Setelah lebih dua minggu membiarkan masyarakat berspekulasi pramatang mengenai status perkahwinan, pelakon cantik manis, Nynaa Harizal telah ditemui hari ini di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru untuk menfailkan permohonan penceraian daripada suaminya, Fahmi Ilyas, 29.
Sepanjang dua minggu, ura-ura pemenang tempat ketiga pencarian Dewi Remaja 2019 itu kononnya diculik oleh ibu bapanya sendiri telah hangat diperkatakan warganet. Namun Nynaa memilih untuk berdiam diri dan sekadar memuat naik beberapa foto serta video di akaun Instagram bagi mengesahkan dirinya kini selamat di sisi keluarga tercinta.
Tindakan berdiam diri itu juga baginya adalah terbaik demi menjaga hati ramai pihak yang terlibat dalam perkahwinan mereka yang berusia kira-kira dua bulan lebih saja.
Sewaktu ditemui sebentar tadi, Nynaa telah menafikan ura-ura diculik dan dipaksa untuk mengikut ibu bapanya sewaktu berada di set penggambaran sebuah drama.
“Untuk mengatakan bahawa ibu bapa menculik dan memaksa saya adalah satu telahan yang tidak tepat.
“Sejak 2 November lalu, saya pada setiap masa berada dalam jagaan kedua ibu bapa dan ahli keluarga saya di Johor Bahru.
“Saya melalui peguam syarie menfailkan Permohonan Penceraian Dengan Talaq atau Dengan Perintah mengikut Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003 pada 10 November lalu.
“Salinan diserahkan kepada suami pada keesokan harinya (11 November 2021), jam 3.16 petang,” ulasnya menerusi kenyataan selepas hadir untuk sebutan permohonan penceraian di sana, hari ini. Bagaimanapun, punca sebenar di sebalik permohonan penceraian tidak dikongsikan oleh Nynaa demi menghormati prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.
“Sementara proses Mahkamah Syariah ini berjalan dan selagi mana ia tidak menjejaskan prosiding, syaa membuka ruang untuk perbincangan dengan suami. Ini dinyatakan kepada suami melalui perbualan telefon pada 12 November lalu,” katanya lagi.
Suaminya, Fahmi Ilyas tidak berada di sana dan hanya diwakili oleh peguam.
Terdahulu, Nynaa dan Fahmi melangsungkan acara pertunangan kecil-kecilan pada 21 Ogos 2021 dan mendirikan rumah tangga seminggu kemudian pada 28 Ogos 2021. Semasa ditemuramah oleh REMAJA, Nynaa pernah berkongsi tentang perancangannya untuk mengadakan majlis resepsi pada akhir tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Nynaa Harizal Selamat Bergelar Isteri, Ini 5 Corat-Coret Majlisnya – REMAJA
BACA LAGI : Nynaa Harizal Bertunang, Langsung Akad Nikah Dalam Masa Terdekat – REMAJA
Kita doakan yang baik-baik sajalah untuk mereka berdua dan usah menokok tambah sebarang info yang tidak sahih.