Pra-Vaksinasi Yang Remaja Bawah 18 Tahun Kena Ambil Tahu Sebelum ‘Cucuk’

Share

Jika sebelum ini hanya orang dewasa diberikan vaksin dan memandangkan sekolah akan dibuka tidak lama lagi. Para remaja berusia 18 tahun ke bawah dikatakan bakal menerima suntikan vaksin COVID-19 tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini menyatakan inisiatif ini akan dimulakan di Sarawak susulan kelancaran pemberian vaksin di negeri itu sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasa divaksin.

Foto Via Daily Sabah

Setakat ini, kerajaan hanya meluluskan penggunaan vaksin jenis Pfizer-BioNTech buat remaja berusia 12 ke 17 tahun. Pastinya terdetik rasa takut dan kurang yakin dengan vaksin yang bakal diterima bukan?

Ini antara beberapa fakta yang dikongsi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, tentang vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-Biontect yang digunakan pada remaja dan kanak-kanak.

Foto Via KKM Portal MyHealth
  • Vaksin Comirnaty Dapat Keluluskan FDA
    Vaksin Comirnaty ini telah mendapat kebenaran dan kelulusan dari Food and Drug Administration (FDA), untuk perlindungan daripada jangkitan Covid-19 dan ianya juga telah diperakui di bawah Emergency Use Authorization (EUA) untuk diberikan kepada kanak-kanak bawah umur.

 

  • Perlu Jalani Pra-Vaksinasi Sebelum…
    Pra-vaksinasi biasanya dijalankan jika menghidapi masalah kesihatan tertentu sebelum menerima vaksin, seperti mempunyai sejarah alahan yang teruk, masalah sistem ketahanan yang lemah, menerima rawatan ubat cairkan pendarahan atau menghidap masalah pendarahan.

 

  • 10 Bahan Terkandung Dalam Vaksin Comirnaty
    Vaksin Comirnaty mempunyai 10 bahan aktif seperti ALC-0315, ALC-0159 – a polyethylene glycol (PEG), 1,2-Distearoyl-sn-gylcero-3 phosphocholine (DSPC), kolesterol, Dibasic sodium phosphate, Monobasic potassium phosphate, Potassium chloride, Sodium chloride, sucrose dan air untuk suntikan. Jika mempunyai sejarah alahan dalam mana-mana bahan dalam vaksin tersebut, suntikan vaksin tidak akan diberikan kepada remaja tersebut.

 

  • Perlindungan Optima Jika Menerima 2 Dos
    Dimaklumkan kanak-kanak yang menerima dua dos suntikan akan menerima perlindungan yang optima, dan biasanya perlindungan maksima tersebut dapat dicapai setelah dua minggu kanak-kanak menerima dua dos lengkap.

 

  • Terima 2 Dos Dalam Masa  21 hari

Menurut laporan yang dikeluarkan, kanak-kanak perlu menerima sekurang-kurangnya dua dos dalam tempoh masa 21 hari di antara dos pertama dan dos kedua.

  • Ibu Bapa Perlu Setuju

Selain itu, remaja dan kanak-kanak dibawah umur 18 tahun yang ingin dapatkan suntikan vaksin perlu mendapatkan persetujuan ibu bapa atau penjaga sah untuk menerima vaksin.

  • Kesan Sampingan Yang Perlu Diberi Perhatian
    Kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Comirnaty ini berkemungkinan menerima kesan sampingan ringan seperti sakit di tempat suntikan, penat, sakit kepala, sakit otot, menggigil, sakit sendi, demam ringan, pembengkakan di tempat suntikan.

Terdapat juga kemungkinan berlaku alahan yang teruk seperti sukar bernafas, bengkak di muka, ruam teruk di badan, lemah badan, berdebar-debar, radang otot jantung (jarang berlaku), radang lapisan luar jantung (jarang berlaku).

Jika berlaku tanda-tanda kesan sampingan selepas menerima suntikan, ibu bapa atau penjaga perlu segera membawa kanak-kanak ke hospital untuk pemeriksaan. Apa-apa pun kita doakan agar inisiatif yang dilakukan ini berjalan lancar dan penularan wabak COVID-19 dapat dikurangkan agar pelajar lebih rasa selamat untuk pulang semula ke sekolah.

Sumber : KKM Portal MyHealth

Published by
Nana