Elemen kemurungan dan depression juga ada diselitkan dalam cerita ni. Sebagai penghidap MDD, air mata aku juga bergenang dengan selitan halus.

Babak apa dan di mana? Yang tu korang kena tonton!

 

  1. Lakonan Mapan, Kemas dan Penghayatan Watak yang Baik.

Barisan pelakon boleh dikatakan semua mapan dan jitu. Lakonan Shamsul Yusof juga lebih bagus dan tak nampak kaku jika dibandingkan dengan Khurafat dan Munafik. Jika dalam Munafik, mesej tersirat dibawa oleh watak Maria, kali ni pembawaan watak Maria Karin sebagai Sakinah cukup memberi kesan. Lakonan adik perempuan (tak tahu nama) sebagai Aina juga wajar dipuji.

Jika anda peminat setia bakat lakonan Maya Karin dalam Ombak Rindu atau Pontianak Harum Sundal Malam, anda kena tonton filem ini. Kerana apa? Pendapat aku, lakonan Maya Karin dalam filem ini adalah berganda-ganda penghayatannya jika dibandingkan dua filem terkenal Maya Karin.

Yang lain aku malas ulas panjang, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi, Fizz Fairuz dan Dato Rahim Razali memainkan peranan masing-masing dengan sempurna. Untuk Mawi, lakonannya ok-ok dan boleh diperkemaskan lagi. Pendapat aku hanyalah untuk lakonan. Untuk bacaan ayat Quran dan sebutan ayat suci, suara Mawi memang excellent!

  1. Latar Tempat

Semua latar tempat dipilih kemas dan diatur sempurna untuk menambah elemen seram selain wajah-wajah hantu buruk dan mengilai menjerit. Aku suka latar tempat di sungai tengah malam buta atas perahu. Sumpah meremang! Terbaik!

Kekurangan Munafik 2 (Teguran ikhlas)

  1. Bunyi kuat dan membingitkan kadang-kadang agak mengganggu dan membosankan. Sekali-sekala bunyi itu membantu dalam menambahkan keseraman.

Tetapi, perlu diingat, jika bunyi yang diguna terlalu kerap, ia seakan membantu penonton meneka bila seram berlaku dan seolah memaksa penonton untuk “jadi takut.”

  1. Plot yang tidak penting atau kurang faham.

Ada beberapa plot yang disediakan seolah-olah tidak habis dan tidak puas. Sebagai contoh, lakonan Weni Panca sebagai jin berbahasa Indonesia. Ya. Jin boleh mengganggu hidup manusia. Tapi untuk filem, tak salah untuk memberi penonton sedikit tentang asal jin dan punca jin itu wujud.

Sebab dalam cerita ini terlalu banyak gangguan sehinggakan penonton sedikit keliru terutama jika penonton yang jenis mahu dipimpin ketika menyusuri filem. Kadang-kadang terlalu menyorokkan plot juga tidak elok. Kelebihan dan kekurangan dah aku ulas berdasarkan pendapat peribadi aku.

Babak Kegemaran SP

Aku suka babak Ustaz Adam nak melintasi mayat-mayat berkelubung putih tu.

Tak perlu tunjuk muka hodoh tapi sudah cukup buatkan bulu roma aku merinding. Babak pegang pelita tu pun aku suka. Asli dan segar idea seram tu.

Babak yang aku agak kurang gemar/ tidak bersetuju.

Babak memecahkan keranda, hehe. Macam Captain America pulak.hehe.

Pelakon kegemaran aku dalam ni, Abu Jar dan Fauzi Nawawi. Napok jahak sungguh boh, segho nok masuk daley filem bergocoh sekali
__________________________

Akhir kata, aku bagi 4 bintang dari 5 secara keseluruhan. Kalau orang filem mengatakan, Hantu Kak Limah membawa mesej mendalam secara santai, filem Munafik 2 membawa mesej dan analogi yang agak berat tetapi disulamkan dengan elemen seram.

Pendapat peribadi aku, aku lebih suka filem Munafik 2 jika dibandingkan Hantu Kak Limah. Aku setuju dengan pendekatan dakwah Shamsul. Kalau buat filem agama semata, ada yang nak tengok?? Ada. Tapi agama 10 peratus, 90 peratus lagi cinta!

Akhir kata, tahniah Shamsul Yusof kerana membuka mata bahawasanya, dakwah juga boleh disampaikan dalam pelbagai bentuk, tidak terhad kepada ceramah agama semata-mata.

Maaf jika ulasan di atas ada mengguris perasaan mana-mana pihak, ini adalah teguran dan pendapat peribadi semata-mata. Nasihat aku, korang kena datang dan tonton filem ini. Sarat pelbagai emosi ketika menonton. Sedih, marah, takut gila-gila, insaf, murung dan macam-macam lagi la!

Sapa tak tengok, dia rugi!
Senyuman Perantau SP
Doktor gigi yang meminati elemen seram

__________________
Ps: Ramai juga penonton berbangsa Cina dan India tadi, menonton bersama. Maksudnya filem ini tak terhad kepada yang beragama Islam sahaja. Siap ada yang melompat lagi bila hantu keluar. Hehe.

Ini bukan hantu melayu, sebab kaum lain pun boleh terima dan datang tengok.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros