Seperti yang umum tahu, pelakon Syafiq Kyle merupakan naib juara Hero Remaja 2011/12 dan sejak itu, karier lakonannya telah jauh meningkat sehingga dinamakan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di beberapa acara anugerah tempatan.
Namun, apa yang ramai orang tidak tahu adalah Syafiq pernah terlibat dalam insiden kemalangan motosikal sewaktu bertanding dahulu.
“Sampai satu tahap, doktor tak benarkan saya untuk lakukan apa-apa aktiviti semasa bertanding untuk Hero Remaja kerana kecederaan yang saya alami.
“Walaupun tak sihat, saya tetap hadir untuk tugasan dan cabaran. Tak join sekali pun tak apa asalkan saya berikan semangat kepada kawan lain. Saya anggap diri saya bertuah kerana mempunyai kawan dalam Hero Remaja yang mengambil berat.
“Mereka faham dengan situasi saya dan tak benarkan saya sertai. Momen itu secara tak langsung mengajar saya erti kawan itu sendiri,” katanya sewaktu dalam temu ramah bersama REMAJA, tak lama dahulu.
Baik pencarian Hero Remaja mahupun Dewi Remaja, ramai pihak yang menganggapnya sebagai platform untuk mudah popular.
Bagi Syafiq, dia tak menafikan pendapat itu memandangkan dia sendiri menyertai Hero Remaja untuk menaikkan namanya lagi selepas terlibat dalam drama Tanah Kubur pada tahun 2011.
“Tapi saya lebih suka untuk menganggap Hero Remaja sebagai platform untuk ‘lebih dikenali’.
“Selepas tamat pencarian, ramai yang lebih mengenali saya di kalangan pihak produksi. Tak salah pun untuk lebih dikenali kerana ia membuka peluang kepada pelakon untuk menerima projek baru.
“Pada usia semuda korang sekarang, tak salah untuk mencuba nasib dan explore peluang yang ada. Itu yang saya lakukan semasa menyertai Hero Remaja 2011/2012 dan sekarang tiba masa korang pula mencubanya,” kata Syafiq yang baru muncul dengan filem Pusaka.
Jom tonton temu ramah REMAJA bersama Syafiq dahulu.