Impian atlet lontar peluru F20, Ziyad Zolkefli untuk menghadiahkan pingat emas Sukan Paralimpik sempena Hari Kebangsaan ke-64 semalam yang tidak kesampaian cukup dirasai oleh para atlet kebangsaan.
ARTIKEL BERKAITAN : ‘Rayuan Kita Ditolak’, Pingat Emas Kekal Milik Ukraine – REMAJA
Rakyat Malaysia dan atlet kebangsaan tampil memberikan sokongan terhadap Ziyad menerusi hantaran Instagram Ziyad yang berbunyi, “Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya”,
Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin berkata Ziyad tidak perlu meminta maaf. “Keputusan yang tidak adil. Awak paling hebat dalam dunia. Awak luar biasa. Teruskan,” katanya.
Ratu gimnas negara, Farah Ann menerusi laman Twitter menghantarkan ciapan, “Really heartbreaking and in disbelief. Is this really what it has come too?”. Rakyat Malaysia tentunya dapat memahami empati tersebut memandangkan Ziyad telahpun menunjukkan prestasi terbaiknya pada acara semalam.
Pelumba negara, Hafizh Syahrin berkata, “You are champ bro,” manakala atlet boling negara Syaifatul Afifah berkata kepada Zayid yang digelarnya sebagai Yap, “17.94! Rekod dunia dan pingat emas! Awak champ sebenar Yad. Kita doakan yang terbaik untuk Yad, Yad kebanggan kami semua.”
Sementara itu, dua ratu terjun negara iaitu Dhabitah Sabri, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong juga menyifatkan atlet itu tidak harus meminta maaf dan berharap dia akan terus bersemangat untuk kembali memberikan saingan sengit dalam tempoh tiga tahun lagi.
Sentimen yang sama disuarakan oleh pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Datuk Lee Chong Wei yang berharap Ziyad akan bangkit di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Sebentar tadi, pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang turut menitipkan kata-kata semangat dalam satu hantaran dengan kapsyen panjang lebar.
“Saya benar-benar faham akan perasaan Ziyad kerana saya sendiri pernah ditarik kemenangan pingat emas di Sukan Komanwel New Delhi 2010 dahulu. Ini realiti dunia sukan. Pelbagai perkara yang diluar jangkaan boleh berlaku. Kadang-kadang ia adalah kesilapan kita, dan kadang-kadang pula boleh jadi kesilapan dari pihak lawan.
“Dan jangan terkejut jika pihak pengadilan juga melakukan kesilapan. Mereka adalah manusia dan kita juga adalah manusia, manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan.
“Ziyad, memang pahit untuk ditelan. Tapi nasihat saya sebagai rakan atlet, cuba untuk terima qada’ dan qadar, jangan berputus asa dan terus ke hadapan. Semua yang berlaku adalah ketentuan Allah dan mungkin ada hikmah besar di sebaliknya.
“Kami rakyat Malaysia tahu Ziyad adalah juara yang sebenar dan pingat emas itu telah dirampas secara terang-terangan,” catat beliau.
Malaysia kini mempunyai satu lagi peluang untuk melakukan rayuan lanjut tapi ia hanya boleh dibuat setelah temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 berakhir.
ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa Tidak Bantah Sebelum Acara Bermula?” Warganet Bantah Isu Teknikal Ziyad Zolkefli – REMAJA
BACA LAGI : Sukan Paralimpik : Apakah Itu ‘Call Room’ Dan Kepentingannya? – REMAJA