Bermula hanya dengan angan-angan, impian yang ditanam sejak kecil lagi akhirnya menjadi kenyataan apabila seorang graduan Pennsylvania State University, Raja Akif berjaya menerima anugerah Professor Barnes McCormick Vertical Flight Foundation Scholarship 2021, Amerika Syarikat.
Menurut laporan Pejabat MARA di Amerika Syarikat, pada bulan April 2021, Raja akif Bin Raja Zahirudin atau lebih dikenali sebagai Akif terpilih antara 27 orang pelajar kejuruteraan berbakat di dunia yang terlibat dalam bidang teknologi penerbangan vertikal.
“Minat saya yang mendalam dalam bidang Aeroangkasa ini mendorong diri saya untuk menimba ilmu dengan gigih dan memanfaatkan peluang kemudahan pelajaran yang diberikan oleh pihak MARA untuk merealisasikan impian saya menjadi salah seorang pakar dalam bidang ini,”
“Kini, saya bertugas sebagai Graduate Research Assistant di Penn State di mana saya berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai kajian dan projek.” Raja Akif pernah terlibat dengan kajian untuk projek NASA JHU-APL Dragonfly yang bertujuan menghantar sebuah dual-quadcopter ke Titan iaitu salah satu bulan planet Saturn dijangkakan pada tahun 2027,” jelas Akif.
Pemuda berusia 28 tahun ini juga pernah berkolaborasi dengan beberapa pusat penyelidikan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).
Raja Akif pernah berkolaborasi dengan NASA Ames Research Center dalam kajian mengenai konsep rotor senyap iaitu “Anti-Phase Vortex Reduction Control for Rotor Noise Suppression. Kini, Akif juga sedang berkolaborasi dengan NASA Langley Researcher Center untuk mengkaji kelebihan dari sudut akustik dan prestasi penerbangan yang dihasilkan oleh konfigurasi coaxial co-rotating pada kenderaan eVTOL (Electric Vertical Takeoff and Landing).
Akif juga mempunyai impian untuk mengambil sebanyak mungkin pengalaman dan kepakaran teknologi di sana agar dapat memberi sumbangan kepakaran bidang baharu ini kepada Malaysia.
Syabas kami ucapkan kepada Raja Akif kerana sudah mencapai kejayaan ditahap membanggakan ini. Semoga setiap pengalaman yang diperoleh memberi manfaat buat negara tercinta.