Pernah Di Bawah Agensi Bakat Sama, Neelofa & Izara Rapat Sejak Dewi Remaja 2009/10

Share

 

Jarang sekali untuk peminat Izara Aishah menyaksikan idola mereka itu muncul dalam sesi Instagram Live. Izara sendiri mengakui masih kekok untuk mengendalikan sesi seorang diri di platform media sosial tersebut.

Lantas apabila mendapat peluang untuk muncul bersama-sama rakan seangkatannya, Noor Neelofa di Instagram Live baru-baru ini, Izara menerima juga pelawaan tersebut. Ia bukan sesi biasa-biasa memandangkan Izara merupakan wajah kempen Naelofar 2022. Sambil mempromosikan koleksi terbaru Naelofar, kedua-dua rakan Dewi Remaja 2009/2010 ini sempat mengimbau kembali pengalaman mereka semasa melangkah masuk ke pencarian tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN : Izara Aishah Jadi Model Pilihan Naelofar Raya 2022 – REMAJA

Peminat setia Neelofa dan Izara pastinya tahu mengenai pembabitan mereka sebagai model komersil seawal usia belasan tahun selepas menamatkan persekolahan.

Buat Neelofa yang memerlukan kerjaya sebagai model pada usia 18 hingga 20 tahun, kehidupannya sibuk membabitkan diri dalam bidang peragaan komersil akhbar dan iklan televisyen demi portfolio di samping menimba pengalaman.

“Masa itu kita berada di bawah agensi bakat sama dan rapat dengan individu yang sama iaitu abang Zul. Beliau jugalah yang menggalakkan kami menyertai Dewi Remaja. Di situlah kita mula saling mengenali dan menyertai pencarian yang sama.”

Dewi Remaja 2009/2010, Noor Neelofa.

“Walaupun ‘bertanding’, kita berdua masih lagi baik dan asyik berkepit sama (ketawa),” kongsi Neelofa sebelum menyambung,

“I would saya perjalanan Dewi Remaja selama dua tahun itu (2009/2010) was a good platform for both of us.”

“Seperti sekarang, Izara telahpun banyak berlakon filem dan cukup terkenal dalam industri seni. Dan Izara boleh gunakan pengalaman itu untuk perniagaan Izara yang akan datang, InsyaAllah,” simpul Neelofa.

Mengimbas semula pengalaman di usia 17 tahun, Izara pada awalnya terkejut apabila diberitahu oleh pengurusnya (Abang Zul) bahawa namanya telah disenaraikan untuk pencarian Dewi Remaja. Izara yang pada waktu tersebut tidak begitu terdedah dengan pencarian ini merasa lega setelah melihat Neelofa turut menyertainya dan, “terus duduk dengan kak Lofa.”

Pemenang tempat kedua Dewi Remaja 2009/2010, Izara Aishah.

I was so young, takutlah buat perkara yang kita tidak tahu. Icha pun terkejut kerana pada waktu itu masih dalam tahun SPM, tingkatan lima. I just go with the flow dan bila tengok kak Lofa ada, terus duduk dengan kak Lofa,” kata ibu kepada Irisa Alaia ini.

Untuk pengetahuan, Neelofa menjuarai pencarian Dewi Remaja 2009/2010 manakala Izara Aishah bergelar Naib Juara. Tempat ketiga pula telah disandang oleh Shangkaree Nadarajan. Sementara itu, Ramona Zam Zam dan Iraa pula melengkapkan kedudukan finalis Top 5.

Korang rasakan korang mampu meneruskan legasi Neelofa dan Izara Aishah serta menjadi sebahagian daripada keluarga besar pencarian Dewi Remaja? Jangan lepaskan peluang menghadiri uji bakat Dewi Remaja 2022 terakhir bertempat di bangunan Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam pada 26 dan 27 Mac ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ