Malaysia telah pun kehilangan tokoh sejarawan dan ahli akademik Professor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang dilaporkan baru saja meninggal dunia akibat masalah sakit jantung pagi tadi.
Berita ini disahkan sendiri oleh anak lelakinya, Eddin Khoo ketika dihubungi Astro Awani.
Prof Khoo pernah menerima Anugerah Merdeka 2018 berprestij dalam kategori pencapaian skolastik cemerlang kerana sumbangan gemilangnya terhadap penyelidikan sarjana, penyusunan interprestasi semula sejarah Malaysia dan dedikasi sepanjang hayat dalam pendidikan sejarah.
Tokoh sejarawan ini juga pernah menerbitkan buku autobiografi setebal 137 muka surat bertajuk ‘I, KKK – The Autobiography of a Historian’ yang memaparkan kenangan Khoo semasa membesar dalam zaman pra-kemerdekaan Tanah Melayu, sepanjang perjalanannya sehingga menjadi guru kesayangan dalam kalangan ramai tokoh terkemuka Malaysia.
Malah, semasa melancarkan buku autobiografi ini, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa buku tersebut memaparkan aspirasi, impian dan kepercayaan KKK dalam menghayati kisah dan peristiwa yang membawa kepada kelahiran sebuah negara baharu (freemalaysiatoday)
Baginda Sultan juga menyifatkan beliau sebagai ‘ensiklopedia’ sejarah Malaysia kerana pengalamannya yang sentiasa dan tanpa jemu mendampingi rakyat Malaysia.
Pemergian beliau juga menjadi satu kehilangan buat masyarakat Malaysia. Ramai yang berkongsi kedukaan dan mengucapkan tazkiah kepada keluarga Prof Khoo.
Kami juga ingin turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Professor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.